(Foto fail)
SAUDARA PENGARANG
Industri 4.0 adalah suatu pendekatan dan trend pertukaran data dan automasi terkini dalam teknologi pembuatan. Industri 4.0 mempunyai sifat yang unik dan tersendiri. Ia akan membantu proses pembuatan dan pengeluaran menjadi semakin laju, luas dan mendalam serta mempunyai impak yang menyeluruh. Diasaskan daripada tiga domain teknologi iaitu fizikal, digital dan biologikal, Industri 4.0 mempunyai 9 tonggak teknologi untuk memacu kejayaan industri pembuatan.
Pelbagai peluang dan cabaran dibawa oleh Industri 4.0 kepada dunia dan penghuninya. Pengeluaran dan pengilangan mungkin bertambah cepat dan pantas. Walau bagaimanapun, Industri 4.0 membawa pelbagai cabaran seperti isu keselamatan, keperluan modal, peluang pekerjaan dan kerahsiaan kepada semua pemegang taruh.
Hasil tinjauan dan pengamatan penulis, Industri 4.0 turut memberi cabaran khusus kepada sumber manusia yang menjadi tunjang kepadanya iaitu masalah tekanan teknologi (technostress), aduan somatik, gangguan muskuloskeletal, dan stres pekerjaan. Untuk mengatasinya, penulis mencadangkan supaya semua pemegang taruh terutamanya organisasi mengamalkan gaya pengurusan sumber manusia hijau.
Pengurusan sumber manusia hijau adalah suatu pendekatan bagi mengurus sumber manusia organisasi yang diambil daripada pengurusan alam sekitar yang telah menarik perhatian ramai sarjana dan penyelidik dari seluruh dunia sejak tahun 1990an lagi. Berdasarkan falsafah teknologi hijau dalam mengurus persekitaran, konsep ini bolehlah ditakrifkan sebagai amalan dan polisi pengurusan sumber manusia yang menghargai persekitaran melalui konsep kejat dan tangkas.
Ia juga bermaksud sebagai suatu pertanggungjawaban organisasi dalam membentuk sumber manusia hijau yang memahami, menghargai dan mengamalkan insiatif hijau serta mengekalkan objektif hijau dalam semua fungsian pengurusan sumber manusia atau semua aktiviti pembangunan, pelaksanaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan yang bertujuan menjadikan sumber manusia organisasi sebagai sumber manusia hijau.
(Sumber manusia hijau menangani cabaran Industri 4.0)
Penyelidik lain menghuraikannya sebagai integrasi pengurusan persekitaran korporat ke dalam pengurusan sumber manusia. Ringkasnya di sini, dalam konteks pengurusan sumber manusia hijau, penekanan dan fokus utamanya adalah kelestarian persekitaran daya saing organisasi.
Bagi membolehkan organisasi diurus melalui konsep pengurusan sumber manusia hijau, ia perlulah memiliki sumber manusia yang hijau juga. Sumber manusia hijau dijangka mampu menangani keperluan dan cabaran Industri 4.0.
Terdapat 8 ciri utama yang perlu ada pada seseorang sumber manusia organisasi bagi membolehkan individu itu diiktiraf sebagai sumber manusia hijau. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:-
terdiri daripada kejat (lean), tangkas, malar segar, luwes (flexible), sihat fizikal, sihat mental, individu seimbang dan produktif.
1. Kejat
Konsep kejat ini diadaptasi daripada konsep yang diperkenalkan oleh Toyota dalam pengeluaran automotifnya. Di Toyota, kejat ditakrif sebagai mengoptimumkan pengeluaran melalui kecekapan dan pengurangan pembaziran sumber. Individu yang mempunyai ciri-ciri kejat berupaya mengatur gerak kerjanya untuk menghasilkan lebih nilai dalam hasil kerjanya di samping meminimumkan pembaziran sumber ke tahap yang paling rendah.
2. Tangkas
Dalam aspek tangkas pula, ia merujuk kepada suatu ciri yang menggambarkan kepantasan dan kecekapan dalam bertindak menangani perubahan. Individu yang tangkas berupaya mencipta dan bertindak balas segera untuk berjaya dalam persekitaran yang tidak menentu, organik dan dinamik.
3. Malar segar
Individu yang dikatakan sebagai malar segar mempunyai pelbagai kemahiran dan pengetahuan seiring dengan zaman di mana dia berada. Kewujudannya bolehlah disimpulkan sebagai tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Dia sentiasa signifikan walaupun hidup melangkaui beberapa zaman.
4. Luwes
Dalam aspek lain, sumber manusia hijau adalah luwes yang mana dia berupaya melaksanakan pelbagai fungsian dan peranan dalam suatu masa.
5. Sihat fizikal
Individu yang sihat secara fizikal dan mampu bekerja menjadi antara ciri penting dalam sumber manusia hijau. Individu yang sihat secara fizikalnya mampu berfikir dan berkelakuan secara normal.
6. Sihat mental
Individu yang sihat secara mental pula mempunyai keupayaan kognitif yang mampu berfikir dengan cergas terutamanya apabila berhadapan dengan situasi pembuatan keputusan dalam kehidupan. Idea yang inovatif juga mudah terhasil apabila individu mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan mental yang cemerlang.
7. Individu seimbang
Individu seimbang dapatlah digambarkan sebagai individu yang berupaya mengimbangi tuntutan kehidupan peribadi dan kerjaya. Seorang individu memainkan pelbagai peranan dalam hidupnya. Dia adalah ibu/ bapa/ anak, ahli masyarakat dan juga pekerja. Kesemua peranan ini menuntut sejumlah perhatian tertentu. Hanya individu yang bijak mengimbangi kesemua tuntutan dan tanggung jawab tersebut mampu berperanan secara bijak, cekap dan produktif. Selain seimbang dalam kehidupan peribadi dan kerjaya, keseimbangan aspek material dan spiritual juga diperlukan oleh sumber manusia hijau.
8. Produktif
Akhirnya, seorang individu iaitu sumber manusia hijau mestilah seorang yang produktif. Individu yang produktif berupaya menjangkau dalam pelaksanaan tugas dan peranannya bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Realitinya, Industri 4.0 membawa banyak peluang dan cabaran. Untuk mendepaninya, kita perlu bersedia dari segi fizikal, mental, spiritual dan emosi. Pengurus sumber manusia dan sumber manusia itu sendiri mesti berubah seiring dengan keperluan Industri 4.0.
Ini adalah untuk memastikan mereka kekal relevan walaupun dunia beralih ke era baru. Perubahan pengurusan sumber manusia konvensional kepada pengurusan sumber manusia hijau adalah amat penting sebagai langkah awalan dalam anjakan paradigma sesebuah organisasi. Anjakan paradigma yang diambil oleh organisasi ini amatlah perlu kerana ia bakal menghasilkan sumber manusia hijau. Sumber manusia hijau ini seterusnya akan menjadi seorang adiwira harapan organisasi yang menjuarai semua cabaran Industri 4.0.
(Profesor. Dr. Zafir Khan (kiri) dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Helmi (kanan)
PENULIS PROF. MADYA TS DR. MOHD HELMI ALI, ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan dan PROF. DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.