ULASAN BERITA
Tahun lalu, sambutan Hari Raya Aidilfitri agak kelam kabut kerana diumum awal daripada tarikh jangkaan.
Ramai yang terkejut, tidak kurang juga panik susulan segala persediaan raya masih belum selesai.
Malah, ada yang masih belum pun sempat berkemas untuk pulang ke kampung halaman.
Namun, tahun ini, ramai yang telah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan membuat persiapan awal.
Iyalah, tidak mahu lagi kelam kabut menyediakan juadah sehingga pagi raya, atau terkejar-kejar mencari tiket bas untuk pulang ke kampung halaman.
Suasana sambutan Aidifitri tahun ini juga lebih tenang, apabila keadaan negara mula pulih dari pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, ramai dalam kalangan rakyat berbelanja secara sederhana.
Membeli apa yang perlu dan penting sahaja... berjimat cermat.
Kenaikan harga barangan betul-betul dirasai pada sambutan hari raya kali ini.
Sepanjang Ramadan, kesannya boleh dilihat apabila kadar harga makanan di bazar-bazar terdapat perubahan yang ketara. Begitu juga dengan harga barangan keperluan harian seperti bahan mentah.
(FOTO FAIL)
Malah, pakaian juga begitu. Jika sebelum ini, baju melayu atau baju kurung yang berkualiti masih boleh didapati dengan harga yang ekonomi dan munasabah, tapi ia sedikit meningkat.
Ia perkara yang tidak dapat dinafikan. Keadaan itu tidak hanya di rasai hanya dalam negara, malah di seluruh dunia.
Untungnya, kerajaan masih dapat mengawal kenaikan harga barangan keperluan tertentu agar tidak terus naik menggila. Jika tidak, pasti lebih parah.
Selain... mewujudkan inisiatif-inisiatif tertentu bagi membantu poket rakyat, seperti Jualan Khas Syawal Madani yang dikelola Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.
Antara keperluan yang dijual pada kadar harga menarik, adalah sayur- sayuran, buah-buahan, daging, ayam dan telur.
(FOTO FAIL)
Selain, pelbagai produk berasaskan industri makanan dan asas tani.
Ekonomi Malaysia dan dunia kini bergerak agak perlahan. Ia mula memulih selepas pandemik COVID-19 mereda, namun tidak sebegitu rancak kesan ekonomi global yang juga sedang lesu.
Antaranya, kesan domino akibat peperangan yang berlanjutan lebih setahun antara Rusia dan Ukraine.
Pun begitu, sambutan Aidilfitri tetap dijangka meriah dalam kesederhanaan ekonomi yang berlaku ketika ini.
Jika ada yang memiliki rezeki lebih, mahu mengadakan rumah terbuka, ingat-ingatlah kepada mereka yang serba kekurangan.
Cuba lihat-lihat di sekeliling, mungkin ada yang menyambut Aidilfitri kali ini serba kekurangan, tanpa juadah istimewa dan tanpa pakaian baharu kerana tidak berkemampuan.
Jemputlah mereka, raikan bersama-sama, termasuk rakan-rakan yang berlainan bangsa ada agama.
Sambutlah hari raya Aidilfitri kali ini dengan apa adanya, usah pula berlebihan.
Rancang jumlah hidangan bersesuaian dengan tetamu agar tidak berlakunya pembaziran makanan.
Jika ada lebihan, sediakan bekas makanan agar boleh dibawa pulang oleh tetamu.
Sekurang-kurangnya ia dapat dimakan kemudian, tidak dibuang begitu sahaja.
Bukan apa, menurut laporan beberapa badan bukan kerajaan, pembaziran makanan direkodkan meningkat sepanjang Ramadhan kali ini.
Dan.. ia dikhuatiri berlanjutan sehingga akhir Syawal susulan anjuran rumah-rumah terbuka seluruh negara.
Adalah malang jika pembaziran terus berlaku dalam keadaan kelembapan ekonomi dan harga bekalan makanan yang agak tinggi ketika ini.
Pastinya, usaha kerajaan memastikan bekalan makanan sentiasa tersedia dengan kadar harga yang munasabah jadi sia-sia jika sikap demikian tidak diubah.
Hargailah usaha tersebut menerusi tindakan berhemat dalam penyediaan makanan sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.
Sementara itu, bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan tidak akan menganjurkan rumah terbuka di Seri Perdana, Putrajaya.
Sebaliknya, akan bersama-sama rakyat di rumah terbuka setiap negeri.
Selamat Hari Raya Aidilftiri, maaf zahir dan batin.
ASHRIQ FAHMY AHMAD ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.