fb fb fb fb fb

Kelangsungan remaja mendepani cabaran dunia digital

Foto hiasan/RTM)

SAUDARA PENGARANG

Remaja adalah aset negara yang mampu mencorakkan masa depan negara. Dalam kebanyakan isu perihal negara, akan mengaitkan peranan remaja dalam pembangunan negara.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan remaja hari ini telah menjadi sinonim dengan golongan sasaran pelbagai pihak yang berusaha menterjemahkan generasi muda ini menjadi generasi pewaris negara dan akan menyaksikan golongan ini menerajui negara sedikit masa lagi.

Bagi golongan remaja, tekanan dan cabaran yang dihadapi mereka, tanggungan yang diletakkan di bahu mereka, menjadikan mereka sering kali menjamah kesilapan dalam meneruskan kehidupan.

Tanpa dorongan dan bimbingan yang sempurna, remaja juga dijadikan sandaran golongan tertentu untuk meraih keuntungan, populariti dan agenda berkepentingan.

Contohnya, apabila berlakunya krisis sosial, golongan remajalah yang menjadi mangsa telunjuk sebagai punca masalah itu berlaku.

Kes-kes pembulian di sekolah, ponteng sekolah, masalah seks bebas, ketagihan rokok dan arak di negara ini banyak disasarkan kepada golongan remaja dan ternyata bahawa golongan bermasalah ini telah tersasar daripada pemeliharaan rapi masyarakat kita.

Kecanggihan Dunia Teknologi

Selepas PRU ke-14, kita telah menyaksikan bahawa golongan remaja telah dilabelkan sebagai golongan yang perlu diberi perhatian khusus memandangkan mereka terdedah kepada percambahan kuasa teknologi maklumat siber yang banyak mendorong mereka mempercayai maklumat-maklumat yang mendatangkan implikasi besar kepada golongan ini.

Masalah ketagihan Internet, perjudian haram, penipuan berurus niaga dalam talian dan penyebaran kandungan jelik dalam siber telah mengundang remaja menanggung kesan buruk kepada diri dan imej mereka.

Pencarian Imej Diri

Boleh dikatakan pada lingkungan usia remaja, mereka tidak memiliki identiti diri yang konsisten sehinggalah mereka mencapai usia kedewasaan kelak. Dengan berpandukan persekitaran yang terhidang di hadapan mata mereka, golongan ini akan mencuba apa sahaja yang disangkakan dapat memberikan faedah kepada mereka tanpa mengira sama ada perbuatan mereka akan menjadi 'buah mulut' orang lain atau sebaliknya.

Jika ditinjau dari segi psikologi, remaja adalah golongan yang sangat aktif menjelmakan imej dan identiti baharu bagi memenuhi kepuasan diri mereka, memenuhi tuntutan peredaran zaman supaya terus relevan dan sentiasa menarik perhatian orang lain terhadap imej yang dianuti mereka.

Namun begitu, tanpa perancangan dan penyusunan strategik yang konsisten, remaja lebih terdedah kepada masalah kemurungan apabila dia merasakan apa sahaja yang dilakukan akan menemui kegagalan. Bayangkan statistik tetrkini melaporkan 30% daripada remaja lingkungan 14 hingga 17 tahun di negara ini terdedah kepada perbuatan membunuh diri, atas sebab kegagalan mereka mengatasi penyakit kemurungan tegar yang mereka hadapi.

Hal ini sangat membimbangkan kita kerana golongan remaja seharusnya menjadi generasi yang mencerminkan masa depan negara. Memetik pepatah Soekarno, "Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah anak-anak mudanya".
Nah, terserlah bagaimana imej dan reputasi golongan remaja mencerminkan kejayaan dan kemajuan negara bangsanya sendiri.

Hilang Patriotisme Diri

Sejak kebelakangan ini juga, kita sering mendengar keluhan masyarakat yang menyatakan bahawa remaja kurang menonjol menjadi ikonik masyarakat jika dibandingkan dengan tahun-tahun silam.

Kecanggihan teknologi maklumat telah melemaskan remaja kita untuk meneroka lebih banyak ilmu yang dapat memantapkan sikap patriotisme dalam kalangan mereka, sehinggakan mereka sanggup mengambil ringan malah menghindarkan diri mereka daripada mempelajari sejarah negara bangsa mereka dan menganggap politik negara sebagai suatu masalah kuasa yang tidak berkesudahan.

Remaja Penentu Kuasa Kerajaan

Menyedari hal ini juga, kerajaan telah meletakkan suatu cabaran terbesar buat golongan ini dengan memperakukan usia minimum 18 tahun bagi pengundi PRU telah berlalu menyaksikan peranan pengundi remaja memilih kerajaan pada masa sekarang.

Ini menunjukkan bahawa dalam seusia sedemikian, remaja akan berupaya dan memiliki hak memilih kerajaan memerintah. Berikutan pengumuman tersebut, pelbagai polemik dan kritikan daripada masyarakat, kebanyakannya tidak mempercayai kebolehan dan kematangan remaja seusia tersebut untuk membuat pilihan yang tepat bagi menentukan kelangsungan politik pentadbiran negara ini.

Soalnya, adakah mereka bersedia melaksanakan tanggungjawab penting itu?Tepuk dada tanya selera. Segalanya terletak di tangan masyarakat untuk menentukan kematangan remaja kita bersiap sedia memenuhi tanggungjawab di bahu mereka nanti. Masyarakat kita yang akan memimpin mereka, menjelmakan kesinambungan warisan mereka, menentukan bentuk kepemimpinan negara.

Reformasi Pendidikan dan Kemandirian

Realitinya, remaja memerlukan dorongan kuat untuk mengasuh mereka meneroka pengalaman dan ilmu pengetahuan terkini untuk melengkapkan penakat kehidupan mereka.
Samalah juga dengan keterlibatan dan bakat anak-anak muda ini dalam bidang sukan yang seharusnya dipupuk dan dikembangkan sejak kecil lagi.

Perancangan yang rapi daripada semua peringkat, bermula ibu bapa, guru, ketua kampung, pemimpin masyarakat harus dibuat dengan mencungkil bakat-bakat sukan anak-anak muda sejak dari sekolah rendah lagi.

Penjelmaan dan pengembangan bakat tersebut harus dilaksanakan secara konsisten sehinggalah anak-anak muda ini terdidik dalam sekolah-sekolah sukan dan akhirnya menjadi atlet negara yang cemerlang dalam suatu tempoh yang panjang.

Pelan strategik untuk melahirkan remaja berbakat dalam semua bidang juga harus melalui proses yang sama. Ia menjadikan anak-anak muda ini berupaya membina kemandirian yang kuat dan tidak bergantung sepenuhnya pada kemampuan organisasi yang melatih mereka.

Hasilnya mereka akan berupaya menterjemahkan segala pengalaman dan pengetahuan mereka kepada haluan kemandirian yang matang, bahkan sifat ini nanti akan menterjemahkan anak-anak muda ini memiliki sifat kreatif dan inovatif untuk mencari segenap ruang dan peluang memajukan diri mereka dengan lebih konsisten.

Apa yang lebih penting ialah dorongan dan bimbingan daripada masyarakat kita untuk memimpin anak-anak muda ini menikmati kebebasan memilih dengan penuh tanggungjawab walaupun akan ada waktunya mereka gagal dalam satu-satu usaha yang dibuat.

Kita seharusnya tidak menakut-nakutkan remaja menganggap peraturan membebankan tetapi mencari penambah baik dan inovasi diri.

Namun begitu, kegagalan tersebut akan terus memberikan nafas baharu buat mereka mempelajari pengalaman yang berharga untuk membina imej dan reputasi diri mereka pada masa akan datang. Selain daripada itu, penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing seperti bahasa Arab, Mandarin dan sebagainya harus dipupuk bagi menambah mutu imej keperibadian remaja apabila melangkah ke dunia pekerjaan nanti.

Kegagalan remaja menyaingi persekitaran pekerjaan hari ini dan masa depan yang banyak memerlukan kemahiran insaniah ini akan melumpuhkan peluang mereka untuk meneruskan kemandirian mereka secara konsisten.

Sebubungan itu, menjadi tanggungjawab bersama kita memastikan bahawa kehadiran remaja mewarnai persekitaran kehidupan masyarakat di Malaysia harus diberi dorongan dan bimbingan sewajarnya supaya jalan kehidupan mandiri mereka akan memperoleh proses kematangan yang diidamkan oleh rakyat Malaysia hari ini.

PENULIS, TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Komunikasi dan Media Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu