(Antara contoh gambar hasil janaan A.I. Midjourney)
SAUDARA PENGARANG
Sekitar tahun 2001, pengarah filem terkenal Hollywood, Steven Spielberg telah pun mengarah filem sains fiksyen bertajuk ‘A.I.: Artificial Intelligence’; mengisahkan robot budak lelaki yang begitu mendambakan kasih sayang ibu angkatnya sehingga sanggup membuat apa sahaja untuk menjadi manusia.
Tahun 2016 pula menyaksikan satu peristiwa bersejarah antara manusia dan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (A.I.) apabila AlphaGo menewaskan jaguh permainan Go, Lee Seedol.
Go merupakan permainan berpapan berstrategi untuk dua orang pemain. Permainan berkenaan menggunakan batu hitam dan putih sebagai buah caturnya.
Lembah Silicon menyambut kemenangan AlphaGo dengan begitu meriah kerana teknologi mereka berjaya menumbangkan jaguh dalam kalangan manusia. Korea Selatan pula diselubungi dengan suasana suram apabila jaguh kebanggaan mereka ditewaskan A.I ciptaan manusia.
Realiti hari Ini
Hari ini, A.I. dilihat seakan-akan mendominasi kehidupan seharian kita. Ia bukan sahaja membantu kita dalam melaksanakan tugas harian, malah ia mengubah budaya dan tatacara manusia melakukan sesuatu proses kerja.
ChatGPT, salah satu A.I. yang mempunyai pemikiran dan mampu berinteraksi dengan manusia. Ia mempunyai pengetahuan yang sangat tinggi sehingga mampu menjawab apa sahaja soalan yang diajukan dalam konteks yang betul.
Selain ChatGPT, satu lagi A.I. yang semakin popular ialah Midjourney. Keupayaan Midjourney mampu menghasilkan imej yang tidak wujud dan kelihatan begitu realistik.
Terdapat banyak lagi aplikasi A.I. lain yang mungkin kurang didengari namun memberikan impak besar dalam kehidupan manusia.
Seperti Jenni yang mampu menulis artikel, 10Web yang boleh menjana laman sesawang sendiri, WonderDynamics yang boleh menghasilkan video animasi, Presentation Maker mampu menghasilkan slaid pembentangan dan Synthesia yang mampu mencipta video tanpa perlu melalui proses penggambaran atau suntingan.
Sungguhpun dibangunkan oleh syarikat berbeza, kesemua platform A.I. itu mempunyai satu persamaan iaitu mampu memberikan hasil dalam tempoh masa singkat berdasarkan arahan (prompt) tertentu yang tepat.
(ChatGPT, aplikasi A.I. yang menjadi kontroversi dalam kalangan warga pendidik)
Kebaikan atau keburukan?
Dari satu sudut, aplikasi A.I. dilihat memberikan kemudahan dan menyenangkan kehidupan seharian kita.
Tidak dapat dinafikan keupayaan dan kepintaran A.I. semakin menyamai manusia. Penggunaannya pada kos berpatutan atau pun percuma, prestasinya yang melangkaui kekangan masa, konsistensi kualiti mahupun bebanan tugas, sentiasa memberikan output secara maksimum adalah antara faktor penting pengguna beralih kepada A.I.
Dari satu perspektif lain, A.I. berpotensi ‘membunuh’ karier seseorang. Sebagai contoh, orang yang tidak tahu melukis juga mampu menghasilkan potret yang indah dengan menggunakan Midjourney. Di samping itu, Midjourney mampu mencipta gambar tanpa perlu ada subjek. Jelas sekali A.I. mampu menggugat ‘periuk nasi’ pelukis dan jurugambar.
Keupayaan ChatGPT menjawab pelbagai soalan dalam pelbagai bidang seperti bidang perubatan dan mencipta pengaturcaraan kod komputer juga menimbulkan risiko dalam kalangan warga akademik dan pelajar sekiranya mereka menerima sahaja bulat-bulat maklumat diberikan A.I. berkenaan tanpa sebarang usul periksa.
Ini boleh mencipta fenomena plagiat versi baharu dalam kalangan masyarakat hari ini. Lebih buruk, ChatGPT akan melahirkan generasi ‘tin kosong’ atau generasi yang malas berusaha kerana sumber maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Mereka juga akan menjadi semakin malas kerana kebergantungan secara keterlaluan kepada A.I.
Ambil peluang
Walaupun A.I. mampu menjumudkan beberapa sektor pekerjaan pada masa akan datang, A.I. juga mencipta ‘pekerjaan baru’ bagi mereka yang nampak potensi dan bijak mengambil peluang daripada aplikasi ini.
Seorang jurugambar sepenuh masa, Hafiz Ismail yang telah berkecimpung dalam dunia fotografi selama 17 tahun kini mula serius dengan teknologi Midjourney.
Beliau yang pada mulanya hanya sekadar mencuba kini menjadikan A.I. sebagai salah satu platform mencipta gambar-gambar baharu dan mencipta gambar mengikut cita rasa pelanggannya.
Hafiz juga secara aktif membuat kursus secara dalam talian bagi melahirkan lebih ramai usahawan, pelajar dan syarikat ‘celik A.I.’
Jabatan kerajaan juga wajar menjadikan A.I. sebagai salah satu ‘pekerja’ bagi mengurangkan bebanan dan lambakan tugasan yang dihadapi penjawat awam.
Sebagai contoh, pembantu digital boleh digunakan berinteraksi dengan orang awam bagi menjawab sebarang persoalan dan pertanyaan yang dikemukakan.
Tidak terhad kepada itu sahaja. Petugas A.I. juga boleh membantu pelanggan menggunakan aplikasi dengan betul, menyemak sama ada aplikasi memberi output sepatutnya dan menganalisis punca laporan diterima, seterusnya menyokong pihak pengurusan membuat penambahbaikan dalam urusan kerja seharian.
(Antara contoh gambar hasil janaan A.I. Midjourney)
A.I. rumit namun banyak faedah
Kesimpulannya, aplikasi A.I. adalah sistem yang rumit dan memberikan faedah serta potensi besar kepada kehidupan manusia. Penggunaannya perlu diperkasakan, diperkemaskan dan diseimbangkan agar kesan buruknya tidak terus merebak dalam kehidupan kita.
Perlu diingatkan, A.I. tidak mempunyai naluri, emosi, akal atau perasaan. Kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya memanfaatkan aplikasi A.I. dengan bijaksana.
Justeru, perlunya ada satu polisi atau garis panduan yang dapat mengawal atau mengurus aplikasi ini agar ia tidak disalahgunakan, di samping tidak membantutkan kemajuan teknologi bagi memudahkan urusan manusia.
PENULIS MOHD ALIFF MOHD NOR, Pensyarah sambilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.