fb fb fb fb fb

Kos sara hidup antara faktor lepasan SPM tidak sambung pengajian

(Sebahagian pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 7A, 8A, 9A, 10A dan 11A dalam
peperiksaan SPM 2022 bergambar kenangan di SMK Seksyen 18, Shah Alam/BERNAMA)

SAUDARA PENGARANG

Kemerosotan minat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian menjadi trend membimbangkan di Malaysia. Data terkini mendedahkan bahawa hampir 50% pelajar lepasan SPM dari sesi persekolahan 2021 telah memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Angka itu menyaksikan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, hanya 35% daripada lepasan SPM pada tahun 2020 menyatakan kurang minat untuk menyambung pelajaran.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terhadap pengurangan minat dalam kalangan lepasan SPM ini untuk melanjutkan pengajian. Salah satu faktor penting adalah berkaitan kos sara hidup yang tinggi, ditambah dengan tuntutan perbelanjaan di institusi pengajian tinggi yang perlu ditanggung oleh pelajar dan keluarga mereka. Kos itu termasuk yuran pengajian, perbelanjaan, penginapan dan pelbagai kos lain.

Cabaran kewangan yang dihadapi menyukarkan mereka memenuhi keperluan untuk melanjutkan pengajian, terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Akibatnya, terdapat pelajar cenderung memilih untuk menceburi alam pekerjaan sejurus selepas tamat peperiksaan SPM untuk memenuhi keperluan pendapatan keluarga serta memperoleh pendapatan sendiri.

Selain itu, keinginan untuk berdikari dan membina peluang untuk menjana pendapatan sendiri mendorong lepasan SPM untuk berhenti melanjutkan pelajaran. Ramai pelajar merasakan bahawa mereka mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang keadaan ekonomi peribadi mereka sendiri.

Program universiti yang disifatkan terlalu panjang tempohnya dan menelan kos tinggi menjadikan lepasan SPM merasakan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Malaysia tidak menawarkan fleksibiliti seperti universiti di negara luar seperti di Australia, United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Oleh itu, ramai kalangan mereka percaya bahawa dengan membuat keputusan masuk ke alam pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri sejurus tamat SPM dapat memanfaatkan peluang pengalaman kerja secara langsung lebih awal dan dapat mengurus kewangan dengan lebih baik serta mencapai kestabilan kewangan lebih awal berbanding melalui pendidikan formal.

Kurangnya keyakinan terhadap impak serta manfaat jangka masa panjang selepas melanjutkan pengajian di peringkat tinggi turut mempengaruhi sesetengah pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran.

Graduan universiti swasta khususnya, telah menyatakan keraguan tentang jaminan pekerjaan serta kestabilan kewangan setelah memperoleh kelulusan dari universiti. Mereka merasakan bahawa limpahan graduan universiti dalam pasaran pekerjaan tidak semestinya membawa kepada prospek pekerjaan yang lebih baik atau tahap pendapatan lebih tinggi jika dibandingkan dengan masa dan wang yang telah dilaburkan.

Tambahan pula, ketersediaan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig yang semakin berkembang telah mempengaruhi keputusan lepasan SPM untuk memasuki alam pekerjaan secara langsung. Ekonomi gig menawarkan waktu kerja yang lebih anjal atau fleksibel dan pilihan pekerjaan jangka pendek, menarik minat generasi muda.

Kebangkitan perniagaan dan platform dalam talian juga telah menyediakan ruang dan peluang kepada lepasan SPM untuk terlibat dalam e-dagang sekali gus memperoleh pendapatan melalui pelbagai cara secara digital.

Namun, terdapat lepasan SPM mengiktiraf dan percaya kepentingan bidang profesional khusus yang memerlukan pendidikan formal, seperti perubatan, perakaunan, dan undang-undang. Bagaimanapun, mereka mempersoalkan kadar keciciran yang tinggi dalam kalangan pelajar yang bergelut untuk menanggung kos sara hidup semasa belajar dan mencadangkan agar kerajaan menilai semula kelemahan sistem pinjaman pendidikan dan meningkatkan jumlah pinjaman sejajar dengan inflasi.


(Reaksi calon SPM 2022 meraikan kejayaan selepas memperoleh keputusan cemerlang

di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin/Foto BERNAMA)

Kementerian Pendidikan telah menyedari bahawa minat untuk menyambung pengajian dalam kalangan lepasan SPM semakin berkurangan. Oleh itu pihak kementerian kini dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan peribadi dan pendidikan kerjaya di sekolah.

Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan pendidikan tinggi sambil melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran, dan minat kerjaya untuk persediaan masa hadapan.

Justeru, dalam melahirkan generasi masa akan datang yang berpendidikan tinggi, langkah-langkah berikut boleh diambil:

1. Program bantuan kewangan

Bagi menangani kebimbangan kewangan yang mungkin menghalang sesetengah lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, pihak berwajib serta institusi pendidikan perlu menyediakan platform serta program bantuan kewangan yang lebih luas seperti mendedahkan pelajar berkaitan peluang biasiswa, geran dan pinjaman pendidikan yang tersedia daripada badan kerajaan, organisasi swasta dan universiti. Tekankan kepentingan perancangan kewangan dan teroka pilihan untuk kerja sambilan atau program pengajian sambilan.

2. Mepertingkatkan kesedaran

Mengadakan sesi penerangan, seminar, pameran pendidikan di sekolah atau melalui media sosial dan platform digital bagi menerangkan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM tentang faedah dan peluang pendidikan di intitusi pengajian tinggi. Beri penekanan dalam aspek kelebihan seperti peningkatan prospek kerjaya, potensi pendapatan yang lebih tinggi, pembangunan peribadi, dan pemerolehan kemahiran khusus.

3. Kaunseling kerjaya

Menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya kepada lepasan SPM untuk membantu mereka memahami minat, kekuatan dan aspirasi mereka. Menyediakan panduan tentang laluan pendidikan berbeza yang tersedia, seperti universiti, kolej, latihan vokasional dan institut teknikal, berdasarkan matlamat kerjaya mereka.

4. Program bimbingan dan mentoring

Mewujudkan program bimbingan; lepasan SPM boleh berhubung dengan individu yang berjaya dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi bagi membimbing mereka dalam mengambil keputusan yang tepat dan memberikan panduan dalam mengembangkan visi kerjaya yang diminati dengan lebih jelas berdasarkan minat dan bakat mereka. Mentor boleh memberi bimbingan, berkongsi pengalaman peribadi, dan menjadi contoh teladan, memberi inspirasi kepada lepasan SPM untuk mengikuti jejak mereka.

5. Rangkaian alumni

Serlahkan kisah kejayaan lepasan SPM yang telah melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mencapai matlamat mereka. Wujudkan rangkaian atau platform alumni di mana bekas lepasan SPM yang telah melanjutkan pelajaran boleh berkongsi pengalaman mereka, memberi nasihat, dan berfungsi sebagai sistem sokongan untuk lepasan SPM semasa.

6. Sokongan dan testimoni rakan sebaya

Atur sesi untuk lepasan SPM berinteraksi dengan pelajar pengajian tinggi semasa, sama ada secara peribadi atau melalui platform dalam talian. Benarkan mereka mendengar pengalaman secara langsung dan mendapatkan pandangan tentang kehidupan kampus, cabaran akademik dan faedah melanjutkan pengajian tinggi.

7. Kerjasama dengan institusi pendidikan

Bekerjasama dengan universiti, kolej dan pusat latihan vokasional untuk memudahkan lawatan kampus, hari terbuka dan pameran kerjaya. Galakkan lepasan SPM untuk meneroka institusi pendidikan yang berbeza, belajar tentang program yang ditawarkan, dan berinteraksi dengan pelajar dan fakulti secara langsung.

8. Pilihan pembelajaran fleksibel

Terangkan pilihan pembelajaran fleksibel yang terdapat di institusi pengajian seperti program separuh masa, dalam talian atau pendidikan jarak jauh. Tekankan pilihan program pengajian yang fleksibel dan kemudahan yang ditawarkan yang sesuai dengan keadaan pelajar, terutamanya bagi mereka yang mungkin mempunyai kekangan dalam mengurus komitmen lain atau cabaran dari sudut kewangan.

9. Kerjasama industri  serta pengalaman pembelajaran menarik

Jalinan kerjasama dengan industri bagi memberi pendedahan tentang peluang kerjaya.  Pamerkan pelbagai kursus dan program yang tersedia dalam pendidikan tinggi seiring dengan keperluan industri semasa dan berikan pendedahan tentang peluang pembelajaran secara praktikal dan pembelajaran berdasarkan pengalaman, latihan amali, dan projek penyelidikan yang boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam pendidikan formal.

10. Penglibatan ibu bapa

Penglibatan ibu bapa dengan menganjurkan sesi maklumat khusus untuk mereka adalah penting. Atasi kebimbangan mereka, berikan mereka sumber, dan tekankan faedah jangka panjang pendidikan tinggi untuk masa depan anak-anak mereka.

Kesimpulannya, kurangnya minat pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran boleh dikaitkan dengan faktor seperti kos sara hidup yang tinggi, keinginan untuk berdikari dan pendapatan segera, dan keraguan terhadap nilai pendidikan universiti.  Ketersediaan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig dan persepsi pilihan pengajian yang lebih pendek dan fleksibel di luar negara turut mempengaruhi keputusan lepasan SPM.

Adalah penting bagi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat secara keseluruhan untuk menangani kebimbangan ini dengan menyediakan sokongan kewangan, dan mendedahkan manfaat jangka panjang pendidikan tinggi untuk menggalakkan lebih ramai lepasan SPM melanjutkan pelajaran.

PENULIS WAN SHAHZLINDA SHAH SHAHAR DAN AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah di Jabatan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Muamalah Universiti Islam Selangor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu