fb fb fb fb fb

Ekonomi gig: Serampang dua mata untuk keseimbangan kerja, keluarga

(Dengan memahami keperluan daripada setiap domain kerja dan keluarga
serta melaksanakan strategi yang berkesan, pekerja gig boleh mengemudi tuntutan
ekonomi gig sambil mengekalkan kehidupan keluarga yang sejahtera dan harmoni/Foto Hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Ekonomi gig merujuk kepada pasaran buruh yang melibatkan individu bekerja jangka pendek, bebas atau berasaskan kontrak. Ia adalah alternatif kepada pekerjaan sepenuh masa secara tradisional yang terikat dengan majikan dan peraturan.

Jenis kerja ini dimudahkan dengan platform dalam talian yang menghubungkan pekerja dengan pelanggan, seperti Uber, Grab, dan Foodpanda. 

Ekonomi gig telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ramai pekerja memilih untuk meneruskan jenis kerja sebegini kerana fleksibiliti dan keupayaan untuk menetapkan jadual mereka sendiri.

Dengan memahami keperluan daripada setiap domain kerja dan keluarga serta melaksanakan strategi yang berkesan, pekerja gig boleh mengemudi tuntutan ekonomi gig sambil mengekalkan kehidupan keluarga yang sejahtera dan harmoni.

Implikasi Landskap baharu ekonomi gig

Oleh kerana ekonomi gig telah mengubah landskap pekerjaan tradisional dengan memberikan individu kebebasan untuk memilih bila, di mana dan cara mereka bekerja. Maka ia memberi kelonggaran atau fleksibiliti kepada pekerja. Fleksibiliti yang wujud ini bukan saja membolehkan pekerja gig menyusun jadual kerja, malah kehidupan
peribadi mereka dapat disesuaikan. 

Walau bagaimanapun, sifat kerja gig telah mengaburkan sempadan antara kerja dan keluarga sering mengakibatkan peningkatan konflik kerja-keluarga. Konflik kerja-keluarga timbul apabila tuntutan kerja dan peranan keluarga tidak serasi, yang membawa kepada tekanan, ketegangan, dan hasil negatif.

Bagi pekerja gig, konflik kerja-keluarga muncul dalam pelbagai dimensi, termasuk konflik berasaskan masa (apabila kewajipan kerja mengambil masa keluarga), konflik berasaskan ketegangan (apabila tekanan kerja merebak ke dalam kehidupan keluarga), dan konflik berasaskan tingkah laku (apabila tingkah laku berkaitan kerja menghalang interaksi keluarga). 

Konflik kerja-keluarga yang berpanjangan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesejahteraan mental dan fizikal, serta merenggangkan hubungan dengan pasangan, anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Ciri ekonomi gig yang berkeupayaan untuk bekerja pada bila-bila masa dan di mana-mana boleh menyebabkan kesukaran untuk menetapkan sempadan yang jelas dan memperuntukkan masa untuk tanggungjawab keluarga. Misalnya seseorang yang membuat live bagi jualan di platform Tik Tok, boleh melaksanakan aktiviti tersebut di rumah tanpa mengira sama ada waktu siang ataupun malam. Jika bekerja dengan majikan yang mempunyai waktu operasi standard, sudah pasti selepas pukul 5 petang atau 6 petang, mereka sudah berada dalam lingkungan keluarga dan tidak terikat dengan kerja. 

Namun, pekerja gig boleh sahaja melaksanakan tugas mereka pada bila-bila masa kerana tidak ada garis masa yang jelas di antara kerja dan keluarga yang mengakibatkan kadangkala mengorbankan waktu yang sepatutnya diperuntukkan untuk keluarga. 

(Konflik kerja-keluarga yang berpanjangan boleh mendatangkan kesan
buruk terhadap kesejahteraan mental dan fizikal, serta merenggangkan hubungan
dengan pasangan, anak-anak dan ahli keluarga yang lain/Foto Hiasan)

Mengimbangi Konflik Kerja-Keluarga

Walaupun konflik kerja-keluarga merupakan cabaran penting bagi pekerja gig, namun terdapat beberapa strategi yang boleh membantu mengurangkan kesannya.

Mengurus masa yang berkesan adalah penting. Pekerja gig wajar merancang tugas, menetapkan tarikh yang realistik dan memanfaatkan alatan teknologi untuk mengoptimumkan jadual mereka. Menerusi perancangan yang baik dari segi peruntukan masa, pekerja gig boleh menetapkan tempoh khusus untuk aktiviti kerja, serta aktiviti keluarga dan peribadi.

Mereka yang terlibat dengan Grab misalnya boleh memilih untuk terlibat dengan penghantaran selepas pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi memberi ruang menguruskan urusan keluarga pada sebelah petang.

Menetapkan dengan jelas sempadan di antara kerja dan keluarga sama ada dari segi masa, tempat dan keutamaan. Pekerja gig harus menetapkan sempadan yang jelas antara kerja dan kehidupan peribadi, menyampaikan dengan jelas keberadaan mereka untuk kerja yang dilaksanakan dan batasan mereka kepada pelanggan dan ahli keluarga.

Tetapkan ruang yang berbeza jika perlu di dalam rumah bagi melaksanakan kerja akan membantu pekerja gig menggariskan dengan jelas batasan di antara waktu kerja dan waktu dengan keluarga. Penetapan sempadan ini boleh membantu mengekalkan keseimbangan dan meminima konflik kerja dan keluarga.

Membina sistem sokongan wajar menjadi keutamaan sekali gus memupuk rangkaian sokongan sosial yang kukuh, yang terdiri daripada keluarga, rakan dan rakan sekerja gig, boleh memberikan sokongan emosi, bantuan praktikal dan rasa kekitaan. 

Rangkaian ini menawarkan sumber dan pemahaman sama dalam lingkungan pekerja gig; mungkin telah berpengalaman mengendalikan konflik yang timbul daripada kerja yang menjejaskan keluarga.

Dengan adanya sistem sokongan itu, pekerja gig yang berhadapan dengan konflik tidak merasa keseorangan tetapi keadaan mereka difahami oleh orang lain dan mendapat sokongan samada dari segi emosi dan praktikal dalam menyusun semula jadual dan menyelesaikan konflik yang berlaku. 

Ibu bapa atau penjaga sebagai pekerja gig turut menghadapi cabaran unik. Mengimbangi kerja gig dengan penjagaan anak dan kewajipan keibubapaan memerlukan perancangan dan penyelarasan teliti. Meneroka pengaturan penjagaan kanak-kanak yang fleksibel, seperti perkongsian penjagaan dengan pasangan, bergantung kepada ahli keluarga yang dipercayai atau menggunakan perkhidmatan jagaan harian, boleh membantu memastikan kesejahteraan kanak-kanak sambil membenarkan pekerja gig memenuhi komitmen kerja mereka.

Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat disaran dapat menjadikan pelbagai isu ini sebagai pertimbangan wajar. Dasar cuti ibu bapa dan amalan mesra keluarga dalam ekonomi gig boleh memberikan sokongan yang diperlukan untuk ibu bapa dan penjaga, membolehkan mereka
memenuhi keperluan keluarga mereka tanpa mengorbankan aspirasi profesional mereka.

Landskap baharu ekonomi di Malaysia susulan ledakan teknologi ekonomi digital terutama gig boleh menjadi alternatif dan serampang dua mata ke arah keseimbangan kerja dan keluarga. Syaratnya pekerja perlu memahami keperluan kerja dan keluarga serta menentukan strategi yang sesuai. 

Dalam era ekonomi gig yang semakin berkembang, setiap orang berpeluang untuk memilih cara bekerja dengan pilihan yang lebih menjamin kesejahteraan mental dan fizikal, serta memelihara hubungan yang baik dengan keluarga masing-masing.

PENULIS DR. NORMAZAINI SALEH, Ketua Program Doktor Falsafah Pengurusan/Pensyarah kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, UIS.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu