SAUDARA PENGARANG
Program komunikasi dan media membangunkan kemahiran profesional untuk memastikan pelajar bersedia memasuki tenaga kerja seterusnya menggapai kejayaan dalam kerjaya pilihan.
Dunia pendidikan melalui kaca mata media mengangkat kecemerlangan pelajar dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang baharu diumumkan. Rata-rata keputusan menunjukkan peningkatan dalam semua mata pelajaran. Di sebalik keputusan cemerlang itu, pelajar perlu membuat keputusan memilih destinasi atau hala tuju selepas ini.
Ke mana selepas SPM? Kalau pelajar cemerlang seperti Muhammad Aziq Asri yang memperoleh 8A 1B bercadang menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam demi memenuhi cita-cita menjadi ahli sejarah, anda pula bagaimana? Muhammad Aziq merupakan calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) berdepan dengan masalah autism meminati sejarah terutama yang berkaitan dengan peperangan.
Pemilihan kerjaya pendidikan selepas SPM penting untuk masa depan dalam bidang pengajian yang diminati. Bagi sesetengah bidang, minat sahaja belum cukup kerana terdapat syarat lain yang perlu diseiringkan sebelum melanjutkan pelajaran.
Memilih jurusan komunikasi dan media
Jika minat dan bakat anda dalam bidang komunikasi, anda berkemungkinan sesuai untuk meneroka industri komunikasi dan media. Industri kreatif ini sentiasa mempunyai permintaan dalam pasaran kerana selain menjadi peneraju industri komunikasi dan media, bidang ini sentiasa relevan dalam dunia pekerjaan yang luas.
Bagaimana jurusan komunikasi dan media boleh melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam pelbagai bidang profesional? Apakah potensi pekerjaan dalam bidang komunikasi dan media seperti perhubungan awam, kewartawanan, pengiklanan, pemasaran digital, penyiaran dan komunikasi korporat.
Kepelbagaian sub bidang ini memberi gambaran tentang laluan kerjaya yang pelbagai tersedia untuk graduan komunikasi dan media. Ijazah komunikasi dan media
ataupun diploma komunikasi dan media membuka pelbagai peluang kerjaya merentasi pelbagai industri.
Pena dahulu lebih tajam daripada mata pedang
Pepatah terkini dalam dunia digital ‘Tweet lebih tajam daripada mata pedang’! Pelajar komunikasi dan media diajar untuk menjalankan temubual, penyelidikan, menulis berita dan rencana, menyunting kandungan, menyampaikan maklumat dengan cara yang tidak berat sebelah dan penulisan objektif.
Pesan penulis-penulis hebat, ‘kalau nak jadi penulis, kena jadi pembaca dulu’. Sudah tentu! Membaca adalah asas penting untuk menjadi seorang penulis.
Bacalah pelbagai karya, gaya penulisan, teknik dan genre, semua ini membantu anda mengembangkan suara dan gaya penulisan anda sendiri. Dengan membaca, anda dapat meningkatkan perbendaharaan kata dan penguasaan bahasa sekaligus membolehkan anda menyatakan idea dengan lebih berkesan dan tepat.
Maka, membaca, membaca, membaca kemudian barulah menulis. Anda akan menemui kecintaan dan minat yang mendalam dalam penulisan. Setiap karya memungkinkan menjadi inspirasi, menyentuh hati dan memberi pengalaman serta buah fikiran kepada orang lain.
J.K. Rowling semasa berucap di Universiti Harvard, memutuskan untuk bercakap tentang kepentingan imaginasi dan konsep kegagalan yang membawa kepada keazaman dan disiplin yang tidak disangka dalam penulisan. Katanya, “Anda tidak akan benar-benar mengenali diri anda atau kekuatan sehingga kedua-duanya diuji oleh kesukaran.”
Membangun kemahiran komunikasi
Pentingnya kemahiran komunikasi meliputi komunikasi digital dan media sosial dalam lanskap profesional masa kini. Pelajar akan mengembangkan kemahiran dalam mencipta kandungan media, pengurusan media sosial, penceritaan secara digital dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan mempelajari cara komunikasi berkesan dalam format medium media yang berbeza.
Pelajar bukan sahaja menumpukan pada aspek teori sahaja tetapi memperoleh kemahiran praktikal melalui pengalaman langsung. Pengalaman boleh diperoleh semasa latihan amali, projek media dan kerja-kerja kolaborasi dengan rakan dalam kelas.
Pelajar jurusan komunikasi dan media kebiasaannya aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, kelab dan projek komuniti. Mereka akan memanfaatkan aktiviti dan menggunakan pengetahuan serta kemahiran ini di luar kelas. Aktiviti ini dapat melahirkan sikap positif, kepimpinan dan kemampuan bekerjasama dengan orang lain.
Selain itu, mereka dilatih menjalin rangkaian dengan profesional dalam industri dan ini akan meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam bidang komunikasi dan media yang kompetitif.
Aplikasi teknologi komunikasi
Evolusi teknologi komunikasi merubah platform media turut mempengaruhi budaya kerja dalam komunikasi dan media. Pelajar akan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Universiti akan menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman dalam dunia sebenar melalui latihan amali, perkongsian industri dan projek yang memerlukan praktis atau hands-on.
Bidang komunikasi berkembang disebabkan oleh kemajuan dalam teknologi dan perubahan dinamik masyarakat. Selain daya tahan dan kebolehan menyesuaikan diri dengan teknologi komunikasi, mereka turut perkukuhkan literasi media dan pemikiran kritis semasa mengemudi lanskap media yang sentiasa berubah. Ia satu keperluan penting dalam membuat pertimbangan dan menjadi pengguna atau mencipta kandungan media supaya lebih bertanggungjawab.
Laluan kerjaya dalam bidang komunikasi dan media
Mengikuti kisah kejayaan alumni yang boleh memberi inspirasi, menitip perjalanan kerjaya mereka, pencapaian dan bagaimana pendidikan dan kemahiran yang mereka peroleh dapat membantu mereka mengharungi bidang kerjaya masing-masing. Antara kerjaya pilihan adalah:
- Komunikasi korporat dan Pegawai Perhubungan Awam (PR) di organisasi swasta atau awam.
- Wartawan atau wartawan siaran atau pemberita dan penerbit TV. Tugas wartawan masa kini bukan sahaja menulis dan melapor berita, mereka juga aktif di platform media sosial dalam membentuk naratif, menjadi pencetus perbincangan yang mungkin mencipta perubahan sosial.
- Penulis dan editor kandungan. Menyunting kandungan untuk pelbagai platform termasuk bahan untuk pemasaran.
- Perunding komunikasi. Mereka memberikan nasihat strategik kepada organisasi berkaitan amalan komunikasi dan media.
Ini hanyalah beberapa contoh laluan kerjaya yang tersedia untuk graduan komunikasi dan media. Bidang ini dinamik dan sentiasa berkembang yang menawarkan peluang untuk ‘orang masscomm yang boleh buat macam-macam’.
Mereka juga boleh menjana pendapatan sebagai penterjemah buku, laporan tahunan, ghost writer dan sebagainya. Manakala graduan yang belum mendapat pekerjaan idaman, teruskan mencari peluang kerja yang sesuai dengan latar belakang anda. Pada masa yang sama tingkatkan kemahiran yang relevan dengan bidang komunikasi.
Dalam dunia serba maju ini, kita bersaing dengan peningkatan dan pembangunan AI (Artificial Intelligence) menyebabkan beberapa kursus atau pekerjaan menjadi lapuk, walaupun teknologi mendominasi, namun kita masih memerlukan sentuhan manusia untuk meletakkan emosi ke dalam kata-kata, untuk ‘memberi nyawa’ atau kehidupan pada perkara yang statik dan untuk berhubung antara satu sama lain.
Oleh itu, kajian komunikasi massa akan membantu anda mengharungi semua cabaran dan kemajuan teknologi ini.
PENULIS, NORAZIRAWATI AHMAD ialah Pensyarah/Ketua Program Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.