ULASAN BERITA
Pendedahan Kementerian Pendidikan (KPM), bahawa hampir 30,000 calon tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu agak mengejutkan. Angka tersebut turut melibatkan calon persendirian yang berdaftar untuk mengambil hanya satu atau dua mata pelajaran.
Ia agak membimbangkan, terutama ketika Malaysia sedang pesat membangun menuju negara maju.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam pada itu memberi jaminan punca calon tidak menduduki peperiksaan tersebut akan diteliti dan diatasi.
Beliau memaklumkan masalah calon tidak menduduki peperiksaan itu bukan perkara baharu. Ia telah berlanjutan sejak sekian lama, namun tiada tanda-tanda ia berkurang.
Pelbagai persoalan timbul, mengapakah ia terjadi, sedangkan SPM merupakan peperiksaan utama di Malaysia. Ada pendapat menyatakan sesetengah daripada calon tersebut merupakan pelajar daripada kelas belakang.
Mungkin merasakan tiada harapan untuk mendapat keputusan yang cemerlang, membuatkan mereka putus asa dan tidak mahu mendudukinya. Tidak kurang juga pelajar yang tercicir akibat kemiskinan.
Terpaksa dan ada juga dipaksa bekerja bagi membantu keluarga.
Bagi golongan ini, peluang masih terbuka dengan menduduki semula peperiksaan tersebut. Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak lagi merasakan sijil peperiksaan tersebut berharga?
Apatah lagi, tidak merasakan pentingnya budaya menuntut ilmu bagi membentuk sebuah negara bangsa yang berjaya. Hal ini perlu diteliti dengan lebih lanjut oleh masyarakat seluruhnya.
Menuntut ilmu bukan semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, bergaji tinggi dan menghimpun kekayaan. Ia pastinya lebih daripada itu.
Ilmu dapat mengangkat martabat bangsa, membina adab dan budi pekerti tinggi serta membina sebuah negara bertamadun.
Apalah maknanya jika bergelar negara maju, namun masyarakatnya tidak memiliki ketinggian adab dan budaya. Ditambah pula cabaran digital masa kini, budaya menimba ilmu setinggi mungkin, semakin terhakis.
(Foto hiasan)
Bayangkan, belasan ribu pelajar tidak mengambil SPM saban tahun, itu belum lagi mereka yang mendudukinya namun hanya mendapat keputusan cukup-cukup makan. Mahu menyambung ke peringkat diploma atau ijazah sukar, akhirnya lebih selesa bekerja.
Sebenarnya, bagi yang kurang berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang akademik, kerajaan telah pun menyediakan pelbagai peluang. Boleh sahaja mengambil kursus kemahiran di pusat latihan kemahiran awam ataupun swasta yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia. Selain, meningkatkan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
TVET merupakan proses pendidikan menerusi latihan atau kemahiran yang mempunyai hala tuju pekerjaan lebih jelas, dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Pastinya, lepasan TVET berpotensi mendapat kerja lebih baik, susulan pengkhususan bidang kemahiran yang ditawar.
Pun begitu, ada juga sesetengah pelajar yang boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun memilih untuk mencipta kekayaan menerusi jalan mudah.
Peralihan teknologi digital ketika kini menyaksikan golongan tersebut lebih memilih untuk TIDAK menyambung pelajaran, sebaliknya lebih seronok menjadi pempengaruh di pelbagai platform media sosial.
Ada yang berpendapat, jika seawal usia sudah boleh bergelar jutawan, apalah gunanya lagi membuang masa menimba ilmu di peringkat tertinggi. Idea begini sebenarnya tidak begitu tepat. Kaya dan berilmu pastinya lebih baik daripada hanya bergelar jutawan semata-mata. Ia hanya menjadikan pemikiran dalam masyarakat tidak berkembang.
Contohnya telah banyak dilihat, berharta, namun kurang beradab sopan dan bertatasusila. Malah, menghalalkan apa jua cara semata-mata mahu mengejar nama dan kekayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga mahu anak-anak muda bangkit membangunkan semula negara dengan ketinggian ilmu. Katanya, kekuatan generasi muda hanya dapat direalisasi menerusi sikap suka membaca dan menimba ilmu.
Sikap tersebut, jelas beliau semakin berkurang apabila media sosial mula menjadi tumpuan masyarakat. Jika golongan muda berhenti menjadikan budaya menimba ilmu sebagai keutamaan, harapan melihat Malaysia berkembang sebagai sebuah negara maju dan madani sukar dicapai.
Untuk itu, golongan tersebut perlu diterapkan semula mengenai kepentingan menuntut ilmu. Tidak hanya sebagai panduan untuk hidup, sebaliknya, mengembangkan ketamadunan dan peradaban. Ia selari usaha Malaysia menuju negara maju dan moden di masa hadapan.
PENULIS ASHRIQ FAHMY AHMAD ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.