fb fb fb fb fb

PEDi pacu ekonomi digital, pemangkin basmi miskin tegar

SAUDARA PENGARANG

Menelusuri lonjakan kadar pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individu, perniagaan, syarikat dan di pihak Kerajaan sendiri bagi tujuan aktiviti ekonomi dan sosial semenjak negara kita dilanda wabak pandemik global COVID-19, telah meletakkan ekonomi digital sebagai salah satu agenda nasional yang terpenting pada ketika ini.

Sejajar dengan perkembangan global semasa, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri telah menekankan kepentingan ekonomi digital bukan sahaja di dalam negara, malah usaha memperkasa ekonomi digital ini turut diberi tumpuan khusus oleh perdana menteri semasa lawatan rasmi ke luar negara terutamanya ketika lawatan ke negara China, baru-baru ini.

Hasil lawatan ke negara China, kerajaan telah berjaya membawa pulang komitmen pelaburan yang bernilai RM170 bilion yang secara tidak langsung bukan sahaja akan memberi impak yang positif kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kelak malah dalam masa yang sama akan meningkatkan kadar pelaburan langsung asing negara kita.

Sehubungan dengan itu, hala tuju jelas Perdana Menteri mengenai keperluan penjanaan ekonomi digital di peringkat antarabangsa telah disambut baik dan seterusnya diperluaskan ke peringkat komuniti oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di bawah pimpinan Fahmi Fadzil selaku menteri yang bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Digital telah mengenal pasti peranan penting sebanyak 911 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara sebagai platform bukan sahaja untuk meningkatkan kadar ekonomi digital dan KDNK negara, malah untuk meningkatkan hasil pendapatan rakyat melalui aktiviti-aktiviti keusahanan secara digital.

(Foto hiasan)

Tidak cukup dengan itu, sebanyak 186 lagi PEDi baharu yang dirancang untuk diwujudkan di seluruh negara dalam usaha mencapai sasaran sekurang-kurangnya terdapat satu PEDi di dalam setiap DUN. Hasrat untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat menerusi memanfaatkan fungsi PEDi adalah satu usaha murni yang praktikal dan berkesan.

Peningkatan hasil pendapatan usahawan-usahawan yang mendaftar dan dilatih oleh PEDi adalah bertitik-tolak daripada usaha berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang kini di bawah seliaan Tan Sri Mohamad Salim Bin Fateh Din selaku Pengerusi melalui pendekatan-pendekatan strategik dengan berkolaborasi dengan agensi-agensi Kerajaan yang lain serta penglibatan pihak swasta terutamanya dalam sektor e-dagang.

Selain daripada berfungsi untuk menyediakan capaian Internet secara kolektif bagi masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan, PEDi turut berperanan sebagai platform kepada masyarakat setempat untuk mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan teknologi dan komunikasi maklumat (ICT), mengambil bahagian dalam program untuk mengasah kemahiran dalam perniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan baharu berasaskan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.

Dalam masa yang singkat, PEDi telah terbukti mampu meningkatkan pendapatan bulanan para usahawan mikro, kecil dan sederhana melalui siri latihan dan bimbingan yang diberikan bagi memastikan model perniagaan para usahawan ini bersifat anjal dan berdaya tahan tanpa mengira waktu termasuk ketika endemik mahupun pandemik.

Selain daripada itu juga, PEDi juga boleh dilihat sebagai platform yang mencipta peluang pekerjaan sebagai usahawan sepenuh masa dalam situasi di mana sesebuah komuniti itu kekurangan peluang pekerjaan. Inilah budaya baru yang boleh dicipta dan diterapkan di dalam komuniti setempat berbanding dengan amalan keluar mencari pekerjaan di bandar-bandar besar.

(Foto hiasan)

Perkembangan ini adalah bersifat ‘serampang dua mata’ yang mana bukan sahaja mendorong kepada peningkatan ekonomi di kawasan luar bandar, malah mengurangkan cabaran kepadatan pendudukan yang kian meninggi di bandar.

Antara kaedah pelaksanaan berkesan PEDi adalah secara kerjasama strategik awam-swasta melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan memberi tumpuan untuk menjana pendapatan serta ekonomi rakyat dengan penglibatan di dalam ekonomi digital.

Gabungan ketersambungan digital dan aktiviti ekonomi digital menjadi senjata ampuh Kerajaan yang sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan dalam masa yang sama meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara.

Trend peningkatan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dapat dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mana mencatatkan 18.5%, 19.1% dan 22.6% masing-masing bagi tahun 2018, 2019 dan 2020. Ini sekali gus meletakkan negara kita kini sedang berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 25.5% pada tahun 2025.

Dalam usaha merealisasikan usaha ini, MCMC yang merupakan salah satu daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) merupakan antara peneraju utama dan watak penting sejajar dengan visi Suruhanjaya yang telah digariskan iaitu untuk mewujudkan industri komunikasi dan multimedia yang berdaya saing, cekap dan kian mengawal selia kendiri yang menjana pertumbuhan bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial negara.

Akhir sekali, semangat ‘Malaysia MADANI’ menjadi pemangkin dan pelengkap kepada matlamat penubuhan serta pengisian PEDi itu sendiri kerana seiring dan bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI iaitu merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia yang lebih manusiawi.

PENULIS, MUHAMMAD IQBAL IKHWANDI BIN MAT ZIN, AJK Biro Komunikasi Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu