fb fb fb fb fb

Perlu terus “seiring sejalan” perkukuh perpaduan

Foto hiasan/Kementerian Perpaduan Negara

ULASAN BERITA

Perpaduan. Frasa yang begitu tinggi nilainya, dan sangat besar ertinya. Perpaduan lawannya perpecahan. Perpecahan boleh mengundang permusuhan.

Menyemai perpaduan rakyat bukan senang. Ia mengambil masa yang lama untuk dibina, tetapi senang runtuh cukup dengan kata-kata sahaja. Ia kerana cakap-cakap yang berbaur perkauman akan menanam bibit-bibit kebencian.

Begitulah natijahnya kalau usaha mengukuh perpaduan diambil mudah oleh generasi muda; dan sekiranya tidak pula diperturunkan oleh orang lama.

Dalam hal ini, molek untuk kita menghayati serta melaksana titah pemerintah. Yang di-Pertuan Agong mewariskan tiga nasihat berguna, semasa menyempurnakan pelancaran majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2023.

Pertama, agar kita semua menjadikan perpaduan sebagai aset negara yang paling penting. Ia untuk masa depan Malaysia yang lebih baik dan terjamin.

Kurangkan juga perbezaan sesama kita kerana ini hanya melebarkan jurang antara setiap kaum, bangsa dan agama.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, betapa penerapan nilai perpaduan harus bermula dari rumah. Sesungguhnya, amat besar cita-cita dan harapan baginda tuanku kepada kita.

Kepentingan memelihara dan menyemai perpaduan menjadi tanggungjawab semua. Dalam hal ini, umum perlu tahu, di pihak kerajaan Malaysia Madani, telah merintis pelbagai usaha untuk mengukuh perpaduan rakyat. Terutama dalam mendekati dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Antaranya menerusi program Sambutan Minggu Perpaduan 2023, yang telah berjaya dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara. Acara itu yang disambut bulan lalu merupakan usaha penyatupaduan berterusan; untuk mendidik, membentuk peribadi dan tingkah laku masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya serta meraikan kepelbagaian.

Kementerian Perpaduan Negara bawah teraju Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang menyasarkan untuk menjadikan Sambutan Minggu Perpaduan sebagai acara tahunan.

Menerusi pelaksanaannya pada minggu terakhir bulan Mei setiap tahun, kementerian berharap dapat terus menarik penyertaan rakyat pelbagai lapisan, juga kerjasama dan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, NGO, serta syarikat persendirian.


Foto hiasan/Kementerian Perpaduan Negara

Pada bulan lepas, sambutan diterima sangat menggalakkan di semua 16 lokasi berbeza di seluruh negara. Bermula dari 20 hingga 28 Mei lalu, program pertama diadakan Kuching Sarawak sebelum berakhir di beberapa lagi bandar termasuk di ibu negara.

Di Kuching misalnya, acara peringkat kebangsaan itu berjaya menarik sokongan pengunjung untuk menyertai acara-acara yang disaji.

Orang ramai yang hadir bersikap terbuka apabila turut menggayakan budaya tradisional pelbagai kaum di Malaysia yang berwarna-warni. Antaranya, termasuk murid prasekolah, komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan mahasiswa IPT.

Keterbukaan yang ditunjukkan sekali gus turut menyaksikan dua rekod berjaya tercipta dalam Malaysia's Book of Records. Menerusi penglibatan sehingga 2, 471 peserta, melayakkan mereka diiktiraf bagi kategori 'Pemakaian Baju Etnik Teramai Dalam Satu Acara'.

Sijil pengiktirafan turut diberikan bagi kategori 'Penyertaan Kumpulan Etnik Terbanyak dalam Pameran Kebudayaan'; iaitu dengan penyertaan 17 kumpulan etnik sempena dengan program Sambutan Minggu Perpaduan berkenaan.

Sesungguhnya kejayaan yang dikecapi melalui program itu, memperlihatkan betapa negara memiliki rakyat yang bersatu-padu.

Penulis juga merasakan ia berhasil memberi makna besar dalam mengangkat tema program Sambutan Minggu Perpaduan iaitu 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian'.

Kini, meski usaha seumpama itu telah berakhir, ia tidak seharusnya menutup ruang untuk rakyat terus menghidupkan ikatan kebersamaan.

Melangkah ke hadapan, kita perlu terus seiring sejalan. Bak kata masyarakat Iban di Sarawak, 'Segulai Sejalai'.

PENULIS AFFENDI ABDUL KARIM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu