fb fb fb fb fb

Keputusan SPM: Kawal debaran tentukan hala tuju seterusnya

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Memang menjadi kelaziman, debaran pasti dirasakan terutama pelajar mahu pun ibu bapa. Debaran yang dirasakan semasa menunggu keputusan peperiksaan SPM adalah perasaan normal dan lumrah. Ia merupakan kombinasi perasaan gementar, gelisah, dan tidak pasti tentang keputusan hasil peperiksaan yang telah mereka jalani setahun lalu,

Dalam menghadapi debaran, peranan ibu bapa dan guru penting kerana jika tidak dikawal, debaran ini boleh menjadi tekanan emosi yang besar dan boleh mempengaruhi keadaan mental serta fizikal pelajar. Oleh itu, dengan mengamalkan pemeliharaan diri yang baik, menguruskan emosi dengan berkesan, dan mengalihkan fokus kepada aktiviti lain, pelajar dapat mengurangkan tekanan sekali gus memperoleh keseimbangan semasa menunggu keputusan amat penting itu.

Perasaan sama mungkin dirasai bersama-sama 403,637 orang calon yang telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 di seluruh negara di 3,355 pusat peperiksaan. Namun, pelajar tidak berseorangan, ini kerana ibu bapa dan guru turut merasai debaran. Malah ibu bapa dan guru merupakan pendukung utama kepada pelajar walau apa pun keputusan SPM yang pelajar peroleh.

Ibu bapa dan guru perlu mengingatkan pelajar bahawa keputusan peperiksaan SPM bukanlah penentu tunggal masa hadapan mereka. Ini kerana peluang untuk berjaya dalam hidup tetap terbuka luas dengan pelbagai jalan dan mereka mesti terus berusaha untuk mencapai matlamat hidup tanpa mengabaikan nilai-nilai dan pengalaman lain sepanjang menimba ilmu di sekolah.

Realitinya, debaran tidak dapat dielak sepenuhnya, terdapat beberapa cara yang dapat membantu mengendalikan debaran semasa menunggu keputusan SPM. Antaranya pelajar perlu memastikan diri mereka mendapat tidur mencukupi, mengamalkan pemakanan seimbang dan menjaga kesihatan fizikal. Penjagaan diri dengan baik membolehkan pelajar mengurangkan kesan mental, fizikal seterusnya mengatasi kelesuan yang mungkin timbul daripada debaran.

Selain itu, penting untuk menguruskan emosi dengan berkesan. Pelajar boleh menggunakan pelbagai teknik pernafasan, meditasi, solat atau senaman untuk membantu mengurangkan tahap kegelisahan dan meningkatkan keadaan mental yang positif. Di sini pentingnya peranan ibu bapa, guru dan rakan sebaya untuk berbual yang boleh memberikan sokongan emosi serta menjadi sumber kekuatan saat-saat akhir.

Pelajar juga boleh memilih untuk terlibat dalam aktiviti luaran yang menyeronokkan dan memberi mereka kepuasan, seperti membaca buku, menulis, atau melibatkan diri dalam hobi dan minat mereka. Ini dapat membantu mengalihkan perhatian daripada debaran dan memberikan rasa kawalan dan kepuasan yang positif.

Keprihatinan dan debaran ibu bapa

Debaran pelajar mungkin hanya untuk mengetahui keputusan peperiksaan SPM, namun, dalam diam ibu bapa turut mengalami debaran yang tersendiri walaupun wajah kelihatan tenang. Debaran ibu bapa lebih kepada memikirkan masa hadapan anak kesayangan mereka selepas menerima keputusan peperiksaan itu nanti.

Ini lebih kepada keprihatinan ibu bapa terhadap peluang menyambung pelajaran atau seterusnya peluang kerjaya anak mereka selepas tamat belajar di universiti. Ia adalah hal yang wajar dan sering kali muncul. Mereka prihatin kerana ingin anak-anak mereka memiliki masa depan yang cerah dan stabil, serta memiliki peluang yang baik untuk bekerja setelah menyelesaikan pengajian di universiti.

Pengajian di universiti merupakan nilai jangka panjang pelaburan hidup untuk anak-anak. Mempunyai ijazah universiti selalunya membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lebih tinggi dalam kerjaya.

Dalam jangka panjang, melabur dalam pendidikan universiti boleh menjana pulangan yang tinggi melalui peluang kerjaya lebih baik dan kestabilan kewangan. Walaupun kos pendidikan universiti boleh menjadi beban besar, adalah penting memahami keprihatinan ibu bapa untuk melihatnya sebagai tanggungjawab demi masa depan anak mereka.

Dalam mempertimbang faedah, kelebihan dan kekurangan, pilihan pembiayaan yang tersedia serta merancang kewangan dengan baik boleh membantu mengatasi kebimbangan tentang kos dan memastikan peluang pendidikan yang baik untuk anak-anak.

Ini kerana, memahami kebimbangan ibu bapa mengenai kos pendidikan universiti juga adalah penting. Memang benar bahawa pengajian peringkat universiti melibatkan pelbagai kos, termasuk yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup, buku, peralatan, dan sebagainya.

Keprihatinan ini penting untuk difahami kerana melibatkan perancangan kewangan keluarga. Ibu bapa perlu membuat rancangan kewangan yang baik bagi merangka menguruskan kos pendidikan anak di universiti. 

Ini termasuk menetapkan belanjawan, menyimpan secara konsisten dan mempertimbangkan pilihan seperti kerja sambilan untuk membantu membayar pendidikan anak. Walaupun terdapat pelbagai kaedah pembiayaan pendidikan yang boleh membantu memenuhi keperluan perbelanjaan pendidikan. Namun adalah penting untuk ibu bapa membuat penyelidikan dan memahami dengan baik terma dan akibat mengambil pinjaman.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan lain ibu bapa terhadap masa hadapan anak mereka. Ini berkaitan dengan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti. Ini berkaitan terdapat persaingan yang sengit dalam peluang pekerjaan. Realitinya peluang pekerjaan hari ini sangat kompetitif, dan bilangan graduan universiti juga meningkat dari tahun ke tahun.

Ibu bapa mungkin bimbang anak mereka sukar mendapatkan pekerjaan yang diingini kerana persaingan sengit. Selain itu, terdapat ketidakpadanan antara keperluan pendidikan dan industri, kadang kala terdapat jurang antara apa yang diajar di universiti dan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja. Ibu bapa mungkin bimbang kurikulum yang diajar di universiti tidak menepati dalam menyediakan anak mereka untuk memasuki alam pekerjaan.

Dari tahun ke tahun, dunia pekerjaan berubah dengan pantas disebabkan oleh kemajuan teknologi dan perkembangan ekonomi. Mereka mungkin merasakan sukar bagi graduan baharu untuk mencari kerja yang sepadan dengan kelayakan mereka.

Ibu bapa mungkin bimbang bahawa pekerjaan semasa tidak relevan atau hilang pada masa hadapan, dan anak mereka bakal menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Malah lebih parah kemungkinan anak mereka menganggur selepas tamat pengajian.

Hala tuju selepas SPM 

Semua maklum berkenaan laporan yang dibacakan oleh Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia baru-baru ini di parlimen berkenaan statistik pelajar yang tidak mahu menyambung pengajian selepas SPM.

Menurut beliau, melalui data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) menunjukkan bahawa seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Malah pada tahun sebelumnya 2020 pula, sejumlah 115,939 orang pelajar lepasan SPM atau 35.16 peratus tidak berminat menyambung pelajaran.

Terdapat peningkatan membimbangkan berkenaan perkara itu. Ternyata laporan itu juga turut menambah debaran kepada masyarakat; berkenaan generasi masa hadapan selaku pewaris kepimpinan dan peneraju negara.

Melalui dasar Malaysia Madani, pendidikan dalam membangunkan generasi muda yang mampan perlu bermula dengan pendekatan holistik seawal mungkin untuk memaksimumkan potensi pendidikan pada tahap rentas bidang antara universiti dan industri sebagai suatu langkah terkehadapan menangani isu itu.

Justeru, langkah kawalan perlu dilakukan pada peringkat awal bagi mengekang situasi itu daripada menular setiap tahun kepada calon-calon SPM yang mendatang. Terutama calon yang mengambil keputusan SPM pada hari ini.

Di sini pentingnya peranan guru bimbingan dan kaunseling (GBK) dalam memberikan pendedahan secara menyeluruh kepada maklumat berkaitan pendidikan tinggi serta kerjaya masa hadapan selaras dengan peranan mereka sebagai pakar rujuk dan bimbingan di peringkat sekolah menengah. Bukan hanya untuk pelajar, tetapi juga untuk ibu bapa.

Peranan GBK secara berterusan mampu memberi pendedahan dan bimbingan berterusan dan menjernihkan minda pelajar berkenaan hala tuju hidup yang mungkin berubah dari semasa ke semasa disebabkan pengaruh media sosial dan rakan sebaya.

Pelajar yang mendapatkan bimbingan daripada GBK mampu mendapat pencerahan secara profesional terhadap bidang yang mereka kehendaki untuk meneroka pilihan yang ada dan membuat keputusan terbaik untuk masa hadapan. Pengetahuan peringkat awal adalah penting bagi pelajar untuk memikirkan minat, kekuatan dan matlamat jangka panjang mereka apabila memutuskan halatuju kehidupan masa depan selepas SPM.


(Foto hiasan)

Ini kerana, selepas tamat SPM, hala tuju kehidupan masa depan seseorang pelajar adalah berbeza berdasarkan minat, matlamat dan keadaan mereka. Berikut ialah beberapa pilihan dan jalan yang mungkin boleh dipertimbangkan para pelajar selepas mendapat keputusan SPM:

  1. Penyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi sama ada peringkat diploma atau matrikulasi. Ramai pelajar memilih untuk melanjutkan pengajian tinggi dengan mendaftar di universiti atau kolej. Mereka boleh memilih program dalam pelbagai bidang, seperti sains, sains sosial, kejuruteraan, pengurusan, perniagaan atau kesihatan. Pendidikan tinggi menyediakan peluang untuk pengetahuan yang mendalam, pembangunan kemahiran, dan potensi kemajuan kerjaya.

    Di Universiti Islam Selangor (UIS) misalnya menawarkan program Diploma Komunikasi atau Matrikulasi Komunikasi yang mana selepas itu boleh menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran). Suatu bidang yang bergerak seiring dengan perkembangan teknologi media dan perubahan struktur kerjaya semasa dunia komunikasi korporat.

  2. Ini merupakan pilihan dalam bidang latihan vokasional atau teknikal atau disebut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. Sesetengah pelajar mungkin lebih suka program latihan vokasional atau teknikal yang menumpukan pada kemahiran atau industri tertentu. Program ini menawarkan kemahiran praktikal dan latihan profesional dalam bidang seperti teknologi automotif, kulinari, reka bentuk grafik atau pembinaan.

    Latihan vokasional melengkapkan individu dengan kemahiran khusus dan boleh membawa kepada pekerjaan dalam industri tertentu. Malah graduan bidang ini mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia terutama berkaitan dengan industri petroleum.

  3. Memasuki dunia pekerjaan atau menimba pengalaman dalam dunia kerjaya daripada peringkat bawah. Selepas menerima keputusan SPM, lepasan sekolah boleh memilih untuk terus memasuki dunia pekerjaan sebagai tenaga kerja tanpa pengalaman secara langsung. Namun, terdapat juga pilihan untuk menimba pengalaman kerja melalui latihan amali atau jawatan paling bawah peringkat kemasukan.

    Pilihan ini membolehkan mereka mula memperoleh pendapatan, memperoleh kemahiran praktikal, dan mempunyai peluang meneroka industri berbeza. Pengalaman kerja boleh memberikan pandangan yang berharga, rangkaian profesional dan kejelasan tentang pilihan kerjaya. Namun perlu diingat bahawa, apabila telah menceburkan diri dalam dunia pekerjaan, adalah agak sukar untuk kembali ke dunia pengajian jika tanpa azam kukuh.

    Di UIS, turut ditawarkan pengajian yang mengiktiraf pengalaman bekerja melalui inisiatif APEL.C dan APEL.A yang mana ia memberi peluang bagi individu bekerjaya menyambung pengajian diperingkat universiti.

  4. Sesetengah lepasan SPM juga mungkin mempunyai semangat keusahawanan dan bercita-cita untuk memulakan usaha perniagaan mereka sendiri. Melalui sokongan keluarga atau jaringan rakan usahawan, ia merupakan suatu langkah yang berani namun mempunyai potensi dan risiko besar dalam dunia perniagaan. Mereka boleh memilih untuk meneroka keusahawanan dengan membangunkan rancangan perniagaan, mendapatkan bimbingan, dan memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk melancarkan perusahaan mereka sendiri.

    Terdapat pelbagai agensi kerajaan yang membantu memberi bimbingan dan modal dalam membangunkan segmen industri ini. Walaupun begitu, keusahawanan memerlukan kecekalan hati yang tinggi, kreativiti, keazaman, dan ketajaman fikiran dalam persaingan dunia perniagaan. Dalam usia yang muda, lepasan SPM perlu mempunyai mentor yang tepat bagi memberi nasihat dan bimbingan agar sentiasa berada pada landasan yang betul dalam menjalankan perniagaan.

Walau apapun keputusan SPM yang diperoleh, debaran itu pasti berlalu. Pertahankan keseimbangan emosi diri. Baik untuk pelajar, mahupun ibu bapa. Menerima keputusan peperiksaan boleh menjadi pengalaman yang emosional. Itulah qada’ dan qadar yang telah ditentukan Allah. Apapun keputusannya, penting untuk mengendalikan tekanan perasaan.

Jika merasa gembira dengan keputusan yang baik, jangan biarkan kegembiraan tersebut menghalangi diri daripada membuat keputusan yang bijak tentang langkah seterusnya. Jika keputusan tidak begitu baik, jangan biarkan kekecewaan menghalang semangat untuk mencapai cita-cita dan impian dalam hidup.

Muhasabah dan buatlah tafsiran keputusan secara objektif. Jangan menganggap keputusan tersebut sebagai penentu tunggal masa depan. Ingat semula dan perhatikan setiap pencapaian sepanjang zaman persekolahan dan kejayaan lain yang telah dicapai. Ingatlah bahawa peperiksaan SPM hanyalah satu komponen dalam proses pemilihan peringkat seterusnya dalam menyambung pengajian dalam kehidupan.

Jadi, ambil langkah bijak dengan berbincang bersama-sama guru bimbingan dan kaunseling (GBK) tentang pilihan pengajian yang sesuai dengan keputusan SPM tersebut. Terdapat banyak jalan untuk mencapai matlamat hidup dan kejayaan. Pilihlah tapak langkah yang terbaik serta bersesuaian dengan keupayaan, minat, dan impian.

Ini kerana, sebenarnya keputusan peperiksaan SPM adalah permulaan perjalanan dalam mencapai impian hidup yang seterusnya. Setiap keputusan membuka pintu untuk peluang baharu. Jangan berputus asa jika keputusan tersebut tidak seperti yang diharapkan. Tetapkan sasaran secara jelas, berusaha dengan gigih dan terus meluncur tinggi memetik bintang di langit. Semoga berjaya mencapai impian anda!

PENULIS DR MD ROZALAFRI JOHORI ialah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) dan RAHMAHTUNNISAH SAILIN ialah Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu