fb fb fb fb fb

Strategi advokasi tangani kempen boikot kelapa sawit

SAUDARA PENGARANG

Menjelang dua tahun lagi, penguatkuasaan pengharaman import minyak kelapa sawit dari Malaysia dan Indonesia akan menjadi realiti. Malaysia akan terkesan teruk dengan keputusan tersebut, memandangkan Eropah adalah negara pengimport minyak kelapa sawit terbesar yang menyumbang sebanyak  RM11 billion; RM777.7 juta  melibatkan eksport 235,291 ton biodiesel.

Situasi bertambah kronik, apabila baru-baru ini, Iceland telah mengumumkan penghapusan penggunaan minyak kelapa sawit dalam produk negaranya dan diramalkan bahawa lebih banyak negara Eropah akan mengikuti negara itu untuk penghapusan penggunaan mintak kepala sawit.

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan India juga mengambil keputusan sama untuk membaikot eksport minyak kelapa sawit Malaysia berikutan campur tangan Malaysia terhadap isu kewarganegaraan India di Punjabi baru-baru ini.

Kebimbangan yang semakin ketara terhadap kesan pengharaman eksport minyak kelapa sawit ini sudah tentu menjejaskan prestasi ekonomi negara memandangkan minyak sawit merupakan salah satu daripada pengeksport terbesar negara bernilai lebih AS $ 20billion setahun,  turut memberi kesan serius kepada kualiti kehidupan lebih 650,000 pekebun-pekebun kecil di negara ini.

Antara sebab pengharaman import Minyak Kelapa Sawit Malaysia oleh Kesatuan Eropah bertumpu kepada isu-isu berkaitan industri minyak sawit yang menjadi punca utama penebangan hutan, selain saliran gambut dan kerugian biodiversiti yang telah memberi kesan kepada kehidupan spesies, kesan perubahan cuaca dan pencemaran yang terancam; banyak dipropagandakan oleh badan badan bukan kerajaan dan aktivitis alam sekitar di Eropah dalam siri-siri kempen mereka.

Banyak usaha telah dilakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Kemjauan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menepis persepsi negatif media sosial yang dipropagandakan oleh aktivitis-aktivitis berhubung kempen pengharaman komoditi itu tetapi tidak menunjukkan kesan efektif.

Baru-baru ini kajian yang dibiayai oleh Geran Penyelidikan Translational, Kementerian Pengajian Tinggi kepada sekumpulan penyelidik dari beberapa buah universiti dalam dan luar negara berkaitan dengan impak isu minyak kelapa sawit ini mendedahkan strategi komunikasi berkesan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan dan industri bagi mengangani ancaman propaganda ini.

Kajian yang menyorot pandangan golongan akedemia, aktivitis alam sekitar dan komuniti di beberapa negara Eropah seperti di Paris, Amsterdam dan Vienna untuk mengupas dan mengenal pasti punca kegagalan penyaluran komunikasi untuk mengekang persepsi negatif masyarakat Eropah terhadap komoditi ini.

Di samping itu juga kajian dilakukan itu mendekati sikap, tingkah laku dan keyakinan masyarakat Eropah terhadap impak kempen isu-isu alam sekitar berkaitan minyak kelapa sawit yang terdedah kepada mereka.

Ternyata bahawa persepsi masyarakat terhadap penularan kempen baikot minyak kelapa sawit yang dibuat di benua itu hanya berdasarkan kepada provokasi maklumat tanpa fakta jelas, menyeluruh dan adil.

Artikel berkaitan
Malaysia-Indonesia sepakat pertahan kepentingan kelapa sawit
Fadillah tiba di Brussels, bawa misi kelapa sawit ke EU dan London
Malaysia cari pendekatan bersama Indonesia hadapi sekatan produk minyak kelapa sawit


(Foto hiasan)

Justeru, industri minyak sawit pada masa ini harus mengatur strategi intervensi berasaskan hasil dan tidak bertumpu kepada nilai pengeluaran komoditi semata-mata. Reputasi terhadap industri ini harus diberi keutamaan dan perancangan segera proses komunikasi strategik diperlukan bagi menangani kemelut ini.

Walaupun aktivis alam sekitar menyerang industri minyak sawit kerana sumbangan industri ini kepada penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti, aktivis – aktivis itu gagal dalam menyerlahkan fakta-fakta berasaskan bukti secara saintifik.

Selain itu, meskipun terdapat cadangan penggunaan pelbagai jenis minyak untuk menggantikan hasil komoditi ini, ia tidak memperkukuhkan dengan fakta dan tidak dapat menyelesaikan isu penebangan hutan. Ini kerana aktiviti penebangan hutan masih akan dilakukan untuk menghasilkan pelbagai jenis minyak tersebut.

Suatu pendekatan advokasi strategi perhubungan awam untuk menilai keberkesanan komunikasi diperlukan bagi menangani isu baikot minyak kelapa sawit, dengan mengambil kira aspek-aspek seperti:-

  1. Mewujudkan suatu Pusat Maklumat Respons Komunikasi Krisis di peringkat operasi dan strategik yang menguruskan maklumat berdasarkan gambaran isu sebenar yang berlaku, sasaran kelompok komuniti terlibat, peringkat mana krisis itu terjejas dan mekanisme pengawalan krisis itu dapat dipantau dan dilaksanakan dengan lebih berkesan pada peringkat awal;

  2. Merangsang satu koordinasi pengurusan kerja di antara pemegang taruh yang berkepentingan dengan lebih sistematik supaya maklumat yang disampaikan kepada sasaran komuniti dapat dibuat secara telus. Dalam erti kata lain ia haruslah mewujudkan suatu perkongsian nilai yang mudah difahami di semua peringkat institusi dan perundangan;

  3. Dalam era komunikasi digital hari ini, pemimpin seharusnya boleh memanfaatkan komunikasi digital hari ini bukan sahaja menyalurkan maklumat semata-mata, tetapi harus bijak mengendalikan jangkaan komuniti terhadap krisis isu yang tular di media sosial. Pada peringkat ini, kewibawaan kerajaan harus boleh menyakinkan masyarakat supaya mempercayai dan menyakini bentuk maklumat yang disalurkan secara konsisten kepada mereka;

  4. Pada peringkat pascakrisis pula, pengenalpastian bagaimana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan akauntabiliti kerajaan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat daripada sebarang kepincangan dalam pengurusan krisis dan pada masa sama menguruskan proses maklum balas responden terhadap krisis yang dihadapi.

Sekiranya pendekatan seumpama  ini dapat dilaksanakan dengan strategik dan sistematik, reputasi industri kelapa sawit di negara ini dapat dipulihkan dan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti industri ini akan dapat dikembalikan.

PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu