(Sokongan Ibu bapa dan IPT sebagai motivasi kepada pelajar/Foto KUIS)
SAUDARA PENGARANG
Debaran menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa hari lagi, bukan hanya dirasai oleh 403,637 orang calon peperiksaan seluruh negara, malah ibu bapa mereka turut menaruh harapan tinggi.
SPM menjadi medan penanda aras dalam menentukan hala tuju minat, cita-cita dan jangkaan kerjaya masa hadapan. Oleh kerana itulah keputusan SPM umpama satu tiket penting untuk para pelajar menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), asasi atau diploma.
Mengikut rekod laporan Gred Purata Nasional (GPN), keputusan SPM 2020 mencatat keputusan terbaik dalam masa lima tahun sebelum ini dengan nilai 4.80. Namun pada tahun 2021 nilai GPN merosot menjadi 4.86 sama seperti tahun 2019. Nilai GPN yang kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik. Sebanyak 55.29% calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran pada 2021.
Sama ada keputusan diterima baik atau tidak, survival perlu diteruskan. Meneruskan pengajian dengan pilihan bersesuaian dengan keputusan sering dilihat lebih mudah, berbanding dengan keputusan peperiksaan yang mendukacitakan. Namun pilihan bijak dan kajian pasaran kerjaya secara asasnya perlu diambil perhatian.
Hala tuju dan minat dalam kerjaya
Setiap individu sudah tentu mempunyai impian dan cita-cita yang hebat dalam kehidupan. Untuk mencapai impian tersebut, mereka memerlukan satu kerjaya yang baik dan boleh menjamin masa depan.
Beruntunglah mereka yang sudah jelas hala tuju kerjaya. Apa yang diperlukan adalah menyusun strategi untuk mencapainya.
Namun, bagi seseorang yang tidak peka atau masih tidak jelas hala tuju, wajar dibimbing dengan baik. Ibu bapa, ahli keluarga dan guru sewajarnya mengambil peranan ini.
Kesediaan pihak sekolah yang menganjurkan program seperti karnival pendidikan tinggi atau membenarkan institusi pengajian tinggi turut serta meraikan pelajar semasa pengumuman keputusan SPM/SPVM dan STPM/STAM dengan menawarkan khidmat nasihat dan promosi pelbagai program pengajian IPT sangat wajar diberi penghargaan.
Ketika inilah pelajar dengan keputusan sedia ada ditangan, dapat mempertimbangkan semula ke manakah hala tuju mereka. Jaringan komuniti yang baik antara pihak sekolah dengan IPT dapat diperkasakan untuk manfaat para pelajar.
Bagi yang mendapat keputusan cemerlang dan dari aliran sains, peluang mereka sangat besar dan mudah laluannya. Apatah lagi dengan galakan kerajaan melalui pelbagai biasiswa dalam bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) bagi pengajian dalam atau luar negara.
Bagaimanapun pengajian bidang sains sosial juga masih sangat diperlukan tenaga mahirnya. Walaupun dengan nisbah 40:60 berbanding bidang sains. Banyak peluang pengajian ditawarkan di seluruh universiti awam dan swasta di Malaysia. Malah peluang pekerjaan hampir keseluruhan organisasi masih memerlukan tenaga kerja seperti di Bahagian Sumber Manusia, Komunikasi Korporat, Pemasaran Digital dan Kewangan.
(Calon lepasan SPM komited meninjau peluang pendidikan tinggi/Foto KUIS)
Cabaran teknologi dan anak muda
Tidak disangkal, cabaran ibu bapa sangat besar apabila teknologi digital telah menguasai segenap ruang rumah mereka. Namun ini boleh dijadikan sandaran kuat mengenal pasti minat anak-anak yang mungkin kurang menyerlah akademiknya.
Ramai remaja hanyut dengan ledakan teknologi terkini. Mereka leka dengan alatan atau gadget dan permainan internet di rumah.
Tanpa pengawasan bijak ibu bapa dan motivasi sewajarnya, mereka lebih berserah kepada ketentuan hidup dan tidak berminat menyambung pengajian kerana tanggapan kesukaran melalui tugasan dan peperiksaan bersifat ilmiah.
Anak-anak muda seperti itu masih mempunyai peluang melanjutkan pengajian yang berasaskan kemahiran dan teknikal sekurang-kurangnya hingga ke peringkat diploma atau sijil kemahiran tinggi.
Mengiringi minat dengan ketekunan
Dasar kerajaan yang menumpukan usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah satu petujuk jelas bahawa lepasan SPM sangat perlu dilatih dalam aspek kemahiran teknikal. Ini juga sebagai indikasi bahawa kerjaya dalam bidang ini sangat luas permintaannya dalam pasaran kerja.
Lebih menarik apabila syarat asas kemasukannya tidak memerlukan kelulusan yang baik atau cemerlang. Maka tiada seorang pun sebenarnya dipinggirkan untuk melanjutkan pengajian bersesuaian.
Minat yang telah dikenal pasti perlu diiringi dengan ketekunan dan ketelitian. Ini kerana walaupun pendidikan TVET kurang memerlukan tumpuan akademik, namun ketekunan, komitmen, disiplin dan ketelitian sangat diutamakan.
Bagi anak muda lelaki terutamanya kepakaran aspek kemahiran teknikal menjadi nilai tambah dalam mendapatkan pekerjaan. Ganjaran berupa upah atau gaji yang tinggi dan insentif kerja seringkali lebih istimewa berbanding pekerjaan profesional lain.
Setiap individu perlu mengetahui minat dan kelebihan yang ada pada diri, agar mudah untuk mereka membuat keputusan dalam proses untuk meneruskan pengajian mereka pada masa akan datang.
Ketelitian pembuatan keputusan
Membuat keputusan masa depan, perlukan kewarasan akal dan pertimbangan yang rasional. Jika tersilap keputusan berkemungkinan akan menyebabkan rasa kecewa, kesal dek impian tidak tercapai.
Bagi pelajar yang tidak pasti minat atau pun kerjaya yang sesuai, mereka digalakkan berjumpa dengan kaunselor sekolah untuk mendapatkan nasihat. Kaunselor sekolah boleh memberikan runding cara melalui ujian kerjaya kepada para pelajar terlibat.
Ujian kerjaya adalah kaedah yang direka untuk membantu individu mengenal pasti dan meneroka laluan kerjaya yang berpotensi berdasarkan minat, kemahiran, nilai dan ciri personaliti mereka.
Ujian ini bertujuan mencerap kekuatan, keutamaan dan bidang keserasian seseorang dengan pelbagai pekerjaan. Antara ujian kerjaya yang boleh ambil adalah inventori minat, ujian aptitud, penilaian personaliti, penilaian dan kemahiran.
Hasil ujian kerjaya ini boleh membantu individu dalam proses membuat pilihan program pengajian yang seterusnya. Bagaimanapun, ujian kerjaya hanyalah satu komponen dalam proses membuat keputusan kerjaya.
Namun keputusannya harus dipertimbangkan seiring dengan faktor lain seperti nilai peribadi, latar belakang pendidikan, pengalaman kerja dan arah aliran pasaran.
Tidak dinafikan, terdapat kes remaja yang memohon kursus yang diminati tetapi gagal untuk menempatkan diri dalam program berkaitan. Mereka terpaksa akur dengan tawaran IPT dan sebahagiannya atas desakan ibu bapa terus menerima tawaran yang diberikan tanpa melihat peluang pekerjaan masa hadapan. Akibatnya mereka terpaksa melalui pelbagai situasi rumit yang lain.
(Sokongan kerajaan melalui penganjuran karnival pendidikan tinggi
untuk lepasan SPM/foto KUIS)
Pilihan program popular
Sebelum membuat sebarang pemilihan kursus yang ditawarkan oleh mana-mana IPTA atau IPTS, para pelajar perlu mendapat beberapa maklumat kerjaya terkini berdasarkan laporan kajian dari Kementerian Sumber Manusia.
Malaysia Critical Occupational List (MyCol) 2022/2023, melaporkan hasil kajian melibatkan 500 firma di Malaysia mendapati; 713 pekerjaan kritikal yang merentas tiga sektor sangat diperlukan iaitu sektor aeroangkasa, sektor pembinaan dan sektor pembuatan (pemprosesan makanan).
Ketiga-tiga sektor ini memerlukan pekerja dalam kalangan kumpulan profesional untuk dipenuhi. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa, majikan berhadapan dengan masalah apabila graduan baharu tidak memenuhi standard industri.
Beberapa bidang pekerjaan yang mudah menembusi peluang pekerjaan adalah bidang pemasaran dan jualan, bidang pentadbiran dan pengurusan sumber manusia, perakaunan dan kewangan, bidang teknologi maklumat, perkhidmatan, kejuruteraan, pembuatan, pembinaan, hospitaliti, bidang media dan komunikasi, bidang perubatan dan lain-lain. Ditambah pula dengan kemahiran teknologi digital, ia menjadi nilai tambah dalam era semasa.
Berdasarkan laporan MyCol 2022/2023 berkenaan, beberapa program sesuai untuk memenuhi permintaan majikan. Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal misalnya menjadi buruan majikan dalam industri penyediaan pelbagai produk halal.
Bukan sekadar makanan, malah melibatkan perubatan, kesihatan, kosmetik dan prosedur penyediaan pelbagai tatacara kerja.
Apatah lagi dengan sokongan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan hub halal, bukan hanya di Rantau Asia, malah seluruh dunia.
Malaysia kini menjadi hub halal dalam pasaran antarabangsa. Antara faktor kejayaan tersebut adalah sumbangan hasil usaha berterusan Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan sokongan daripada agensi lain termasuk Matrade dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Semoga pelajar lepasan SPM menjadikan keputusan peperiksaan mereka satu inspirasi untuk menetapkan hala tuju terbaik dalam merancang masa hadapan. Cemerlang atau lemah, kedua-duanya mempunyai nilai nya yang tersendiri.
Sesebuah negara maju dengan jurutera hebat berbangunan pencakar langit, tetap perlukan pasukan pembersihan yang ikhlas dan amanah dalam menjaga kebersihan negara.
Sehebat mana negara maju dengan semua teknologi digitalnya, tetap perlukan para usahawan kecil yang menjadikan media sosial sebagai perantara perniagaannya hingga menjadi asbab lonjakan keuntungan dan reputasi seluruh dunia.
PENULIS SALINA MOHAMMED RASHID, Pensyarah Program Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) dan RAHMAHTUNNISAH SAILIN, Pensyarah Program Komunikasi (Penyiaran), Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.