(Foto BERNAMA)
ULASAN BERITA
Hari ini 7 Syawal, tepat seminggu umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri.
Bagaimana dengan Aidilfitri anda?
Tahun ini, ramai yang mengambil peluang beraya di kampung halaman.
Syukurlah COVID-19, tidak lagi menjadi penghalang antara kita dengan yang tersayang.
Atas permintaan ramai, Bantuan Khas Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara kerajaan telah diawalkan.
Bantuan raya juga diperluas kepada pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform.
Bagi membantu meringankan perbelanjaan balik kampung, Tol Rahmah percuma diberi sepanjang tiga hari terakhir Ramadan.
Tol percuma juga diberi pada hari Isnin, 3 Syawal.
Ini julung kali tol percuma merangkumi semua lebuh raya.
Tak cukup dengan itu, satu hari cuti pelepasan tambahan juga diberi.
PDRM pula menawarkan kadar khas bayaran saman RM50, bagi semua saman trafik.
Kadar khas ini juga, julung kali ditawarkan.
Tujuannya, memberi peluang kepada pihak terbabit, menyelesaikan saman yang tidak boleh dikompaun.
Mereka diberi tempoh hingga 21 Mei, untuk menikmati kadar khas itu.
Tetapi awas, tawaran ini hanya sah bagi saman yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya.
Saman baharu tak laku ya.
Jadi patuhilah undang-undang jalan raya, yang termaktub.
Kesemua insentif untuk rakyat tadi diterima sepenuhnya semua pihak dengan penuh kesyukuran.
Tak ada seorang pun bantah.
Tak ada yang mempertikaikan pemberian kerajaan.
Langsung tak timbul isu pembaziran atau bermotif politik.
Namun suasana harmoni ini berubah apabila kerajaan mengumumkan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama perdana menteri.
Buat julung kalinya, Rumah Terbuka Aidilfitri tidak dianjurkan di Seri Perdana.
Sebaliknya dialihkan ke enam negeri Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Kata kerajaan, perubahan itu antara usaha perdana menteri mendekati rakyat dan kepimpinan kerajaan negeri tanpa mengira pegangan politik.
Bagaimanapun lain pula pandangan ahli politik yang tidak sealiran.
Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri dikatakan membazir.
(Foto BERNAMA)
Kos penganjuran di Seri Perdana lebih jimat. Benarkah begitu?
Menurut seorang bekas ahli lembaga pengarah sebuah badan berkanun, pandangan itu meleset.
Kos penganjuran di Putrajaya sebenarnya jauh lebih tinggi.
Rumah terbuka di Seri Perdana lazimnya melibatkan jemputan puluhan ribu orang, termasuk tetamu kehormat dan ekspatriat.
Persiapan di kediaman rasmi perdana menteri boleh mencecah jutaan ringgit.
Tidak salah sekiranya wang itu dapat diagihkan kepada negeri-negeri untuk jamuan rakyat setempat.
Seterusnya ada pula yang mendakwa, perdana menteri tidak boleh menggunakan dana awam atau wang kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka.
Gunakan sahaja wang parti atau wang peribadi.
Saranan ini agak mengelirukan.
Seperti yang kita sedia maklum, majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bukan majlis anjuran mana-mana parti politik atau individu.
Ia merupakan majlis anjuran kerajaan.
Bukan mana-mana presiden parti atau pengerusi gabungan politik.
Perdana menteri dan jemaah menteri hadir atas kapasiti mereka sebagai anggota Kabinet.
Turut dijadikan isu, pemilihan lokasi rumah terbuka di enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.
Rumah Terbuka Malaysia Madani dikatakan pentas kempen Pilihan Raya Negeri.
Seperti yang disebutkan tadi, majlis ini bukan program politik.
Program ini terbuka kepada semua.
Tanpa syarat, tanpa pengecualian.
Pendek kata, ini rumah terbuka hari raya.
Seperti biasa pengisian utamanya ialah mengeratkan silaturahim sambil menjamu selera.
Mungkin isu ini tidak timbul jika semua pihak menjunjung penuh saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Menyertai Kerajaan Perpaduan tidak bermakna perlu menjual prinsip sesebuah parti.
Ketepikan agenda peribadi dan perbezaan politik demi mengutamakan rakyat.
Selain sebagai tanda penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, tindakan itu sebenarnya sumbangan besar kepada kestabilan politik tanah air.
Sudah terlalu banyak kerajaan yang tumbang sebelum waktunya.
Baik di peringkat persekutuan mahupun negeri.
Hari baik bulan baik, sebaiknya kita berbaik sangkalah sesama kita.
Jauhi prasangka.
Siri pertama jelajah Rumah Terbuka Malaysia Madani bermula di Kedah esok.
Majlis berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.
Jom beramai-ramai ambil keberkatan Aidilfitri.
PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.