fb fb fb fb fb

Budi Bahasa perlu jadi budaya

(Foto hiasan/Bernama)

ULASAN BERITA

"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa." Peribahasa ini ada kaitan dengan isu semasa yang melibatkan seorang pelawak komediri wanita kelahiran Singapura.

Melawak.. melawak juga... tetapi, tidak perlu mengeluarkan kata-kata kesat, dan memperlekeh sehingga menjatuhkan dan menyinggung perasaan orang lain.

Menghina kedaulatan negara dan berjenaka mengenai kehilangan pesawat MH370, bukan sesuatu yang lucu! Ditambah pula dengan memek muka yang tidak menyenangkan hati. Seorang pelawak perlu berilmu dalam setiap tutur kata dan adabnya semasa menghibur. Bukan memilih topik secara semberono, dengan menyentuh isu-isu panas dan sensitif.

Sekadar memetik beberapa nama seperti Harith Iskander, Dato' Afdlin Shauki dan Kumar ---seorang lagi pelawak dari seberang Tambak Johor. Mereka berjaya membuat penonton terhibur tanpa komedi yang berlebih-lebihan.

Disebabkan mulut celupar dan biadap “sang” pelawak, kerajaan Singapura sendiri terpaksa memohon maaf. Meski dia tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura.

Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan dalam twit di akaun Twitter menegaskan wanita itu tidak mewakili pandangan keseluruhan rakyat Singapura.

Ternyata, si pelawak buat silap besar. Tindakannya bukan hanya membangkitkan rasa marah rakyat Malaysia. Malah, rakyat Singapura turut kesal dengan kelancangan mulut si pelawak berkenaan.

Mereka menganggapnya sebagai keji dan keterlaluan. Panasnya isu pelawak kurang ajar itu turut menarik perhatian ahli Dewan Rakyat.

Kena hadap pula kecaman dan hentaman berbondong-bondong "tentera bawang" dan "wira papan kekunci" Malaysia. Sedangkan Israel pun boleh koyak, inikan pula pelawak picisan.

Hanya beberapa jam sahaja selepas klip video pementasan komedi itu tular, pelawak berkenaan menerima kecaman hebat dan serangan bertali arus oleh netizen.

Artikel berkaitan:
SKMM, PDRM siasat tindakan biadab pelawak komedi berdiri
Pelawak Singapura didakwa hina Malaysia
Jocelyn Chia bukan lagi warga Singapura, mohon maaf kepada Malaysia - Pesuruhjaya Tinggi

Laporan 'berjemaah' yang dibuat terhadap wanita berkenaan memaksa dia memadam akaun media sosialnya. Akaun Instagram dan Twitternya juga digantung.

Akaun Tiktok pula, walaupun aktif, tetapi ruangan komen bagaimanapun sudah ditutup.

TikTok sendiri telah mengeluarkan video tular berkenaan dari platform media sosial itu kerana kandungan yang melanggar garis panduan komuniti dan diskriminasi.

Hai, nasib badan..Nah! Sekarang tanggunglah akibatnya… Tetapi, dia masih angkuh. Sehingga kini, belum ada permohonan maaf dibuat pelawak berkenaan.

Pokok pangkal, budi bahasa perlu jadi budaya. Bila sebut budi bahasa...yang dimaksudkan ialah santun kata yang baik, indah pertuturannya.

Ya, Malaysia mungkin sebuah negara yang masih membangun. Namun, masih boleh berbangga kerana masyarakatnya masih lagi terkenal dengan tinggi pekertinya.


(Tangkap layar video TikTok @jocelynchiacomedy)

Kita hidup di negara yang berbilang kaum, pelbagai agama dan berbilang budaya. Oleh itu, apabila berbicara tentang sesuatu, malah lawak jenaka sekali pun tidak boleh bersifat menyinggung perasaan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang.

Ibu bapa dan orang tua-tua selalu ingatkan kita "biar tak pandai, jangan kurang ajar". Meski nampak kecil dan remeh, tetapi berbudi bahasa amat besar nilainya dalam kehidupan kita.

Kenapa budi bahasa itu penting? Jawapannya, ia ada kaitan dengan akhlak dan tamadun. Budi bahasa merupakan elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap individu kerana ia melambangkan peribadi dan sahsiah diri seseorang.

Bahasa yang molek bukan sahaja pada mulut dan bibir, tetapi hati yang baik. Jika budaya berbudi bahasa dan santun dikekalkan, keharmonian akan terus terjaga.

Di Malaysia, perbuatan mengeluarkan kata-kata tidak senonoh atau menyinggung perasaan adalah satu kesalahan. Boleh didakwa jika didapati melanggar Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda RM50,000.00 Kita harap kes pelawak negara jiran itu tidak akan berulang lagi pada masa hadapan. Ia perlu dijadikan peringatan dan iktibar oleh semua orang.

Pepatah Melayu ada menyebut, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Fikir panjang dan hati-hati bila mengeluarkan kata-kata. Bukan apa.. takut padah memakan diri; rugi sendiri.

PENULIS EMMI NORALIZA ADNAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu