fb fb fb fb fb

Melestarikan ukhuwah kekeluargaan

(Sebahagian daripada keluarga harmoni Jahara/Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Selain carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua, antara peribahasa lain yang menggambarkan betapa utuh hubungan kekeluargaan waima apa badai yang melanda ialah seperti cencang air tidak putus, pancung abu tak berbekas atau kalau digali tanah berbingkah, tanah berderai yang akan bertemu.

Peribahasa Melayu seperti itu menunjukkan bahawa, menjaga hubungan kekeluargaan amat penting  kerana yang menjadi pendorong kepada keluarga harmoni adalah apabila seseorang itu berasa bahagia hidup bersama keluarga mereka.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), keluarga didefinisikan sebagai kaum, saudara mara, kaum kerabat, dan sanak saudara.  Secara dasarnya, terdapat beberapa jenis bentuk keluarga yang wujud serta berfungsi mengikut konteks.

Dalam bidang sosiologi, antara bentuk keluarga yang wajib difahami oleh setiap ahlinya ialah, pertama dikenali sebagai keluarga nuklear (dua orang induk) iaitu sebuah keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak.

Kedua ialah keluarga lanjutan iaitu terdiri daripada ibu bapa, datuk nenek, ibu saudara, bapa saudara, sepupu dan lain-lain. Ianya seringkali disebut sebagai keluarga besar sama ada susur galurnya disebelah ibu ataupun bapa.


(Contoh keluarga nuklear/Foto hiasan)

Memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan sempurna adalah satu idaman setiap insan. Hal ini kerana keluarga merupakan orang yang bernilai dalam hidup kita yang dapat membantu menjamin kestabilan emosi dan mental kita.

Sebenarnya, percaya atau tidak, apabila seseorang itu mengecap rasa bahagia dan sejahtera bersama keluarga, ianya sedikit sebanyak akan membantu seseorang itu menghindari diri daripada terlibat dengan pelbagai  masalah  tingkah  laku  sosial yang tidak sihat.

Hal ini kerana, apabila sesebuah keluarga itu amat harmoni dan sihat, ini akan membuatkan seseorang itu cuba sedaya mungkin untuk tidak menconteng arang kepada ahli keluarganya yang lain. Ini merupakan satu desakan sosial yang amat baik.

Dalam konteks  ini,  komunikasi  keluarga memainkan peranan  penting  dalam  usaha  mewujudkan  hubungan  yang harmoni  dan gembira antara ahlinya. Situasi  komunikasi  yang harmoni dan gembira akan membantu perkembangan diri setiap ahli keluarga. Oleh kerana itu, hubungan kekeluargaan yang baik sebenarnya boleh meransang minda yang baik.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, didada akhbar terdapat pelbagai cerita kurang enak didengari yang melibatkan dengan kegagalan sesebuah institusi keluarga. Kesan kepada kegagalan institusi ini sedikit sebanyak akan mengganggu emosi anak-anak.

Sebagai ibu bapa yang peka, mereka harus bertanggungjawab kepada perkembangan emosi anak-anak mereka. Walau apa terjadi, harus diingatkan, hubungan dengan keluarga besar atau lanjutan tidak seharusnya terpisah.

Melestarikan ukhuwah kekeluargaan adalah amat penting. Ini adalah perlu demi untuk menjaga kepentingan keturunan, salasilah keluarga dan juga satu keperluan dalam hidup terutamanya dalam soal hubungan mahram, nikah kahwin mahupun soal harta pusaka.

Bayangkan jika kita tidak mengenali susur galur keluarga, diakhirnya kita jatuh cinta dan hampir bernikah dengan anak saudara sendiri. Ini adalah satu perkara yang tidak baik dan mengaibkan. Walhal, perkara seperti ini boleh dielakkan jika kita mengenali setiap ahli keluarga dengan baik.

Musim perayaan mahupun kenduri kendara adalah waktu sangat baik untuk kita mengenali dengan lebih erat akan keluarga. Malang sekali, pada era masa kini, walaupun kita menghadiri acara keramaian seperti itu, namun suasananya adalah amat berbeza.

Kita lebih selesa berbicara dengan mereka yang kita biasa dan tidak mengendahkan ahli keluarga yang dianggap jauh ataupun tidak rapat. Ada juga yang lebih selesa ‘berkawan’ dengan telefon bimbit yang dianggap seperti nyawa yang tidak boleh dipisah. Sedangkan, masa senggat begitulah perlu diguna sepenuhnya untuk menyantuni sanak saudara sebaik yang mungkin.


(Sebahagian daripada keluarga besar dan erat Ariffin/Foto hiasan)

Tidak dapat dinafikan wujud perasan malu kerana jarang-jarang sekali berjumpa. Ini adalah konflik interpersonal singkat yang mana ibu bapa sepatutnya memainkan peranan untuk memastikan proses sosialisasi itu berlaku atau proses pergaulan itu berlaku.

Tidak perlu menuruti sikap anak yang hanya mahu menatap gajet. Waktu seperti itulah perlu diguna sebaiknya terhadap anak-anak untuk belajar bergaul dan berinteraksi secara sosial.

Melestatikan ukhuwah kekeluargaan bukanlah sesuatu yang baharu namun ianya sering dipandang sepi. Hal ini kerana Allah SWT sendiri berfirman dalam surah At-Tahrim ayat enam bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang boleh diperolehi apabila sesebuah keluarga itu menitikberatkan nilai kekeluargaan yang positif dalam kehidupan seharian. Keluarga ini ibaratnya seperti magnet yang berupaya untuk menarik ahlinya walau sejauh mana mereka pergi.

Nilai kasih sayang sesama keluarga sangat sukar untuk dibuang ke dasar lautan. Bak kata pepatah, busuk daging dikincah, dimakan; busuk ikan, dibuang. Ini jelas menunjukan bahawa penerapan sifat terpuji dalam institusi kekeluargaan adalah amat penting  kerana  perkara ini dapat memberi kemaslahatan  dan kesejahteraan sejagat.

PENULIS DR MOHD YUSOF ZULKEFLI ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi Liberal, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi MARA.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu