SAUDARA PENGARANG
Kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu disesuaikan dengan kandungan pendidikan semasa agar ia memenuhi keperluan pelajar dan membolehkan pembelajaran personal dilaksanakan, sekali gus memenuhi permintaan industri.
Sehubungan itu, beberapa fasa perlu dilaksanakan dalam usaha membangunkan kurikulum AI seperti penilaian dan pelaksanaan program pendidikan merangkumi reka bentuk, konsep, prinsip serta aplikasi AI. Ia penting untuk memberi pemahaman mendalam kepada pendidik dan pelajar berkaitan teknologi AI.
Kurikulum AI yang direka dengan baik perlu meliputi aspek multidisiplin dan keselarasan dengan piawaian industri serta objektif pendidikan. Bagaimanapun usaha mengembangkan dan mengadaptasi kurikulum AI mempunyai pelbagai cabaran dan kekangan.
Salah satu aspek penting untuk pembangunan kurikulum AI adalah menentukan keberkesanan dalam pendidikan berasaskan hasil (OBE). Justeru, pengubal kurikulum perlu mengenal pasti kepentingan konsep, kemahiran dan kompetensi AI yang harus dicapai oleh pelajar melalui kurikulum yang diperkenalkan.
Kerangka kurikulum yang digubal perlu memberi tumpuan kepada prinsip asas dan konsep teknologi AI agar lebih fleksibel supaya mencapai semua elemen objektif pembelajaran program (PEO), hasil pembelajaran program (PLO) dan hasil pembelajaran kursus (CLO).
Kurikulum AI juga haruslah menarik, relevan dan mudah diakses kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang dan gaya pembelajaran. Ini kerana AI bukan hanya tentang koding atau algoritma tetapi berkaitan menggunakan data untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Ini bermakna ia boleh diperkenalkan dalam pelbagai mata pelajaran, bukan sahaja matematik dan sains, malah mata pelajaran berteraskan bidang sains sosial dan seni. Untuk mencapai perkara berkenaan, kreativiti dan kerjasama perlu dijalin dalam kalangan pendidik untuk mengadaptasi konsep AI menerusi mata pelajaran masing-masing.
Sehubungan itu, dengan menjadikan AI relevan dengan keperluan perkembangan semasa, pendidik dapat membantu pelajar dalam mencapai hasil dan nilai pembelajaran yang diperolehi.
Oleh itu, pengintegrasian AI dalam kurikulum memerlukan peranan penting dan tanggungjawab oleh pendidik. Mereka memerlukan peluang pembangunan profesional dan sokongan untuk menyesuaikan diri dengan paradigma pengajaran dan pembelajaran baharu.
Bagaimanapun, kepesatan perkembangan teknologi AI boleh menjadi cabaran bagi pendidik terutama kepada mereka yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang sains komputer atau teknologi.
Namun, semua itu mampu diatasi dengan sokongan dan sumber yang tepat, sekali gus menjadikan mereka mahir mengadaptasikan AI dalam sesi pembelajaran mereka. Perkara tersebut memerlukan kerjasama berterusan antara pendidik, industri, penyelidik dan pembuat dasar untuk mengenal pasti keperluan pendidikan yang berkembang dan mengemas kini kurikulum sewajarnya.
Selain itu, penyertaan daripada pelajar dan pihak berkepentingan boleh membantu memastikan kejayaan pelaksanaan kurikulum AI agar relevan, menarik dan efektif.
Mendapatkan maklum balas daripada pihak industri dan majikan juga membantu memastikan kurikulum AI selari dengan keperluan dan piawaian industri dengan memberikan pandangan berkaitan trend, amalan dan keperluan semasa pekerjaan.
Ini kerana dengan melibatkan rakan industri, institusi penyelidikan dan komuniti dapat memberikan pelajar peluang untuk mendapatkan bimbingan dan latihan praktikal dalam bidang berkaitan AI.
Selain itu, memberikan pelajar peluang pembelajaran berasaskan pengalaman seperti latihan praktikal, program bimbingan dan kerjasama industri membolehkan mereka mendapatkan pengalaman praktikal dalam menggunakan konsep dan teknologi AI dalam dunia nyata dengan mengembangkan kemahiran agar dapat mempersiapkan mereka untuk menceburi alam pekerjaan.
Untuk mengadaptasi AI dalam kurikulum, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menawarkan struktur kursus yang fleksibel bagi membolehkan pelajar menyesuaikan pendidikan AI berdasarkan minat dan matlamat kerjaya mereka.
Misalnya, institusi pendidikan menawarkan kursus elektif atau trek khusus dalam bidang AI seperti pembelajaran mesin, robotik atau sains data ke dalam pelbagai subjek.
Seterusnya, mengintegrasikan teknologi baharu seperti realiti tambahan (AR), realiti maya (VR), dan rantaian blok ke dalam kurikulum AI dapat meningkatkan penglibatan pelajar dan memberikan peluang untuk melakukan eksperimen dan penerokaan secara praktikal.
Selanjutnya, menilai keberkesanan hasil pembelajaran dan pemahaman pelajar merupakan satu cabaran lain bagi pendidik dalam mengadaptasi AI dalam pendidikan.
Bentuk penilaian tradisional seperti peperiksaan, ujian atau esei mungkin tidak dapat dinilai sepenuhnya untuk mengenal pasti pencapaian kemahiran dan kompetensi diperlukan untuk menilai keberkesanan pembelajaran berasaskan AI.
Untuk melaksanakan AI dalam kurikulum, mekanisme penilaian secara berkala perlu dipantau secara berterusan bagi membolehkan pendidik memantau kemajuan pelajar, mengenal pasti bidang-bidang yang perlu diperbaiki dan membuat penyesuaian kepada keperluan penambahbaikan dalam kurikulum AI.
Maklum balas daripada pelajar dan hasil penilaian dapat memberi maklumat untuk menambahbaik kurikulum bagi memenuhi objektif pendidikan dengan lebih baik.
Oleh itu, pendidik perlu mengembangkan kemahiran literasi digital untuk menavigasi dan memahami bagaimana untuk menjalankan penilaian dengan berkesan termasuk kaedah penilaian formatif dan sumatif.
Ini boleh dilakukan dengan menyediakan latihan dan sokongan kepada pendidik untuk mengintegrasikan alat dan sumber AI secara efektif dalam amalan pengajaran mereka, termasuk bagaimana untuk memudahkan pembelajaran berdasarkan penyiasatan dan aktiviti berasaskan projek berkaitan AI.
Pendidik memerlukan latihan dan sokongan berterusan untuk mengintegrasikan alat dan teknologi AI ke dalam bilik darjah dan amalan pengajaran mereka.
Menyediakan peluang pembangunan profesional untuk pendidik dapat memastikan mereka mempunyai pengetahuan, kemahiran dan sumber yang diperlukan untuk mengajar konsep dan teknologi AI secara efektif. Sebagai contoh, pendidik boleh mengambil bahagian dalam bengkel, persidangan, kursus dalam talian dan komuniti pembelajaran yang memberi tumpuan kepada pendidikan AI.
Selain itu, pertimbangan etika merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan dalam mengadaptasi AI dalam kurikulum. Perbincangan mengenai pertimbangan etika seperti keadilan dan privasi ke dalam kurikulum AI adalah penting agar pelajar mempunyai kesedaran berkaitan isu-isu etika agar dapat memastikan mereka menggunakan AI untuk kebaikan dan memberi kuasa untuk membuat keputusan apabila menggunakan AI dalam kehidupan mereka.
Melalui pendedahan kesedaran etika secara berterusan, pendidik dan pelajar dapat menjadi pengamal AI yang lebih bertanggungjawab dan beretika seterusnya menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Kebimbangan lain dalam mengadaptasi AI dalam kurikulum adalah untuk mengatasi jurang digital agar dapat memastikan semua pelajar mempunyai akses kepada teknologi dan penyambungan internet yang diperlukan.
Untuk mengatasi kebimbangan ini, pihak bertanggungjaab boleh menawarkan biasiswa, geran dan program bantuan kewangan bagi membantu mengurangkan halangan kewangan bagi pelajar yang kurang bernasib baik. Ini melalui penyediaan akses kepada komputer, internet agar dapat menggunakan AI atau platform pembelajaran dalam talian.
Institusi pendidikan juga boleh menyediakan komputer riba atau peranti mudah alih kepada pelajar yang memerlukan. Ini adalah untuk memastikan akses yang saksama agar pelaksanaan kurikulum AI dalam pendidikan dapat dilaksanakan secara efektif.
Seterusnya, meneroka pelbagai pedagogi inovatif terkini seperti pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan penyiasatan dan pembelajaran lencana terbuka dapat meningkatkan integrasi kurikulum AI dalam pendidikan dengan mempromosikan pembelajaran aktif, penglibatan pelajar dan memupuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.
Dengan mengadaptasi pedagogi inovatif dalam kurikulum, ia dapat membantu pendidik dan pelajar agar dapat memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang pelaksanaan AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Bagi mengintegrasikan AI dalam kurikulum, kemampuan untuk menilai kebanjiran maklumat dalam talian adalah penting.
Dalam zaman digital masa kini yang berdepan cabaran maklumat salah, kandungan berat sebelah dan manipulasi naratif menyebabkan pendidik dan pelajar tidak memahami bagaimana algoritma AI membentuk kandungan yang mereka perlukan.
Untuk mengatasinya, pendidik harus terlibat dalam pembangunan profesional secara berterusan dan bekerjasama dengan rakan industri untuk menjelajah landskap maklumat dalam talian secara lebih efektif supaya dapat mengurangkan kesan negatif maklumat yang salah dan algoritma berat sebelah.
Secara kesimpulannya, pembangunan dan penyesuaian kurikulum AI adalah penting untuk mempersiapkan pelajar supaya berjaya dalam dunia yang dipacu oleh kepesatan perkembangan teknologi AI.
Mengadaptasi kurikulum AI untuk memenuhi keperluan pelajar memerlukan proses yang berterusan. Dengan merancang kurikulum AI secara menyeluruh, multidisiplin yang selaras dengan piawaian pihak industri.
Oleh itu, pendidik dapat melengkapi pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang diperlukan untuk berjaya dalam era AI.
Perkara tersebut dapat memastikan pelajar mendapat pendidikan yang relevan, menarik dan berkualiti tinggi agar dapat mempersiapkan mereka untuk berjaya dalam memenuhi keperluan kebolehpasaran pekerjaan.
AI dalam pendidikan tidak bermakna akan menggantikan kreativiti manusia dan kemahiran pemikiran kritis tetapi membantu dalam melengkapi sistem pendidikan dengan pengintegrasian alat dan sumber AI yang dapat memberi inspirasi inovasi dan penyelidikan dalam pendidikan.
PENULIS PROF. MADYA TS. DR. SITI HAJAR HALILI, Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.