(Foto hiasan)
SAUDARA PENGARANG
Cukup membimbangkan apabila Jabatan Insolvensi Malaysia melalui Statistik Kebankrapan 2022 melaporkan bagi tempoh 2019 sehingga April 2023, terdapat 34,043 kes kebankrapan ditadbir mereka dengan golongan anak muda berumur bawah 25 tahun sebanyak 107 kes, dan berumur antara 25 - 34 tahun sebanyak 6,341 kes.
Laporan tersebut turut menyebut antara punca utama kes kebankrapan adalah berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, dan hutang kad kredit. Gaya hidup berhutang telah menjadi satu amalan biasa pada masa kini. Kadar hutang isi rumah turut berada pada tahap membimbangkan.
Lebih membimbangkan, berdasarkan Malaysian Financial Literacy Survey 2022, majoriti golongan muda berumur 21 tahun ke atas belum mula membuat pelaburan untuk masa hadapan. Dapatan tinjauan tersebut membuktikan majoriti responden (55%) membelanjakan kesemua atau melebihi pendapatan bulanan mereka.
Anak muda juga dilihat cenderung berhutang berikutan banyaknya kemudahan bayaran ansuran ditawarkan institusi kewangan. Kaedah pembelian yang menggalakkan bayaran ansuran atau penangguhan bayaran dengan penggunaan kad kredit turut kelihatan menarik di mata mereka.
Situasi itu berlaku akibat peningkatan kos sara hidup serta keinginan untuk memenuhi gaya hidup mewah.
Trend ini mendorong anak muda untuk bergantung kepada hutang misalnya membuat pinjaman peribadi sedangkan mereka kurang berkemampuan untuk membuat pembayaran balik.
Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa kegagalan melunaskan pembayaran pinjaman peribadi merupakan penyebab utama kebankrapan di Malaysia. Jabatan Insolvensi Malaysia dalam Statistik Kebankrapan 2022 melaporkan terdapat 16,755 kes (49%) melibatkan pinjaman peribadi bagi tempoh 2019 sehingga April 2023.
Di samping itu, kurangnya kesedaran tentang kepentingan pengurusan kewangan, dan keperluan untuk menjaga keseimbangan di antara pendapatan dan perbelanjaan juga telah menyebabkan masalah hutang dalam kalangan golongan muda menjadi semakin meruncing.
Pengetahuan kewangan atau ilmu kewangan adalah sangat penting dan haruslah diperkenalkan seawal mungkin.
(Foto hiasan)
Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama membantu melahirkan generasi yang lebih celik kewangan. Celik kewangan bermaksud kebolehan menguruskan kewangan termasuklah menabung, melabur dan mengurus hutang.
Celik kewangan sepatutnya menjadi fokus penting dan perlu diberi perhatian oleh golongan anak muda. Mereka boleh mempertimbangkan beberapa saranan sebagai usaha mengurus kewangan dengan lebih baik.
1. Pendidikan kewangan
Penting untuk menyediakan pendidikan kewangan kepada anak muda. Sekolah dan institusi pendidikan boleh memperkenalkan mata pelajaran kewangan meliputi aspek seperti pengurusan wang, perancangan bajet, pelaburan, dan pengurusan hutang.
Program-program pendidikan kewangan juga boleh dijalankan melalui kempen-kempen kesedaran kewangan di peringkat komuniti.
2. Perancangan bajet
Anak muda harus faham cara mengenal pasti pendapatan dan perbelanjaan. Selain itu, mengenali perbezaan di antara keperluan dan kehendak juga sangat penting agar perancangan bajet mereka dapat dibuat dengan baik.
Pelaksanaan bajet dengan teliti, membolehkan wang dibelanjakan dengan lebih berhemat.
3. Membuat tabungan simpanan
Anak muda disaran untuk membentuk tabungan sebagai persediaan kecemasan dan simpanan jangka panjang. Ini membantu mereka menghadapi situasi tidak terduga atau ketidakstabilan kewangan. Memiliki tabungan simpanan dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada hutang dan memupuk sikap berjimat cermat.
4. Pelaburan
Memperkenalkan pelaburan kepada anak muda sebagai kaedah membantu mereka membangunkan kekayaan. Namun ia perlu dimulai dengan ilmu memahami prinsip-prinsip asas pelaburan, risiko yang berkaitan, dan kaedah pelaburan yang bersesuaian. Ini termasuk pelaburan dalam saham, bon, dana indeks, atau hartanah.
5. Kemahiran mengurus hutang
Kesedaran pengurusan hutang wajar menjadi pertimbangan utama. Memahami konsep faedah, tempoh bayaran, dan impak hutang terhadap kewangan sangat penting.
Golongan muda perlu didorong untuk mengelak hutang secara berlebihan dan menguruskan hutang dengan berdisiplin, termasuk membuat bayaran bulanan yang tepat dan hanya berhutang bagi keperluan yang mendesak.
6. Kewangan digital
Dalam era digital, anak muda perlu berilmu pengetahuan dan punyai kesedaran tinggi terhadap kewangan digital. Penggunaan aplikasi perbankan dalam talian, pembayaran digital, dan keselamatan bagi urus niaga dalam talian perlu diambil cakna.
Kaedah menjaga privasi dan keselamatan maklumat peribadi semasa menggunakan platform digital juga harus sentiasa diutamakan.
7. Sokongan dan bimbingan
Penting bagi anak muda untuk mendapat sokongan dan bimbingan daripada keluarga, pendidik, dan penasihat kewangan berkelayakan. Anak muda boleh mendapatkan nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam pengurusan kewangan.
8. Peranan institusi kewangan
Institusi kewangan juga boleh memainkan peranan dengan menganjurkan program-program berkaitan dengan literasi kewangan.
Institusi kewangan boleh bekerjasama dengan institusi pendidikan atau badan-badan berkaitan dalam menghasilkan program-program menarik dan menghiburkan agar dapat menarik minat anak muda untuk lebih mendalami ilmu kewangan.
Pengetahuan dan kemahiran berkaitan celik kewangan adalah penting bagi pengurusan kewangan yang baik dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat disebabkan peningkatan harga barang, dan keadaan ekonomi tidak stabil berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia beberapa tahun kebelakangan ini.
Menerusi penerapan lapan saranan ini diharapkan celik kewangan dalam kalangan anak muda di Malaysia dapat dipertingkatkan.
Untuk menjayakan Malaysia Madani yang digagaskan oleh kerajaan, pastinya aset utama negara iaitu anak muda harus diberdayakan terlebih dahulu untuk merealisasikannya dengan lebih berkesan.
PENULIS DR. NOOR AIMI MOHAMAD PUAD ialah Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah (FPM) dan NORLITA ZAINUDIN, Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah (FPM), Universiti Islam Selangor (UIS).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.