fb fb fb fb fb

Bersaranya "Panglima Perang" COVID-19

(Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bersama Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa
dan sebahagian warga petugas kesihatan semasa majlis
persaraan beliau baru baru ini) 

SAUDARA PENGARANG

Tanggal 21 April 2023 menandakan berakhirnya tempoh perkhidmatan buat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah setelah 35 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Beliau diraikan dalam satu majlis persaraan di Kementerian Kesihatan, Putrajaya yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Ternyata, tarikh Dr. Noor Hisham bersara wajib adalah kebetulan jatuh pada hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa sebelum menyambut Aidilfitri.

Pandemik COVID-19

Semasa pandemik COVID-19 melanda negara, wajah figura inilah yang rakyat tertunggu-tunggu pada setiap petang di saluran media massa untuk mengetahui perkembangan kes.

Kemunculan Ketua Pengarah Kesihatan pada sesi harian itu sentiasa dalam keadaan kemas, tenang dan beliau cuba memberikan maklumat telus serta mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat berhubung situasi terkini COVID-19.

Sungguhpun wajahnya kelihatan penat, beliau fokus dan teliti ketika menjawab pertanyaan media membuatkan ramai daripada kita tidak panik dengan kewujudan virus terbaharu muncul dalam kehidupan masyarakat dunia ketika itu.

Malah, Dr. Noor Hisham sentiasa memberikan peringatan dan harapan setiap hari kepada orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Usaha beliau mengepalai warga Kementerian Kesihatan untuk membawa negara keluar daripada pandemik membuatkan masyarakat Malaysia menggelar figura ini dengan gelaran ‘wira negara’.

Namun, Tan Sri Dr. Noor Hisham dengan rendah diri menolak gelaran itu kerana apa yang paling utama ialah tanggungjawabnya kepada masyarakat.


(Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ketika mempengerusikan Mesyuarat ke-2 Jawatankuasa

Tetap Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR)
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva/FB Dr. Noor Hisham)

Kejayaan mengawal penularan COVID-19

Pastinya, salah satu pengalaman manis yang akan diingati oleh bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan ialah apabila Malaysia mencatatkan sifar kes jangkitan COVID-19 pada 1 Julai 2020.

Rata-rata rakyat Malaysia memanjatkan kesyukuran mereka dengan berita itu, di samping memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas usaha berterusan mereka dalam memerangi virus COVID-19.

Susulan kejayaan itu, beliau turut diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442 Hijrah/2020 Masihi.

Pemilihan Dr. Noor Hisham dianggap tepat setelah diiktiraf antara pakar perubatan terunggul di peringkat global dalam mengekang COVID-19.

Pada April 2020, agensi berita antarabangsa, China Global Television Network (CGTN) melaporkan Dr. Noor Hisham antara tiga doktor terulung peringkat dunia dalam perang menentang COVID-19, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Dr. Ashley Bloomfield.

Berpengalaman luas, kredibiliti, nilai kepimpinan dan pengetahuan luar biasa membuatkan Dr. Noor Hisham sering kali diamanahkan pelbagai jawatan sepanjang 35 tahun perkhidmatannya dalam bidang perubatan.

Seminggu sebelum persaraannya, Dr. Noor Hisham diberikan mandat mempengerusikan Mesyuarat ke-2 Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva. Mesyuarat itu merupakan mesyuarat tertinggi dalam pertubuhan dunia itu.

Kekal tenang berdepan isu & kontroversi

Walaupun Dr. Noor Hisham mempunyai portfolio yang mengagumkan, beliau juga tidak terlepas daripada kontroversi. 

Beliau pernah menjadi mangsa kecaman netizen apabila mengadakan majlis perkahwinan anaknya yang didakwa tidak mengamalkan SOP penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Terdapat juga ahli politik dan segelintir pihak yang mempertikaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Dr. Noor Hisham.

Mereka mendakwa beliau tidak turun padang dan ‘takut mati’ bersama petugas barisan hadapan. Sebaliknya, hanya membuat sidang media setiap hari di televisyen semasa negara masih bergelut dengan wabak COVID-19.

Malah, spekulasi Dr. Noor Hisham ditekan oleh ahli politik turut bertiup kencang apabila Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohamed Ismail Merican mengecam beliau.

Dr. Mohamed Ismail mendakwa Dr. Noor Hisham telah membuat keputusan yang salah seperti menyarankan kepada kerajaan untuk membenarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pembukaan bazar Ramadan tatkala jumlah kes jangkitan COVID-19 kembali memuncak.

Sungguhpun dihambat kecaman netizen, ahli politik dan segelintir individu yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau, Dr. Noor Hisham memilih untuk berdiam diri, tidak melenting dan terus menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan seperti biasa.

Inilah dunia maya, sejauh mana hebat atau baiknya seseorang, kecaman mesti ada kerana manusia itu punya hak untuk bersuara. Cuma, kita yang dikecam harus bijak bertindak balas supaya tidak mengeruhkan lagi keadaaan. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang sempurna dan tiada istilah kejayaan tanpa kegagalan.

Untuk Dr. Noor Hisham jasa dan pengorbanan beliau memimpin kementerian serta mendidik masyarakat dalam mendepani wabak COVID-19 semestinya perlu dipuji dan diingati sampai bila-bila.

Benarlah kata bidalan, "Yang patah, tumbuh. Yang hilang, berganti.

Kita mungkin sukar mencari individu seperti Dr. Noor Hisham tetapi sesiapa jua mampu mengambil ciri keperibadian, budaya kerja dan kemahiran kepimpinan beliau untuk dijadikan sumber inspirasi.

Kepada ‘panglima perang’ COVID-19, selamat bersara dan terima kasih atas sumbangan kepada bidang kesihatan negara.

PENULIS MOHD ALIFF MOHD NOR, Pensyarah sambilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu