fb fb fb fb fb

Anda generasi strawberi atau durian?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam era digital dan globalisasi ini, perbandingan generasi sering menjadi topik hangat perbincangan. Istilah seperti "generasi strawberi" dan "generasi durian" kerap digunakan untuk menggambarkan perbezaan ketara antara generasi masa kini dan generasi terdahulu.

Istilah ini merujuk kepada ciri-ciri umum setiap generasi; generasi strawberi diibaratkan seperti buah strawberi yang cantik di luar tetapi mudah rosak, manakala generasi durian pula diumpamakan seperti durian yang berduri keras di luar tetapi memiliki isi yang tebal dan tahan lasak. Perbandingan ini mencerminkan perbezaan ketahanan mental, jati diri dan pendekatan dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Generasi Strawberi: Kerapuhan di Sebalik Kecantikan 

Generasi strawberi merujuk kepada generasi muda masa kini yang sering dilihat mudah rapuh apabila berdepan cabaran. Seperti buah strawberi yang kelihatan indah dan menarik, generasi ini sering dikaitkan dengan sifat luaran yang kelihatan sempurna – berpendidikan tinggi, celik teknologi dan moden.

Namun, apabila berhadapan dengan tekanan, ramai yang mudah terkesan sehingga menyebabkan masalah seperti kemurungan, keresahan, atau rasa ingin berputus asa.

Faktor utama yang dikenal pasti adalah disebabkan individu ini membesar dalam persekitaran tidak pernah susah. Tidak dinafikan bahawa ramai ibu bapa ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun sebenarnya mereka tanpa sedar melindungi anak-anak daripada cabaran sebenar kehidupan. Akibatnya anak-anak ini menjadi manja dan alah kepada dugaan atau kepayahan.

Generasi strawberi terdedah kepada media sosial yang sering memaparkan kehidupan "sempurna," menyebabkan mereka mudah membandingkan diri dan merasa tidak mencukupi. Keinginan untuk memperoleh sesuatu dengan segera turut menyumbang kepada tekanan ini.

Komen negatif netizen dalam media sosial diambil peduli sehinggakan ia mencipta pandangan bahawa kegagalan adalah sesuatu yang sukar diterima, sekali gus menyukarkan generasi ini untuk belajar daripada kesilapan. Rentetan daripada ini menyebabkan mereka lebih cenderung untuk cepat mengalah apabila berhadapan dengan cabaran yang tidak dapat mereka atasi dengan segera.

Generasi Durian: Kekuatan di Sebalik Ketahanan

Berbeza dengan generasi strawberi, generasi durian merujuk kepada generasi terdahulu yang terkenal dengan ketahanan mental mereka. Generasi ini melalui zaman serba mencabar – daripada kemiskinan sehingga kekurangan peluang pendidikan. Pengalaman hidup mereka yang penuh kesukaran ini membentuk daya tahan mental yang kuat dan keupayaan untuk terus maju walaupun menghadapi cabaran besar.

Seperti durian yang berduri, generasi ini tidak mudah menyerah kalah. Mereka dibesarkan dalam persekitaran yang mengajar mereka untuk menghargai usaha, bertolak ansur dan mengatasi kesukaran dengan penuh kesabaran. Mereka juga membangunkan kemahiran diri agar berupaya menyelesaikan masalah secara praktikal tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.

Salah satu faktor utama yang membentuk generasi durian adalah kurangnya kemewahan dan teknologi moden. Mereka terpaksa berusaha lebih keras untuk mencapai sesuatu, yang secara tidak langsung membina daya tahan dan inisiatif yang tinggi. Selain itu, kehidupan berkomuniti yang erat juga mengukuhkan sokongan emosi dan mental mereka.

Di Manakah Silapnya Generasi Strawberi?

Generasi sekarang sering dikritik kerana kekurangan “common sense” atau inisiatif dalam menyelesaikan masalah. Perkara ini berpunca daripada kebiasaan mendapatkan segala-galanya dengan segera, sama ada maklumat, makanan atau penyelesaian masalah. Kehadiran teknologi dan internet telah mengubah cara mereka berfikir dan bertindak. Walaupun teknologi memberi banyak manfaat, namun ia juga menyebabkan generasi ini kurang bersabar dan cenderung mencari jalan pintas.

Contohnya, jika menghadapi masalah kecil, mereka lebih suka mencari jawapan di internet atau bergantung kepada orang lain daripada mencuba menyelesaikannya sendiri terlebih dahulu. Ini menyebabkan mereka kurang keyakinan diri dan kemahiran praktikal. Sikap ini juga melahirkan generasi yang kurang bersedia untuk menghadapi tekanan atau kesusahan jangka panjang, disebabkan mereka tidak biasa dengan proses yang memerlukan usaha dan kesabaran.

Selain itu, sikap generasi ini terhadap kegagalan turut menjadi isu. Ramai yang takut untuk gagal kerana takutkan kritikan atau stigma sosial. Mereka lebih suka menghindari risiko daripada mencuba sesuatu yang baharu. Akibatnya, mereka terlepas peluang untuk belajar daripada pengalaman dan membina daya tahan.

Membangunkan Keseimbangan antara Strawberi dan Durian

Walaupun generasi strawberi sering dilihat sebagai lemah, ini tidak bermakna mereka tidak berpotensi untuk berubah. Generasi ini memiliki kelebihan tersendiri, seperti celik teknologi, pemikiran kreatif dan kepekaan terhadap isu sosial. Apa yang diperlukan adalah pendekatan yang seimbang untuk membantu mereka membina daya tahan dan jati diri yang lebih kuat.

Pertama, ibu bapa dan pendidik perlu memberikan ruang kepada anak-anak untuk membuat kesilapan dan belajar daripada kesilapan tersebut. Mereka perlu memahami bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan bukan sesuatu yang perlu dielakkan.

Kedua, program pendidikan dan latihan boleh dirangka untuk mengajar kemahiran hidup seperti menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan berkomunikasi dengan berkesan. Kemahiran ini penting untuk membantu generasi strawberi menjadi lebih yakin dan berdikari.

Ketiga, generasi strawberi perlu diberi peluang untuk berinteraksi dengan generasi durian. Hubungan kedua-dua generasi ini boleh membantu mereka saling belajar daripada pengalaman dan nilai-nilai yang dipegang antara satu sama lain.

Generasi strawberi dan durian adalah hasil daripada konteks zaman mereka. Walaupun terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua generasi, ia bukanlah sesuatu yang perlu dilihat secara negatif semata-mata. Sebaliknya, ia adalah peluang untuk membina generasi masa depan yang lebih seimbang iaitu generasi yang memiliki kekuatan mental seperti durian, tetapi juga fleksibel dan kreatif seperti strawberi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

SITI HAWA RADIN EKSAN
Siti Hawa Radin Eksan
Pensyarah, Jabatan Pengurusan & Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI