fb fb fb fb fb

Keselamatan siber penting perkukuh kesejahteraan negara

Foto Hiasan / BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Pascakemerdekaan sangat mencabar, ancaman siber merupakan ancaman terhadap kemerdekaan negara di zaman serba moden ini, setanding dengan penjajahan fizikal pada abad ke-20, ia perlu dilawan.

Sejajar dengan pesatnya perkembangan teknologi digital, konsep keselamatan siber semakin menjadi penting untuk memperkukuhkan kesejahteraan suatu negara.

Sebagaimana kemerdekaan daripada penjajah asing, kemerdekaan digital adalah bentuk kemerdekaan yang harus dipertahankan secara tegas, terutama ketika ancaman siber semakin tersebar dan rumit.

Di sinilah pendekatan keselamatan berpusat pada manusia (human-centric security) memainkan peranannya.

Keselamatan berpusatkan manusia adalah pendekatan keselamatan yang menumpukan pengguna sebagai elemen utama dalam menjalankan sistem digital. Dalam keselamatan siber, pengguna sering menjadi sasaran serangan, sama ada melalui phishing, serangan media sosial, atau kecuaian dalam pengurusan data peribadi.

Oleh itu, keselamatan berpusatkan manusia menekankan pentingnya melibatkan manusia dalam setiap lapisan pertahanan siber, termasuk kesedaran, pendidikan, dan reka bentuk teknologi yang mesra pengguna.

Teknologi AI juga sering disalahgunakan secara tidak beretika untuk memperdaya masyarakat yang boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Keupayaannya untuk meniru perilaku manusia atau menghasilkan kandungan palsu yang sukar dibezakan menjadikannya alat yang sering digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu atau melancarkan serangan terancang melalui media sosial.

Kebebasan Digital: Isu Kemerdekaan Moden

Jika kita mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara-negara di seluruh dunia, perjuangan untuk mencapai kebebasan dari penjajah memerlukan kekuatan, strategi, dan sokongan rakyat.

Di era digital ini, kebebasan telah menjadi lebih kompleks. Mengawal kedaulatan negara dan masyarakat daripada ancaman siber dari pihak berkepentingan, termasuk negara asing, penggodam profesional, atau organisasi jenayah, kini memerlukan tindakan sistematik dan menyeluruh.

Kebebasan digital merujuk kepada kemampuan individu dan negara untuk beroperasi di ruang digital tanpa gangguan, pengawasan tanpa izin, atau serangan yang boleh melemahkan infrastruktur siber mereka.

Dalam era pascakemerdekaan, kebebasan digital memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan negara, melindungi hak asasi manusia, serta menyokong pembangunan ekonomi.

Dengan akses yang semakin luas ke dunia maya, setiap warganegara kini memikul tanggungjawab untuk memastikan kebebasan ini dipertahankan dan ini hanya boleh dicapai melalui pendekatan keselamatan yang berfokus kepada manusia.

Kepentingan Pendekatan Keselamatan Berpusatkan Manusia

Pendekatan keselamatan berpusatkan manusia menekankan betapa pentingnya kesedaran pengguna dalam menangani ancaman siber.

Latihan dan pendidikan keselamatan siber perlu diterapkan kepada individu di setiap peringkat, daripada pelajar hingga pekerja dan pemimpin organisasi.

Dengan meningkatkan kesedaran ini, risiko kesilapan manusia, yang sering menjadi punca utama kejayaan serangan siber, dapat dikurangkan dengan ketara.

Teknologi yang dibangunkan dengan mengambil kira keperluan pengguna akan memudahkan mereka mematuhi amalan keselamatan terbaik.

Fitur-fitur seperti kata laluan yang mudah diingat, pengesahan dua faktor yang lebih intuitif, serta sistem amaran awal untuk ancaman yang berpotensi dapat membantu pengguna mengekalkan keselamatan siber mereka.

Teknologi yang mesra pengguna juga memastikan lebih ramai individu akan bersikap proaktif dalam melindungi diri daripada ancaman siber.

Pendekatan keselamatan ini juga memberi tumpuan kepada pengurusan risiko dari dalam organisasi. Sama ada disengajakan atau tidak, ancaman dari dalam, seperti pekerja atau kontraktor, boleh menjadi lebih merbahaya berbanding serangan dari luar.

Dengan pendekatan yang melibatkan pemeriksaan latar belakang, pemantauan tingkah laku, dan peneguhan nilai etika dalam organisasi, ancaman ini boleh dikurangkan.

Pendekatan keselamatan berpusatkan manusia juga bertujuan melindungi data peribadi dan hak asasi pengguna. Di era di mana data menjadi aset paling bernilai, perlindungan privasi individu menjadi keutamaan yang tidak boleh dipandang ringan.

Negara perlu memperkenalkan undang-undang dan peraturan yang melindungi data peribadi warganegara daripada dieksploitasi tanpa izin.

Selain itu, pengguna perlu diberi hak dan kawalan penuh terhadap data peribadi mereka supaya kebebasan digital mereka tidak diganggu.

Kebebasan Digital Pascakemerdekaan: Meneruskan Warisan

Namun, perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan dan kebebasan tidak berakhir selepas mencapai kemerdekaan. Dalam konteks digital, kebebasan daripada ancaman siber memerlukan usaha yang berterusan.

Negara-negara pascakemerdekaan menghadapi cabaran baru dalam bentuk ancaman siber yang mampu merosakkan infrastruktur kritikal, mengancam ekonomi, dan mencetuskan ketidakstabilan sosial.

Dalam keadaan ini, pendekatan keselamatan siber yang berfokus kepada manusia menjadi langkah penting untuk memastikan kebebasan digital terpelihara.

Kemerdekaan negara kini tidak hanya terbatas pada sempadan fizikal tetapi meliputi sempadan digital yang lebih luas.

Negara yang gagal mempertahankan kebebasan digital mudah terdedah kepada ancaman luar yang bukan hanya mengganggu kestabilan ekonomi dan sosial tetapi juga menjejaskan hak kebebasan rakyat.

Dalam situasi ini, keselamatan berpusatkan manusia menyediakan model keselamatan komprehensif melalui kerjasama antara kerajaan, syarikat teknologi, dan pengguna untuk melindungi ruang siber yang semakin penting.

Masa Depan Kebebasan Digital

Kesimpulannya, pendekatan keselamatan berpusatkan manusia adalah akan lebih inklusif dan efektif dalam mengekalkan kebebasan digital di dunia yang semakin bergantung pada teknologi.

Dalam era pascakemerdekaan, kebebasan digital menjadi satu bentuk kebebasan yang penting untuk dipertahankan.

Ancaman siber yang semakin berkembang memerlukan pendekatan keselamatan yang mengutamakan manusia, memastikan pengguna dilengkapi dengan pengetahuan, teknologi mesra pengguna, dan perlindungan data peribadi yang sewajarnya.

Seperti perjuangan kemerdekaan yang memerlukan perpaduan, kebebasan digital juga memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Dengan pendekatan keselamatan berpusatkan manusia, negara dapat memastikan kebebasan digital kekal terpelihara, dan rakyat bebas untuk bergerak, berinteraksi, serta berkarya dalam dunia maya tanpa ancaman yang mengancam kedaulatan mereka.

Melalui kesedaran dan pendidikan yang berterusan, kita dapat mencapai kemerdekaan digital yang lebih bermakna, selaras dengan semangat kemerdekaan yang telah kita perjuangkan dahulu.

PENULIS, DR MUHAMMAD DAANIYALL ABD RAHMAN, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia dan AMIRUL HAFIZ SALIM Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM