fb fb fb fb fb

Pembeli harus bijak atasi kenaikan harga barang

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

SAUDARA PENGARANG

Keluhan kenaikan harga barang menjadi buah mulut rakyat sejak akhir-akhir ini. Isu ini bukan sahaja menjadi fenomena negara malah mencengkam kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Semakin ketara selepas kenaikan inflasi akibat wabak COVID-19 yang telah melanda dunia.

Secara asasnya, dalam kehidupan manusia kita perlu membeli barang keperluan untuk hidup seperti makanan, pakaian, peralatan dan lain-lain lagi. Namun begitu sebagai pengguna, kita perlu tahu limitasi keperluan hidup kita. Ada yang berbelanja melebihi had kemampuan.Tidak kurang juga berbelanja kerana tidak mahu kalah dengan orang lain.

Bagaimanapun, jika kita bijak berbelanja tentu beban kos sara hidup dapat dikurangkan. Adakah kita pembeli yang bijak?
Beberapa panduan boleh diikuti jika kita ingin mengatasi cabaran kenaikan harga barang.

Tidak perlulah terlalu terburu-buru membeli sesuatu yang diinginkan atau diperlukan. Jika anda pembeli yang bijak cuba bersabar. Berhati-hati memilih barang yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Boleh pergi beberapa buah kedai yang menjual produk yang sama dan barulah membuat keputusan yang terbaik.

Bandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Ada banyak pilihan barang di kedai yang berlainan tetapi menjual produk yang sama. Lebih beruntung jika ada kedai yang membuat jualan murah. Kenapa hendak membeli harga yang mahal sedangkan ada yang lebih murah? Cuba melihat promosi, diskaun dan baucer yang diberikan jika menggunakan kad debit atau kad ahli. Anda dapat jimat wang anda sebaik mungkin.


(FOTO HIASAN/BERNAMA)

Kualiti seiring dengan harga. Sebagai pembeli yang bijak, kita perlu berhati-hati jika membeli secara dalam talian di pelbagai platform. Ada yang menjual produk hanya indah khabar dari rupa. Jika melihat melaluo foto di laman web, kita mudah terpedaya dengan kesempurnaan produk.

Apabila barang diterima, alangkah geram dan ruginya, barang tidak sama kualiti seperti yang dibayangkan. Tidak perlu terlalu teruja melihat harga barang yang murah semata-mata. Baca terlebih dahulu ulasan pengguna yang sudah membeli produk tersebut sebelum meneruskan pembelian.

Sebagai pembeli yang bijak kuasa membeli ada pada kita. Kita yang dapat mengawal sama ada hendak membeli atau tidak. Jadilah pembeli yang sentiasa memilih dengan membandingkan harga bukan hanya memikirkan apa yang diinginkan. Tetapi membeli dengan harga yang berpatutan.

Sebagai contoh, kita hendak membeli sayur untuk dimasak. Sayur kacang berharga RM11 sekilogram. Sayur taugeh hanya berharga RM5. Kita boleh memilih untuk membeli taugeh kerana harganya jauh lebih murah. Tetapi tetap mendapat khasiat daripada sayuran itu.

Isu kenaikan harga minyak pernah menjadi fenomena panik pada suatu masa dahulu. Ramai orang berpusu-pusu ke kedai membeli minyak kerana bimbang harganya semakin meningkat. Akibatnya, minyak terputus bekalan. Lalu, penjual mengambil kesempatan menaikkan lagi harga minyak.

Pembeli tidak seharusnya berasa panik jika berlaku kenaikan harga. Kita boleh cuba mengubah cara masakan seharian. Kurangkan minyak dalam masakan. Atau cuba memasak dengan cara yang lebih sihat seperti merebus dan membakar. Jika minyak tidak menjadi keperluan yang mendesak, sudah tentu harga akan kembali turun.

Membelilah dengan bijak. Agar kenaikan harga barang sentiasa terkawal. Kita tidak boleh menyalahkan penjual semata-mata. Mereka menyediakan produk berdasarkan permintaan pengguna. Bergantung kepada kita untuk mengubah cara kita berbelanja. Belilah jika kita benar-benar memerlukan bukan kerana kita inginkan.

PENULIS DR. NORMARINI NORZAN, Penyelaras Kluster Bahasa Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI) UPSI.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu