SAUDARA PENGARANG
Belum lagi reda kes-kes buli kalangan muda remaja, baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan satu kes keganasan rakan sebaya yang berakhir dengan kematian. Ironinya motif kejadian rata-rata berpaksikan salah faham dan ketidakpuashatian terhadap mangsa dan bukannya dendam bermotifkan jenayah.
Lebih mengejutkan kejadian seumpamanya berlaku dalam kalangan pelajar yang sedang menuntut di institusi pendidikan negara. Apakah akhlak sudah dilupakan kalangan penuntut ilmu ini walaupun sudah melalui pendidikan formal dan tidak formal belasan tahun lamanya? Di mana silapnya?
Peribahasa sudah terhantuk baru hendak terngadah nampaknya sudah semakin hilang taringnya dalam menasihati muda remaja tentang penyesalan yang tidak berkesudahan jika tidak dicegah dari awal. Remaja kini lebih suka berpandukan amarah yang membukam sehingga menggadai nyawa insan tidak berdosa.
Jika ditenung, sebenarnya telah banyak kajian dan renungan ke atas punca perilaku cuai sedemikian dan terlalu banyak nasihat dan teladan telah dimomokkan namun usaha sedemikian bagai mencurahkan air ke daun keladi.
Sudah tiba masanya kita bersikap realistik dalam mendepani isu samseng tak bertempat ini secara pragmatik. Selalunya ungkapan dosa dan kejahatan ditakut-takutkan dengan keperitan balasan neraka, maka samseng ‘junior’ ini perlu ditakut-takutkan dengan implikasi langsung dan tidak langsung kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.
‘Ketakutan’ paling hampir adalah kepada batang tubuh pelaku itu sendiri. Walaupun kepuasan dalam mencapai matlamat amarah itu manis pada awalnya, pelaku sebenarnya telah hilang kewarasan fikiran dan bermulalah episod kecelaruan emosi apabila menyedari kepuasan itu hilang secepat timbulnya.
Yang tinggal hanyalah penyesalan dan rasa terkejut bahawa dirinya mampu untuk melakukan kecuaian itu walaupun ianya menyanggah akal yang waras dan suri nasihat yang pernah didengarinya dahulu.
Seakan seperti nasi telah berubah menjadi bubur, memungkinkan perlunya seseorang itu bertaubat kepada Tuhan dengan kesalahan yang telah dilakukan. Walaupun sudah bertaubat dengan penuh kesalan, namun ia tidak akan berkesudahan sepenuhnya sehingga penyelesaian dengan manusia dilakukan.
Mahu atau tidak, individu tersebut akan dihadapkan ke mahkamah keadilan untuk menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak, dan akan menerima keputusan sama ada untuk dibebaskan atau dijatuhkan hukuman di balik jeriji besi yang sesungguhnya akan membuatkan hidupnya tidak lagi seperti dahulu. Inilah jalan yang dipilih. Jalan pintas ke neraka dunia.
Apabila seorang remaja terjerumus ke dalam penjara, ia tidak hanya memberi kesan kepada dirinya sendiri, tetapi juga kepada pelbagai pihak terlibat. Terdapat banyak jari yang menuding dan mencari punca kepada kegagalan remaja tersebut sebagai seorang pelajar.
Ia mungkin menimbulkan rasa terkejut dan kecewa dalam kalangan keluarga, kerana mereka tidak pernah terfikir bahawa anak yang dibesarkan di bawah atap rumah sendiri akan melakukan kesilapan serius sedemikian. Mereka mengingatkan bahawa mereka sentiasa memberikan kasih sayang dan membimbing anak-anak mereka dengan harapan yang baik-baik saja.
Tidaklah menghairankan apabila ramai ibu bapa merasa kecewa dan masih memberikan sokongan tegar kepada anak-anak yang dituduh melakukan jenayah. Mereka yakin bahawa mereka telah mendidik anak-anak mereka dengan cara yang betul.
Namun kemungkinan pengaruh rakan sebaya dan persekitaran tempat tinggal telah secara senyap-senyap mempengaruhi anak-anak mereka, mendorong mereka ke arah tindakan yang salah tanpa disedari.
Akibatnya, kesan terhadap keluarga amatlah menyakitkan, menyebabkan rasa malu kepada ibu bapa dan ahli keluarga lain. Lebih mendukakan apabila tindakan dilakukan oleh anak tersebut menjadi perbualan hangat di media massa dan media sosial.
Kesan lain, menyebabkan kritikan terhadap ibu bapa yang disifatkan gagal mendidik anak-anak dengan baik, guru yang dianggap tidak berkesan, institusi yang dipercayai gagal mengawasi, dan malah menimbulkan persoalan tentang keberkesanan sistem pendidikan negara dalam merancang sumber manusianya.
Kegagalan seorang remaja ini turut menimbulkan persoalan tentang sistem pendidikan dan nilai-nilai yang diamalkan dalam masyarakat. Adakah pendidikan yang diterima mencukupi untuk membentuk individu yang bertanggungjawab dan beretika? Adakah ada kekurangan dalam proses mendidik dan perlu diperbaiki?
Ini adalah pertanyaan yang mungkin timbul dalam kalangan ibu bapa, guru juga masyarakat secara keseluruhannya. Oleh itu, kejadian seperti ini bukan sahaja mencetuskan keprihatinan terhadap remaja terlibat, tetapi juga menimbulkan refleksi mendalam terhadap nilai-nilai dan pendekatan dalam pendidikan dan pembangunan masyarakat kita.
Setiap tindakan yang diambil akan dibawa kepada pertanggungjawaban, dan setiap kesilapan akan mendapat hukuman. Walaupun proses keadilan masih dalam perjalanan, namun hukuman sosial sudah pun bermula dengan penolakan, celaan, fitnah, dan prasangka daripada masyarakat.
Seperti lembu terpalit lumpur, tidak hanya si anak yang terlekat dengan kesilapannya, tetapi juga tempiasnya turut dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Mereka dilayan secara umum seolah-olah mereka sendiri yang melakukan kesalahan.
Kini, si anak hidup dalam bayang-bayang gelap tanpa ketenangan, manakala keluarganya menerima perlakuan sinis daripada masyarakat. Kesakitan emosi yang dirasai oleh keluarga si pelaku jauh lebih pedih.
Sementara itu, keluarga mangsa terpaksa merelakan kehilangan anak tercinta yang selama ini menjadi kebanggaan mereka. Namun, pengorbanan itu hanya berbalas dengan kematian yang sia-sia.
Walaupun air mata yang dipenuhi darah mengalir, namun ia tidak mencukupi untuk menyembuhkan kesedihan yang merobek hati. Hanya keadilan untuk mangsa dan hukuman yang sewajarnya bagi pelaku yang mungkin dapat meredakan kesakitan dirasai.
Jalan mudah ke dalam masalah bukan sahaja merugikan individu yang terlibat, malah ia juga memberi kesan besar kepada orang sekeliling. Ini bermakna, tindakan seseorang tidak hanya mempengaruhi dirinya sendiri, tetapi juga menyentuh hubungan dan keadaan emosi orang lain di sekitarnya.
Misalnya, apabila seseorang terlibat dalam kesalahan, ia tidak hanya mengenakan citra buruk kepada dirinya, tetapi juga merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap orang lain yang berkaitan.
Selain itu, tempias juga berlaku di mana keluarga dan rakan-rakan individu yang terlibat turut terjejas secara tidak langsung. Keluarga terpaksa menanggung tekanan dan malu sosial yang tidak diingini, yang mungkin menyebabkan ketegangan emosi dan konflik dalaman. Kesan negatif ini boleh mencetuskan masalah lebih serius dalam masyarakat setempat.
Dalam konteks ini, penting untuk memahami bahawa kesalahan individu bukan sahaja melibatkan dirinya sendiri, tetapi juga berkait rapat dengan psikologi sosial masyarakat. Oleh itu, penegakan keadilan dan hukuman setimpal bukan hanya untuk mengembalikan keseimbangan sosial, tetapi juga memberi ketenangan kepada semua pihak terlibat agar proses pemulihan emosi dan hubungan sosial dapat berjalan dengan lancar.
PENULIS AHMAD FARID ABDUL FUAD Pensyarah Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu & DR. MOHD YUSOF ZULKEFLI, Pensyarah Jabatan Komunikasi Liberal Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.