fb fb fb fb fb

Kemelut politik binasa keamanan

(Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pembangunan Masjid At-Taqwa
Kota Bharu, bersama Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 18 Jun 2023/
Foto FB Anwar Ibrahim)

SAUDARA PENGARANG

Rakyat sedang giat memerhati situasi politik mutakhir. Kemelut politik-ekonomi negara yang semakin berlarutan membayangkan cabaran besar buat pimpinan kerajaan untuk membenteras anasir-anasir politik yang memporak-perandakan kesejahteraan dibangkitkan rakyat.

Justeru, dengan kesempatan ini rakyat menilai strategi, kekuatan dan reputasi parti politik, bukan sahaja melibatkan percaturan politik tetapi penglibatan jalinan kerjasama antara parti yang boleh menyelesaikan kemelut politik negara.

Rakyat sudah bosan dengan konflik politik dan kecelaruan politik nasional, pergelutan kuasa tanpa kesudahan dan membantutkan usaha untuk fokus kepada pembangunan atau pemulihan ekonomi negara.

Lantaran itu rakyat hanya menjadi pihak pemerhati dalam urusan politik dan mengelak terjerumus dalam kancah politik. Tumpuan mereka hanya kepada memikirkan kesan strategi pemulihan sosioekonomi taraf kehidupan mereka yang terancam akibat kekusutan ekonomi yang semakin meningkat. 

Keresahan merasai konflik ekonomi global yang belum menampakkan solusi berkesan dan relevan, telah menyebabkan taraf sosioekonomi rakyat di negara-negara Asia menerima tempiasnya dan menyebabkan berlakunya krisis ekonomi domestik serius. Hal ini akan menjejaskan keamanan dan kestabilan negara.

Justeru, pentingnya kestabilan negara yang akan menyaksikan keseimbangan pembangunan fizikal dengan pembangunan sosial rakyat bagi mendepani masalah-masalah kekusutan ekonomi global hari ini. Kestabilan sesebuah negara itu wujud melalui pelbagai cara:-

  1. Politik yang menjadi paksi kepada keamanan dan rakyat;
  2. Ekonomi dari segi pengagihan dana, nilai pelaburan negara dan negeri, peluang pekerjaan, kemakmuran rakyat; dan
  3. Sosioekonomi yang merangkumi taraf hidup, kecukupan makan dan minum, Pendidikan serta pengagihan pendapatan rakyat.

Cubaan atau ujian tidak berasas terhadap keyakinan dan keutuhan sistem politik atau perlembagaan negara dan negeri yang dikucar-kacirkan oleh pihak-pihak tertentu dengan menyaksikan berlakunya domino effect harus diselesaikan secara bijaksana.

Cubaan menguji kekuatan dan pengaruh parti serta mempengaruhi fikiran dan tindakan rakyat untuk merosakkan suasana perpaduan atau kesejahteraan politik negara harus dihalang dan ditegah supaya kemurniaan dan kesepakatan rakyat terus dipelihara.

Fenomena negatif seperti ini akan menjadi sandaran kepada cubaan praktis jalinan kerjasama antara parti; persaingan kuasa dan pengaruh, perlumbaan penguasaan politik yang memberi isyarat kepada kedudukan politik kerajaan persekutuan yang tidak kukuh dan mengekalkan ancaman-ancaman yang boleh menguggat kestabilan politik negara.

Bukan masanya untuk menguji atau cubaan untuk mencerna perlembagaan negara tetapi fenomena kecelaruan politik hari ini membayangkan mekanisme sistem pemerintahan dan politik negeri serta persekutuan harus dinilai semula seperti mewujudkan dasar-dasar berkaitan kesejahteraan dan pemeliharaan masyarakat majmuk di negara ini secara lebih komprehensif. 

Usaha sebegini diharap dapat mendukung amalan demokrasi terpimpin yang lebih efektif di negara ini.

Kegawatan politk dan krisis perlembagaan hari ini mencabar kematangan sistem amalan politik negara sejak kemerdekaan; boleh menjejaskan reputasi kepimpinan dalam kalangan parti politik untuk menampilkan penjelmaan imej positif dalam kalangan rakyat dan pengundi.

Kematangan rakyat bertumpu kepada sejauh manakah parti berpengaruh membuat percaturan politik semasa, apakah rakyat menilai ketelusan, keikhlasan parti memperjuangkan nasib rakyat dan negara; bagaimana sistem dan mekanisme sistem perlembagaan dan politik negara dapat memenuhi keperluan masyarakat dan negara serta mewujukan budaya demokratik baharu yang menganjurkan lebih banyak partisipasi rakyat dalam dunia politik tanah air dan meningkatkan tuntutan keperluan rakyat untuk membangkitkan aspirasi negara mengikut acuan dan keperluan rakyat berbanding keperluan politik.

Kerajaan juga harus mempergiatkan usaha pelaburan asing dan penjanaan pendapatan ekonomi tempatan dengan melonjakkan sektor ekonomi menerusi pelbagai insentif menguntungkan rakyat dan negara.

Selain itu memastikan rakyat menyokong industri tempatan dengan kaedah lebih efisyen termasuklah memperkenalkan kembali sistem percukaian efektif yang boleh memberi pendapatan berterusan kepada kerajaan serta mengurangkan hutang negara.

Seharusnya pendekatan untuk mengurangkan politiking dan membina jaringan ukhuwah sesama parti politik, baik kerajaan atau pembangkang harus dihormati semua pihak.

Dalam hal ini, semua pihak, iaitu parti-parti dalam kerajaan mahupun pembangkang harus faham cabaran ekpnomi global kali ini sangat kritikal dan boleh menyebabkan risiko peruntukan kerajaan terjejas sekiranya ia gagal memperoleh sokongan rakyat.

Seharusnya semua parti politik bersikap lebih matang, tidak menangguk di air keruh, memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara, berbanding prinsip perjuangan politk kepartian yang sudah pasti akan mencetuskan polemik dan konfrantasi dalam kalangan rakyat negara ini.

Tumpuan seharusnya kepada strategi dan bentuk tindakan yang harus diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dibuat dengan bijaksana.


(Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan terkait hala tuju ekonomi negara

bersama-sama ahli ekonomi, YB Datuk Seri Johari Ghani dan Khairy Jamaluddin
pada 16 Jun 2023/F
oto FB Anwar Ibrahim)

Dalam hal ini semua parti harus duduk semeja dan para pemimpin parti politik lain untuk menyelesaikan masalah negara berkaitan dengan strategi pengawalan penularan COVID-19 dan mencapai persetujuan untuk memberi sokongan penuh kepada kerajaan meneruskan agenda nasional, termasuklah memastikan kemelut politik dan krisi perlembagaan tidak berpanjangan.

Barangkali ada isu yang membuatkan parti-parti politik bertelagah atau tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan sekarang, tetapi satu hal yang harus diingat bahawa kemelut ekonomi global pada ketika ini harus diberi keutamaan berbanding dengan perebutan politik yang merugikan rakyat dan negara.

Percaturan sekarang bukanlah satu ugutan atau ancaman dalam senario politik sekarang, tetapi membina keserasian politik terutamanya dalam menghadapi ancaman gelombang ketidaktentuan dan kelesuan ekpnomi global yang berlaku sekarang.

Dalam hal ini, sokongan daripada gagasan Kerajaan Perpaduan pada hari ini dilihat sudah menjelmakan suatu kekuatan dalam institusi kerajaan itu sendiri, mengetengahkan pelan dan perancangan untuk memajukan negara terutamanya menghadapi konflik dan kontroversi sosiopolitik semasa.

Tindakan kerajaan meraih sokongan terhadap kepimpinan negara yang diterajui oleh Kerajaan Perpaduan hari ini menunjukkan bahawa kerajaan bersedia berkorban menaruh prinsip untuk berjuang demi kepentingan rakyat dan negara.

Tanggungjawab parti-parti politik di negara ini seharusnya tidak lupa bahawa perjuangan menegakkan prinsip politik, imej dan reputasi parti tidak membelakangkan usaha untuk meredakan kesengsaraan rakyat menghadapi ancaman-ancaman kekusutan ekonomi glonal hari ini dan bukan bermain dengan strategi politik semata-mata untuk mengaburi isu-isu semasa dalam kalangan rakyat.

Saya tidak menolak bahawa gagasan Kerajaan Perpaduan boleh ke depan dan terus mengepalai kerajaan negara sekiranya ia mampu untuk membuka lebih banyak ruang kerjasama domestik bersama semua parti politik di negara ini demi membantu Kerajaan menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat negara ini.

Dalam hal ini, perjuangan merebut keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap keutuhan Kerajaan Perpaduan hari ini harus diberi keutamaan di samping mempunyai niat murni untuk menjaga kebajikan dan perpaduan saksama dalam kalangan rakyat.

Inilah waktu terbaik bagi semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang untuk memastikan rakyat tidak dibebani dengan kemelut sosiopolitik, sebaliknya para pemimpin perlu begandingan bahu mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan isu-isu kritikal masyarakat yang terkesan teruk akibat ancaman kemelesetan ekonomi yang dihadapi hari ini.

Rakyat mahukan pembelaan dan pemeliharaan dari segi sosioekonomi mereka, bagaimana merka akan meneruskan kelangsungan kehidupan, bukannya memperjudikan nasib mereka atas senario politik tidak menentu pada masa sekarang.

Penyatuan semua pihak dalam penyelesaian isu-isu domestik negara sangat bernilai untuk mengembalikan kembali tahap ekonomi di negara ini.

Saranan gencatan politik yang diperjelaskan oleh Datuk Seri Zahid Hamidi menunjukkan Parti UMNO bersedia bekerjasama dengan kerajaan sekarang untuk melestarikan penyatuan kerjasama politik dan memberikan keyakinan kepada rakyat dan para pelabur asing bahawa mereka mampu menjelmakan keamanan dan perpaduan nasional. Pada masa sama membelakangkan kemelut-kemelut yang tidak memberi sumbangan berharga buat rakyat dan negara.

Gesaan penyatuan parti-parti politik untuk menghadapi ancaman dunia, juga pernah disuarakan oleh YDP Agong; ternyata merupakan suatu tindakan bijaksana baginda meleraikan kemelut ini.

Justeru, menjelang pilihan raya negeri dan bulan kemerdekaan nanti, kerajaan diharap akan menampilkan lebih banyak aktiviti perpaduan yang mampu menjelmakan nilai-nilai kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu