fb fb fb fb fb

Elaun pelatih industri, tanggungjawab pelajar, universiti & majikan

(Foto tular Rashifa Aljuneid yang menyuarakan bantahan mengenai
isu elaun mahasiswa yang membuat latihan industri dengan membawa
sepanduk 'Intern Bukan Buruh Percuma'/Twitter @youngaljuneid)

SAUDARA PENGARANG

Isu pembayaran elaun kepada pelatih latihan industri hangat diperkatakan sejak pertengahan tahun ini.

Pada 7 Jun lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan agar pihak kerajaan memperkenalkan Akta Latihan Amali Berbayar bagi memastikan setiap majikan menyediakan elaun yang berpatutan kepada pelatih.

Isu ini meraih lebih perhatian apabila seorang pelajar di sebuah universiti awam, Rashifa Aljuneid telah membawa sepanduk ’Intern bukan buruh percuma’ di sekitar kampusnya dan memuat naik ke akaun Twitternya @youngaljuneid pada 17 Jun lalu lantas tular.

Rashifa menyatakan kerisauannya tentang perjalanan latihan industri yang akan ditempuhinya pada semester hadapan sekiranya bakal majikan tidak menyediakan bayaran elaun yang mencukupi atau tiada bayaran langsung.

(Foto Hiasan)

Dalam hal ini, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju sekiranya kerajaan mewajibkan pembayaran elaun ke atas syarikat-syarikat yang mengambil tenaga pelatih latihan industri.

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman dipetik sebagai berkata syarikat biasanya membuat bayaran mengikut kemampuan dan cadangan bayaran minimum RM1,500.00 sebulan tidak boleh dilaksanakan secara drastik terutama kepada syarikat-syarikat perusahaan mikro.

Di pihak kerajaan, ia menarik perhatian Perdana Menteri yang meminta syarikat menggunakan budi bicara dalam soal pembayaran dengan mengambil kira sumbangan pelatih kepada syarikat, namun tidak bercadang untuk mewajibkannya.

Kementerian Sumber Manusia dilaporkan sedang meneliti isu pembayaran elaun dan memandang serius kebajikan pelatih latihan industri.

Dalam polemik ini, tiga pihak perlu jelas dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kelancaran latihan industri agar objektif sebenar tercapai.

Tiga pihak tersebut adalah pelajar, universiti dan majikan.

Peranan dan tanggungjawab pelajar

Pelajar diberi kebebasan untuk memilih penempatan latihan industri asalkan skop pekerjaan yang dimohon adalah berkaitan dengan bidang pengajian.

Oleh itu, pilihlah tempat yang sesuai dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki.

Setelah mengenal pasti organisasi yang sesuai, kaji dahulu latar belakang syarikat dan cari maklumat-maklumat penting mengenai organisasi:

- Dapatkan maklumat mengenai pembayaran elaun dan berapa jumlah elaun yang akan diberikan. Jika tiada elaun atau tiada kemudahan lain yang diberikan, pelajar boleh mengenepikan hasrat untuk memohon di organisasi tersebut dan mencari penempatan lain.

- Semak lokasi organisasi, adakah mudah untuk mendapatkan pengangkutan awam atau berdekatan dengan rumah yang bakal disewa. Kadang-kadang alamat organisasi yang tertera adalah alamat ibu pejabat, sedangkan lokasi sebenar penempatan latihan industri adalah di pejabat cawangan yang beralamat di tempat yang berbeza.

- Periksa tempoh masa bekerja dalam sehari dan jumlah hari bekerja dalam seminggu. Ada organisasi yang memperuntukkan waktu bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang, ada yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang, malah ada juga yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Di samping itu, ada syarikat yang beroperasi lima hari seminggu, ada enam hari seminggu, malah ada juga syarikat perniagaan yang beroperasi pada hujung minggu. Maklumat ini penting agar pelajar bersiap-sedia untuk mematuhi masa bekerja di organisasi
dan merancang kehidupan sepanjang menjalani latihan industri.

- Nilaikan sendiri apakah operasi organisasi tersebut sesuai dengan kemampuan, kesediaan dan kecenderungan pelajar untuk menjalani latihan industri dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh universiti. Ini bagi mengelak pelajar daripada rasa tertekan setelah menjalani latihan industri kerana hal-hal yang tidak diteliti terlebih dahulu.

- Dapatkan nasihat dan panduan daripada pensyarah serta pandangan dan doa daripada ibu bapa dalam memilih organisasi.

Peranan universiti

Sebagai institusi pendidikan, pihak universiti harus mendidik pelajar untuk membuat pertimbangan yang bijak ketika memohon penempatan latihan industri.

Tanamkan ke dalam jiwa pelajar tujuan sebenar menjalani latihan industri yang berupa serampang dua mata.

- Pertama, organisasi latihan industri adalah tempat untuk mempelajari ilmu dalam dunia pekerjaan dan perkara-perkara baharu yang tiada atau kurang ditekankan dalam silibus pengajian.

- Kedua, pelajar harus dijelaskan bahawa latihan industri adalah platform untuk mempraktikkan segala ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari di bilik kuliah untuk disumbangkan kepada organisasi di bawah pengawasan seorang penyelia.

Ia bukanlah tempat untuk menonjolkan kehebatan diri dan mendapat upah yang lumayan, sebaliknya latihan industri adalah ruang dan peluang untuk meningkatkan pelbagai jenis kemahiran dalam dunia pekerjaan sebenar dan menimba pengalaman profesional.

Nasihati pelajar agar sentiasa mematuhi apa sahaja arahan majikan asalkan ia tidak melanggar undang-undang dan bertentangan dengan ajaran agama. Ini adalah kerana semua tugasan yang dilakukan adalah untuk mengayakan pengalaman dan membina sikap.

Pelajar harus ditanam sikap menghormati majikan. Sekiranya melakukan kesilapan dan ditegur oleh majikan, pelajar hendaklah mengakui kesilapan tersebut, memohon maaf dan berusaha untuk tidak mengulanginya.

Pelajar harus diingatkan bahawa majikan berhak dan mempunyai kuasa untuk menamatkan latihan industri sekiranya pelajar didapati melanggar peraturan-peraturan organisasi. Sekiranya pelajar mendapat surat pemberhentian daripada organisasi kerana masalah disiplin umpamanya, pelajar akan mendapat gred F (gagal) dan terpaksa mendaftar semula kursus latihan industri pada semester berikutnya.

Dalam masa yang sama, pelajar juga harus diberikan pemahaman bahawa latihan industri adalah syarat untuk layak bergraduasi. Pelajar sepatutnya bersyukur dan berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh organisasi yang sudi menerima permohonan pelajar dan menawarkan latihan industri bagi menamatkan pengajian.

Bayangkan sekiranya tiada organisasi yang mahu menerima pelajar, maka sudah pasti pelajar tidak boleh bergraduasi dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Peranan majikan

Organisasi yang mengambil pelajar universiti untuk menjalani latihan industri hendaklah memastikan pelatih yang dipilih mempunyai latar belakang pengajian yang sesuai dengan keperluan organisasi.

Majikan hendaklah memberi tugasan yang sesuai dengan kemahiran pelajar agar mereka dapat melakukan tugasan dengan yakin serta dapat menyumbang idea dan kreativiti kepada organisasi.

Adalah tidak adil untuk melayan pelatih seperti pekerja tetap yang lebih berpengalaman kerana organisasi yang mengambil pelatih universiti sebenarnya turut memainkan peranan untuk mengasah bakat dan kemahiran pelajar sebagai persediaan mereka menempuh alam pekerjaan sebenar pada masa hadapan. Oleh itu, tugasan yang diberikan hendaklah dirancang dan diselia untuk sebarang penambahbaikan oleh pelajar.

Isu pokok latihan industri mengenai pemberian elaun yang diperdebatkan baru-baru ini diharap dapat membuka mata organisasi yang menawarkan penempatan latihan industri kepada pelajar untuk mempertimbangkan desakan ekonomi yang dihadapi pelajar.

Walaupun tiada upah minimum yang dikenakan setakat hari ini, organisasi disarankan untuk menyediakan sejumlah peruntukan kepada pelatih sebagai wang saguhati atau sekurang-kurangnya menyediakan kemudahan tempat tinggal yang berdekatan dengan tempat bekerja bagi menampung kos kediaman dan pengangkutan.

Kesimpulannya, semua pihak harus tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing baik pelajar, universiti mahupun organisasi. Ia berbalik kepada niat dan kefahaman tentang tujuan sebenar pelaksanaan latihan industri.

Universiti sebagai penyedia pendidikan tinggi harus menyampaikan dengan jelas tujuan utama latihan industri kepada pelajar dan organisasi. Pelatih dan majikan perlu bertanggungjawab ke atas setiap pilihan yang dibuat. Di pihak pelajar, mereka diberi kebebasan untuk memilih tempat bagi menjalani latihan industri. Manakala di pihak organisasi pula, mereka berhak menapis pelajar yang memenuhi kriteria yang diperlukan dalam organisasi.

Sekiranya pelajar dididik dengan tujuan utama latihan industri serta bijak dan teliti dalam memilih penempatan latihan industri, isu elaun mungkin tidak timbul dan bukan menjadi kebimbangan pelajar lagi. Begitu juga dengan majikan. Sekiranya pihak organisasi mempunyai perancangan yang baik bagi pengambilan pelatih latihan industri dan mengambil pelajar yang benar-benar layak, sumbangan pelajar kepada organisasi akan diambil kira dan mereka diberi upah atau kemudahan yang setimpal dengan status pelajar sebagai pelatih.

PENULIS DR. AINURLIZA MAT RAHIM, Pensyarah Kanan Program Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu