fb fb fb fb fb

Sakit mental bukan tabu: Buka bicara, hapus stigma

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Tidak kelihatan pada pandangan mata kasar, penyakit mental tetap sama pentingnya untuk diberi perhatian seperti mana penyakit fizikal. Dalam masyarakat kita, perbincangan tentang kesihatan mental sering dianggap sensitif, bahkan tabu. Ramai yang lebih selesa menyembunyikan perasaan, kesedihan, atau tekanan kerana takut dilabel sebagai "lemah" atau "tidak normal". Hakikatnya, kesihatan mental adalah sebahagian penting dalam kehidupan setiap individu, sama seperti kesihatan fizikal.

Dapatan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan peningkatan ketara dalam prevalen masalah kesihatan mental di Malaysia dan unjuran peningkatan individu yang mengalami masalah mental dijangkakan akan terus meningkat hingga tahun 2030. Hal ini adalah sangat membimbangkan dan stigma yang melekat pada isu ini menghalang ramai daripada mereka yang diuji untuk mendapatkan bantuan diperlukan.

Ia menjadi tembok besar yang memisahkan mereka daripada peluang untuk sembuh dan menjalani kehidupan lebih baik. Sudah tiba masanya kita membuka ruang bicara, menyedarkan masyarakat bahawa kesihatan mental bukanlah sesuatu memalukan. Dengan memahami, kita mampu menghapuskan stigma dan menyokong satu sama lain untuk membina komuniti yang lebih empati dan inklusif.

Pesakit mental orang gila?

“Orang gila” adalah stigma yang harus dihadapi oleh pesakit mental sebagaimana pakar psikiatri yang ada kala digelar sebagai “doktor gila” oleh sebahagian masyarakat awam. Stigma ini harus dihapuskan kerana penyakit mental merangkumi pelbagai jenis penyakit seperti kecelaruan keresahan, kemurungan, bipolar, personaliti, tekanan, trauma dan lain-lain. Sedangkan “gila” yang kebiasaannya disebut oleh masyarakat, merujuk kepada skizofrenia jika dalam bahasa perubatan. Skizofrenia hanyalah salah satu daripada pelbagai jenis penyakit mental.

Justeru, masyarakat perlu maklum sekiranya seseorang individu menghidapi penyakit mental, ianya tidak semestinya bererti individu tersebut adalah gila. Sebagai contoh, kecelaruan kemurungan dan kecelaruan keresahan yang turut diklasifikasikan sebagai jenis-jenis penyakit mental akan tetapi, individu yang menghidapnya tidaklah dikategorikan sebagai gila.

Bagi membendung masalah ini, menjadikan penggunaan istilah saintifik seperti gangguan mental atau psikosis dapat membantu menghapuskan stigma yang berkaitan dengan istilah "gila" ini terhadap segala jenis penyakit mental. Dengan ini, dapat memupuk pemahaman dan empati yang lebih baik dalam kalangan masyarakat terhadap individu yang mengalami cabaran kesihatan mental.

Sakit mental tanda lemah iman?

Ujian kena penyakit mental tidak mendiskriminasi sesiapa mengikut tahap keimanan. Penyakit mental seperti kecelaruan kemurungan atau kecelaruan keresahan adalah masalah kesihatan yang melibatkan otak, bukan semata-mata isu spiritual. Individu yang kuat iman juga boleh mengalami sakit mental akibat trauma, genetik, mahupun pelbagai faktor lain.

Rasulullah SAW sendiri pernah menghadapi ujian berat dalam hidupnya, termasuk kesedihan, tekanan dan cabaran emosi hinggakan Allah SWT memberi Baginda SAW sokongan, bimbingan dan hiburan melalui wahyu ayat al-Quran yang turun pada ketika itu.

Dalam menghadapi situasi tekanan pada ketika itu, Baginda SAW berdoa bagi mendapatkan ketenangan hati. Hal ini menunjukkan tekanan dan keresahan adalah sebahagian daripada fitrah manusia serta sebahagian daripada ujian yang diberikan Allah SWT sebagai jalan untuk memperkuatkan keimanan dan ketakwaan hambaNya.

Mengambil kira Baginda SAW adalah uswatun hasanah, sebagai umatnya sama ada kita sebagai pesakit mahupun masyarakat sekeliling, kita harus meneladani Baginda SAW dalam sentiasa berdoa kepada Allah SWT bagi mendapatkan ketenangan. Selain itu, sebagai muslim, kita turut dididik untuk saling menyokong dan membantu mereka yang sedang dalam kesusahan, bukan dengan stigma atau kenyataan yang merendahkan hingga menambah beban emosi pesakit.

Niat mungkin baik tapi toksik positiviti!

Mengatakan ayat-ayat seperti "jangan fikir negatif", “semua orang ada masalah”, “kenalah kuat”, “fikir positif je” pada individu yang tiada gangguan mental mungkin boleh memberi semangat. Akan tetapi, bagi individu dengan gangguan mental, ayat seperti ini sebaliknya merupakan toksik positiviti kerana akan dianggap sebagai mengabaikan perasaan dan pengalaman yang mereka rasakan serta merasa diremehkan.

Hal ini tentunya akan lebih memberi kesan buruk kepada mereka. Berfikir positif atau menyedari ada orang lain yang lebih besar masalahnya supaya lebih bersyukur, tidak dinafikan dapat membantu namun ianya bukanlah sekadar itu, pesakit mental juga memerlukan rawatan seperti terapi, ubat dan sokongan emosi.

Oleh yang demikian, antara kata-kata yang lebih baik ketika menyantuni pesakit mental adalah dengan menggunakan ayat-ayat seperti “apa yang awak hadapi itu memang berat dan saya faham itu”, “apa kata kita sama-sama dapatkan bantuan professional”, “dapatkan rawatan tak bermakna lemah tapi sebagai langkah keberanian” dan “saya ada jika awak perlukan seseorang untuk mendengar”.

Pendekatan seperti ini adalah antara cara yang lebih empati ketika berkomunikasi dengan individu yang menghidap gangguan mental berbanding ungkapan toksik positiviti yang akan lebih memudharatkan. Ingat, kita bukan nak menyimbah minyak pada bara api!

Nampak sihat je, takkanlah sakit?

Penampilan luar pesakit yang mengalami gangguan mental tidak semestinya mencerminkan keadaan suasana hati yang sebenar ketika sedang berinteraksi dengan orang lain. Pesakit pada mata kasar mungkin kelihatan ceria atau produktif seperti orang normal pada masa-masa tertentu namun dalam diam sedang menghadapi tekanan emosi yang berat.

Sebagai salah satu contoh, terdapat jenis kecelaruan tekanan yang disebut sebagai High-Functioning Depression atau secara klinikal dikenali sebagai Persistent Depressive Disorder (PDD) yang membuat individu kelihatan aktif walaupun sedang mengalami tekanan mental.

Pelbagai faktor yang mendorong pesakit mental kelihatan aktif antaranya sebagai mekanisma untuk bertahan hidup. Mekanisma ini sebagai bentuk usaha keras demi menutupi perasaan mereka supaya tidak membebankan orang lain atau bagi memenuhi tanggungjawab mereka.

Selain itu, mereka turut nampak aktif kerana takut dihakimi dengan stigma orang sekeliling atau kerana sedang dalam situasi yang memaksa seperti kesibukan melampau yang menuntut mereka untuk tetap memaksa diri supaya berfungsi.

Oleh yang demikian, ungkapan seperti “nampak sihat je, takkanlah sakit” dan seumpamanya ini sepertinya mengabaikan realiti bahawa kesihatan mental adalah perkara dalaman yang tidak selalu terlihat jelas pada luaran. Kecelaruan tekanan yang membuat individu kelihatan aktif boleh menipu orang di sekeliling, tetapi ia tidak bermakna masalah kesihatan mental yang dihidapi kurang serius.

Pemahaman, sifat empati yang tinggi dan sokongan adalah kunci bagi membantu mereka keluar daripada tekanan emosi yang sedang dihadapi. Bukannya malah menambah beban akibat kurangnya kefahaman dalam menyantuni individu yang diuji dengan penyakit yang tak nampak.

Belum kena makan ubat, bermakna tak teruk!

Ubat bukanlah satu-satunya rawatan penyakit mental. Terdapat juga terapi seperti kaunseling, terapi tingkah laku kognitif (CBT), terapi seni dan pelbagai bentuk sokongan sosial yang juga sangat berkesan sebagai rawatan penyakit mental.

Namun, masih berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat bahawa seseorang yang tidak mengambil ubat untuk penyakit mental dianggap penyakitnya ringan, tidak serius atau mungkin hanya ingin berpura-pura.  Hakikatnya, pesakit yang tidak atau belum mengambil ubat tersebut mungkin sedang berjuang menghadapi simptom yang serius seperti kebimbangan, keletihan dan kemurungan yang melampau.

Sangat penting untuk difahami bahawa penyakit mental adalah kompleks dan rawatannya berbeza-beza bergantung pada individu. Namun terdapat juga pesakit yang sepatutnya mengambil ubat namun enggan disebabkan antaranya bimbang dengan pelbagai kesan sampingan antaranya seperti keletihan melampau, kenaikan berat badan, kekeliruan, sakit kepala, ketagihan dan lain-lain.

Selain itu, sebahagian mereka mungkin mengutamakan atau lebih percaya pada kaedah rawatan alternatif seperti homeopati, akupuntur dan aromaterapi mahupun kepada  rawatan komplementari seperti terapi muzik, menjaga diet pemakanan seimbang, pelbagai aktiviti fizikal dan lain-lain.

Namun begitu, perlu diambil perhatian bahawa penyakit mental yang tidak dirawat dengan betul, sama ada melalui ubat-ubatan atau kaedah rawatan lain, boleh membawa kepada masalah yang lebih merbahaya seperti ketidakupayaan berfungsi dan kecenderungan membunuh diri.

Bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini, sama-samalah kita antaranya menormalisasi memberi galakan kepada pesakit mental bagi mendapatkan bantuan professional seperti kaunselor, ahli psikologi mahupun doktor psikiatri supaya masalah yang dihidapi dapat ditangani dengan sebaiknya dengan bantuan pihak yang pakar.

Kesimpulan

Stigma terhadap masalah mental yang menjadi salah satu penghalang utama dalam usaha menangani dan mencegah penularan masalah kesihatan mental perlu dihapus. Usaha-usaha seperti menormalisasi perbincangan kesihatan mental serta pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat melalui pelbagai kaedah dan platform akan menyumbang kepada mengelak dari memperparah masalah serius ini pada tahap individu mahupun masyarakat.

Bagaimanapun, usaha membendung penularan masalah mental ini tidak boleh hanya diusahakan oleh satu pihak sahaja, ianya memerlukan kerjasama semua pihak sesuai dengan peribahasa melayu “buluh sebatang takkan menjadi kurungan”.

Santunilah mereka yang diuji dengan kesihatan mental sepertimana kita menyantuni dan menunjukkan empati terhadap mereka yang diuji dengan kesihatan fizikal. Sesungguhnya ujian kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang demografi seseorang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

SITI NURASHIDAH ROSLAN
Siti Nurashidah Roslan
Pensyarah Jabatan Pengurusan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor

FADILAH MAT NOR
Fadilah Mat Nor
Pensyarah Jabatan Ekonomi & Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan & Pengurusan
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI