fb fb fb fb fb

Rebut tawaran perlindungan takaful demi masa depan

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Malang tidak berbau, sakit datang tidak berjemput. Umpama kata orang lama ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Perlindungan takaful menjadi salah satu komponen penting dalam pengurusan kewangan masa hadapan. Tujuan perlindungan takaful adalah untuk jaminan keselamatan diri sendiri dan keluarga.

Namun, masih ramai daripada kita yang masih tidak ada perlindungan takaful untuk diri sendiri mahupun keluarga. Ini selari dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan Menteri Kewangan bahawa pengambilan takaful atau insurans adalah rendah dalam kalangan golongan B40.

Perkara ini mungkin susulan faktor ekonomi pasca pandemik yang tidak memberangsangkan dan peningkatan kos sara hidup. Perlindungan takaful kurang diambil kira dalam perancangan kewangan keluarga terutamanya dalam kalangan golongan B40.

Namun hakikatnya bagi golongan ini, yang mungkin tidak mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menghadapi perkara luar dijangka, takaful wajar dipertimbangkan sebagai satu komponen pengurusan kewangan yang perlu diambil kira dalam perancangan kewangan individu.

Menerusi pelan takaful berpatutan, pencarum akan memperoleh perlindungan kewangan mencukupi bagi menangani perkara-perkara tidak dijangka seperti kebakaran rumah, diberhentikan kerja, kemalangan jalan raya dan lain-lain.

Pertimbangan asas pengurusan kewangan takaful

Terdapat pelbagai faktor yang boleh dipertimbangkan oleh golongan B40 dalam merancang dan mengurus kewangan mereka seperti perlindungan kesihatan. Pelan takaful kesihatan ini amat penting bagi golongan B40 yang mungkin memerlukan akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi pada masa hadapan tanpa perlu bimbang dengan kos perubatan yang semakin meningkat.

Selain itu, pencarum juga boleh melindungi pendapatan mereka dengan mencarum dalam pelan perlindungan pendapatan. Pelan takaful seperti itu, dapat memastikan pendapatan seseorang berada dalam keadaan stabil sekiranya ditimpa musibah atau kecelakaan pada masa hadapan.

Perlindungan takaful hayat pula dapat membantu keluarga golongan B40 mengatasi krisis kewangan sekiranya berlaku kematian penyumbang nafkah atau ketua keluarga. Terutama sekiranya si mati meninggalkan tanggungan yang masih hidup bagi meneruskan kehidupan mereka.

Jika golongan B40 mempunyai harta, perlindungan takaful harta amat perlu bagi melindungi nilai harta mereka contohnya seperti perlindungan takaful pemilik rumah dan isi rumah bagi mengurangkan kos penggantian serta pembaikan rumah. Jika berlaku kerosakan akibat kebakaran, kilat atau letupan domestik, perlindungan takaful dapat membantu pencarum untuk memperoleh nilai pampasan bagi kerosakan tersebut serta ia dapat melindungi nilai aset kediaman tersebut.

Pelan takaful pendidikan juga penting untuk dipertimbangkan. Peningkatan kos pendidikan semasa dan mungkin akan terus meningkat pada masa hadapan, pelan takaful dapat membantu meringankan beban ibu bapa untuk membayar yuran pengajian di universiti kelak.


(Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar (empat, kiri)
pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW Simpan SSPN 2023 di sebuah hotel
di ibu kota/Fail foto 16 Januari 2023/fail BERNAMA)

Pilihan pelan takaful terbaik

Terdapat pelbagai inisiatif disediakan pihak kerajaan dalam mengalakkan masyarakat untuk memiliki perlindungan takaful sebagai cabang kepada pengurusan kewangan masa depan keluarga.  

Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama syarikat-syarikat penyedia insurans dan takaful telah mewujudkan satu inisiatif bagi membantu golongan B40 untuk memiliki perlindungan insurans dan takaful hayat  melalui produk Perlindungan Tenang. 

Inisiatif itu membolehkan golongan B40 mencarum atau menyertai pelan perlindungan mampu milik serta mudah difahami dengan proses tuntuan yang senang dan ringkas.

Skim Perlindungan Tenang yang meliputi takaful hayat, kemalangan diri, kerosakan harta benda dan lain-lain mampu dimiliki dengan kadar caruman dari serendah RM1 sebulan dan pelannya boleh diperbaharui setiap tahun.

Selain skim Perlindungan Tenang, terdapat juga produk SSPN Plus yang ditambah baik daripada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada yang mempunyai manfaat takaful berserta nilai caruman yang murah dan komprehensif serta digabungkan bersama simpanan pendidikan anak-anak.

SSPN Plus merupakan produk simpanan yang ditawarkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi dengan kerjasama syarikat-syarikat penyedia takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

SSPN Plus menawarkan perlindungan kepada pendeposit dan penerima manfaat yang boleh dijadikan sebagai pengganti pendapatan pendeposit sekiranya berlaku musibah ke atas mereka. Selain itu, pendeposit turut dapat menikmati pelepasan cukai tahunan bagi simpanan ini.

Pakej yang ditawarkan oleh SSPN Plus adalah berbentuk simpanan dan langganan takaful serendah RM30 sebulan.

Selain itu, syarikat-syarikat penyedia takaful lain juga banyak menawarkan pelan takaful dengan nilai langganan mampu milik terutamanya untuk golongan B40.

Malahan syarikat-syarikat itu menawarkan pelan dengan pendaftaran mudah seperti cara permohonan secara dalam talian serta ada juga yang menawarkan pelan tanpa perlu pemeriksaan kesihatan dibuat oleh pemohon.

Namun, pemilihan pelan takaful perlu disesuaikan dengan keperluan dan kemampuan pencarum, seperti jenis pelan, nilai caruman dan tempoh caruman bulanan. Pemilihan pelan takaful yang tepat dapat membantu golongan B40 mencapai matlamat kewangan mereka dan mengekalkan kestabilan kewangan pada masa hadapan.

Melihat dan memahami takaful sebagai salah satu instrument diperlukan dalam pengurusan kewangan; masyarakat perlu terus disokong oleh banyak pihak.  Tawaran pelbagai inisiatif serta pelan takaful pada harga mampu milik, maka golongan B40 mampu merancang kewangan mereka dengan lebih baik dan teratur.

Justeru, peluang melindungi keluarga dengan takaful melalui inisiatif kerajaan wajar dijadikan pertimbangan demi mencorak kestabilan kewangan yang lebih baik pada masa hadapan.

PENULIS NURAULIANI JAMLUS RAFDI, ialah Ketua Program Sarjana Kewangan Islam, dan NUZUL AKHTAR BAHARUDIN ialah, Pensyarah, Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu