SAUDARA PENGARANG
Perkembangan dalam dunia pengajian tinggi di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa. Graduan-graduan tahun 70-an hingga 90-an sentiasa tercari-cari peluang pekerjaan yang sesuai untuk mereka sejurus tamat pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun bermula pada tahun 2000 kesedaran akan kepentingan kebolehpasaran dalam kalangan graduan semakin meningkat.
Jika sebelum ini hanya beberapa program seperti perubatan, perguruan mempunyai program sangkutan atau 'attachment' pelajar, program-program lain juga mula menyedari kepentingan menghantar bakal graduan ke industri bagi menjalani latihan.
Mengikut laporan Kementerian Pengajian Tinggi, pada tahun 2022, 90.2% graduan telah berjaya mendapatkan pekerjaan sejurus mereka menamatkan pengajian. Kebolehpasaran graduan ini meningkat kepada 10% sejak 2018.
Maka istilah seperti 'praktikal' atau 'latihan industri' mula digunakan dan dimasukkan dalam landskap program pengajian pelajar. Pada awalnya, subjek praktikal atau latihan industri ini diletakkan di pertengahan landskap program pengajian.
Namun kini, mengambil kira maklum balas industri, boleh dikatakan hampir 90% program-program pengajian meletakkan subjek praktikal atau latihan industri pada semester terakhir supaya pelajar boleh terus diserap dalam organisasi sejurus tamat tempoh latihan industri.
(Foto hiasan)
Memahami keperluan latihan industri
Latihan Industri adalah satu inisiatif dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta dalam memberi peluang kepada bakal graduan untuk memasuki dunia pekerjaan sebelum mereka tamat pengajian.
Mahasiswa akan memasuki dunia pekerjaan melalui latihan industri selama minimum tiga (3) bulan mengikut kehendak standard program masing-masing.
Semasa menjalani latihan industri, pelatih akan diberi tugas-tugas yang mereka perlu sempurnakan selama mereka berada di organisasi berkenaan. Mereka akan menimba banyak pengalaman dan menjalankan tugas sebenar dalam skop kerja yang telah diberikan.
Objektif di sebalik latihan industri
Latihan industri atau praktikal memberi peluang kepada mahasiswa atau bakal graduan untuk memilih organisasi yang berkait dengan program yang mereka sedang pelajari di organisasi-organisasi berkaitan.
Latihan industri juga membuka peluang bagi bakal graduan untuk diserap sebagai sebahagian tenaga kerja di organisasi di mana mereka menjalankan latihan industri mereka.
KPT juga mahu mahasiswa yang menjalani latihan industri untuk memahami tanggungjawab dalam dunia pekerjaan yang sebenar selain mendapat pengalaman praktikal yang sesuai dengan bidang pengkhususan masing-masing.
Latihan industri turut menjadi medan terbaik mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran akademik dalam dunia pekerjaan dan pada masa sama dapat menghayati nilai etika professional dan mengasah kemahiran insaniah yang sesuai dengan persekitaran pekerjaan mereka.
Realiti dunia latihan industri
Masih ramai pelatih kurang cakna tentang kepentingan latihan industri. Mereka mengambil ringan malah gagal untuk menggunakan latihan industri sebagai batu loncatan untuk memasuki alam pekerjaan.
Pelatih perlu menyedari dan memahami objektif mereka dalam menjalankan latihan industri. Ada segelintir pelajar mengambil ringan dan hanya mahu sekadar lulus dan merasakan subjek praktikal atau latihan industri ini sekadar sebagai pelengkap landskap pengajian sahaja.
Mereka gagal memahami mengapa perlunya menjalani latihan industri. Menunggu hingga saat-saat akhir untuk memohon penempatan latihan industri mengakibatkan pemilihan organisasi yang terhad ekoran saingan daripada pelatih lain dari kebanyakan universiti yang lazimnya menjalani latihan dalam tempoh yang hampir sama. Akibatnya ada sebahagian mahasiswa yang menempatkan diri di organisasi yang kurang bersesuaian dengan program yang mereka pelajari.
Ini seterusnya menjadi punca kepada kurangnya motivasi untuk bekerja dengan berdedikasi dan akhirnya pelatih menjadi kurang disiplin ketika menjalani latihan.
Majikan juga mungkin tidak dapat mempertimbangkan mereka sebagai bakal kakitangan. Pelatih perlu keluar dari dunia selesa mereka ketika di universiti ketika menjalani latihan industri. Alam pekerjaan amat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di universiti.
Meningkatkan kompetensi dan daya saing dalam bidang pengkhususan dan keupayaan untuk menghubungkaitkan pengalaman di tempat kerja dengan ilmu yang dipelajari di universiti wajar menjadi perhatian.
(Foto hiasan)
Memanfaatkan latihan industri
Dalam dunia yang sangat mencabar ini terutama sekali selepas era pandemik COVID-19, peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang bertepatan dengan bidang pengkhususan adalah sangat kompetatif.
Maka, mahasiswa wajar memanfaatkan peluang yang disediakan oleh pihak universiti dan industri dengan sebaiknya.
Menerusi latihan industri peluang mahasiswa untuk merebut jawatan kosong yang ditawarkan oleh organisasi adalah lebih tinggi sebelum menamatkan pengajian mereka di universiti secara rasmi.
Peluang terbuka luas itu, perlu direbut sebaiknya kerana pengakhiran kepada perjalanan panjang mendapatkan segulung ijazah di universiti sudah tentunya untuk mendapatkan peluang pekerjaan bagi memastikan kelangsungan hidup selepas bergraduasi.
Sokongan ibu bapa dan organisasi
Ibu bapa wajar memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu anak-anak mereka dalam pemilihan tempat latihan industri, memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi agar latihan industri dapat dijalani dengan penuh keyakinan dan komitmen tinggi.
Keputusan latihan industri yang baik bukan sahaja akan meningkatkan Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG), namun turut meluaskan jaringan baik untuk mendapatkan kerja sejurus menamatkan latihan industri.
Ibu bapa perlu menjadi pasak sistem sokongan yang terbaik kepada anak-anak, kerana mereka sedang dalam proses mengadaptasi hidup mereka dalam dunia pekerjaan. Sudah tentu alam universiti dan alam pekerjaan amatlah berbeza dan mahasiswa harus mempunyai kekuatan mental untuk menjalani latihan industri dengan jayanya.
Kesediaan mental yang kuat untuk beraksi dalam dunia sebenar iaitu alam pekerjaan amat diperlukan. Walaupun pihak IPT sentiasa menyediakan pelbagai program sokongan bagi menyediakan mahasiswa memasuki alam pekerjaan, ibu bapa tetap diperlukan sebagai tempat mengadu supaya mereka kekal cekal dan positif dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi.
Mutakhir ini kerap dibincangkan tentang isu elaun pelajar-pelajar yang menjalani latihan industri. Saban tahun, walaupun kos sara hidup meningkat, namun masih banyak organisasi yang tidak peka akan isu ini dan tidak memberi sebarang bentuk manfaat kewangan kepada pelatih industri.
Isu ini acap kali diutarakan namun, pihak universiti hanya mampu mendengar keluhan pelajar.
Namun kini, Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti cadangan untuk memberi elaun kepada pelajar-pelajar yang sedang menjalani latihan industri bukan sahaja di syarikat swasta juga di sektor kerajaan.
Cadangan ini adalah amat tepat pada masanya dan dirasakan amat perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa. Pelatih industri memerlukan elaun untuk menampung perbelanjaan asas berkaitan seperti membayar sewa rumah, kos perjalanan dan makan minum.
Dengan adanya elaun ini, sudah tentu pelatih akan dapat menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh dan lebih bermotivasi.
Saranan dan pertimbangan dari pelbagai pihak yang sedang dibincang dan bakal dilaksanakan wajar dilihat dari pelbagai perspektif yang memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
Pelatih sebagai sumber insan, organisasi sebagai pendokong produktiviti negara dan universiti sebagai pusat penyediaan bakal sumber insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai asas kemahiran dan sikap baik yang diharapkan organisasi.
Seperti kata pepatah, ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’. Rezeki perlu diusahakan dan tidak akan datang dengan sendiri. Usaha tangga kejayaan. InsyaAllah dengan berkat usaha pelajar-pelajar ini, doa restu ibu bapa dan pensyarah, juga sokongan industri; Malaysia bakal menjadi negara maju dengan tenaga kerja professional di semua peringkat yang cekal dan berwibawa.
PENULIS, DR. RABIATHUL ADHABIYYAH BT. SAYED ABUDHAHIR, Pengarah, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri / Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.