fb fb fb fb fb

Ramadan bulan penuh keberkatan, gandakan amalan

Para jemaah mendirikan solat sunat tarawih pertama, Ramadan 1445H ketika tinjauan di Masjid Muhammadi di Ibu negara/Foto hiasan Bernama

SAUDARA PENGARANG

Kedatangan bulan Ramadan sangat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Ucapan tahmid dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT apabila pada tahun ini, masih diberikan ruang dan kesempatan untuk berada dalam bulan mulia ini.

Ruang dan kesempatan ini adalah peluang yang sangat penting kepada semua hamba Allah untuk melipat gandakan ibadah bagi meraih sebanyak mungkin pahala yang dijanjikan pada bulan ini.

Kita selalu mengungkapkan ‘Ramadan al-Mubarak’ atau Ramadan yang diberkati. Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan itu? Sebelum kita jelaskan maksud ungkapan itu, kalimah yang perlu difahami lebih awal adalah maksud ‘berkat’ atau barakah dalam bahasa Arab yang dinisbahkan kepada bulan Ramadan.

Al-Raghib al-Isfahani ketika menjelaskan maksud ‘berkat’ (barakah) mendefinisikan berkara sebagai tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu (perkara)’. Penjelasan beliau ini disertakan dengan contoh pemahamannya dalam ayat al-Quran, surah al-A`raf ayat 96 yang bermaksud:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”

Beliau menyatakan bahawa dinamakan dengan berkat demikian kerana kebaikan di dalam negeri terus kekal, seperti kekalnya air di dalam kolam. Hal sama juga disebutkan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang menyatakan bahawa berkat secara hakikatnya adalah sesuatu yang konsistensi (tetapnya), berterusan (tidak terputus), dan stabil (iaitu sama seperti sebelumnya tanpa kurang).

Jadi, apabila kalimah berkat digabungkan dengan nama bulan Ramadan dan disebutkan ‘Ramadan al-Mubarak’ bermaksud bahawa segala apa yang disebutkan berkaitan dengan amalan dan kelebihan dalam bulan Ramadan adalah sesuatu perkara yang tetap (yakni tidak akan berubah), berterusan sepanjang Ramadan dan ganjaran pahala yang dijanjikan itu adalah benar tanpa berkurangan.

Hal sama kita fahami tentang maksud berkat atau keberkatan dalam penggunaan harian. Contohnya, umur yang berkat seperti ungkapan dipanjangkan umur dalam barakah Allah, atau disebutkan gaji dan pendapatan yang berkat, atau kehidupan yang diberkati dan sebagainya.

Keterangan ini menggambarkan bahawa tentang adalah sesuatu yang menunjukkan bahawa ada kelebihan dan diharapkan berterusan kelebihan itu jika dibandingkan dengan sesuatu yang tidak ada berkatnya atau dikaitkan dengan keberkatan.

Jadi, apabila dikaitkan dengan ‘berkat’ bermakna ada nilai khusus yang penting kepada kita dan nilainya adalah sangat subjektif di mana sumbernya adalah daripada Allah SWT.

Bagaimana dan kenapa bulan dinamakan sebagai bulan yang diberkati iaitu ‘Ramadan al-Mubarak’? Bagi menjawab persoalan ini ada beberapa perkara khusus yang boleh disebutkan tentang bulan Ramadan ini.

Dalam erti kata bahawa dalam bulan Ramadan ini keberkatannya adalah disebabkan ada banyak kelebihan yang dijanjikan Allah sama ada pada bulan itu sendiri atau kepada orang yang melaksanakan tuntutan kewajipan berpuasa pada bulan ini.

Pertama yang boleh disebutkan adalah tentang janji pencapaian nilai ketaqwaan di sisi Allah SWT bagi orang yang melaksakan kewajipan ibadah puasa. Setiap orang Islam yang beriman, pasti akan mendapat kelebihan ini jika dia benar-benar berpuasa.

Di samping mendapat keampunan daripada Allah SWT. Perkara ini dijanjikan oleh Allah SWT seperti yang disebutkan dalam ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Demikian juga daripada hadith riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (HR al-Bukhari, no.38 dan Muslim, no.760).

Dengan rahmat peningkatan nilai ketaqwaan dan keampunan dosa daripada amalan puasa ini adalah merupakan suatu barakah daripada Allah SWT.

Bahkan tentang bulan Ramadan itu sendiri, disebutkan oleh Allah SWT bahawa dalam bulan ini diturunkan al-Quran seperti dijelaskan dalam ayat 185 surah al-Baqarah. Kita semua sedia maklum bahawa al-Quran adalah petunjuk kepada kehidupan manusia.

Tanpa al-Quran, manusia tidak dapat meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Dengan al-Quran dan tunjuk ajar daripada Nabi SAW yang menjelaskan isi kandungan al-Quran menjadikan manusia dapat menjalani kehidupan dengan baik dan selamat. Jadi, penurunan al-Quran tersebut adalah barakah terbesar kepada umat Islam.

Kemudian, dalam bulan Ramadan, Allah SWT turut menjanjikan kelebihan pada secara ‘unlimited’ kepada orang yang berpuasa. Bukan lagi dengan kadar gandaan antara 10 hingga 70 kali ganda seperti amalan lain.

Dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu dari Nabi SAW bersabda: "Semua amalan Bani Adam adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku (Allah), dan Aku lah yang membalasnya.” (HR al-Bukhari, no.5472).

Bahkan, bagi amal ibadah yang lain turut digandakan yang menggambarkan kemurahan Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beramal dalam bulan Ramadan ini. Kemurahan pahala ini turut menggambarkan barakah Allah SWT kepada hambaNya.

Seterusnya, dalam bulan Ramadan terdapat satu malam apabila dapat menghidupkan pada malam tersebut adalah lebih baik daripada 1000 bulan beramal pada malam-malam yang lain. Ini janji Allah SWT seperti disebutkan pada ayat 3 surah al-Qadr yang bermaksud:

“Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Peluang ini datang setiap tahun dan hanya sekali kesempatan sahaja bagi setiap umat Islam. Tiada sebarang halangan daripada Allah SWT untuk hambaNya berusaha untuk mendapatkan malam tersebut kecuali halangan itu adalah dirinya sendiri.

Dalam pada itu, terdapat juga keberkatan khusus dalam pelaksanaan ibadah puasa iaitu melalui amalan bersahur. Bersahur adalah satu anjuran yang sangat digalakkan sekalipun hanya dengan sebiji tamar atau segelas air kosong.

Bahkan, bersahur adalah merupakan amalan yang membezakan puasa umat Nabi SAW dengan umat Nabi terdahulu atau amalan puasa orang bukan Islam. Jadi, ia adalah satu keistimewaan khusus yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat baginda SAW.

Dalam hadith disebutkan daripada riwayat Anas bin Malik RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan." (HR al-Bukhari, no.1923 dan Muslim, no.1095).

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam Fath al-Bari ketika mensyarahkan hadith ini iaitu yang dimaksudkan dengan keberkatan adalalah ganjaran dan pahala dengan makna perbuatan bersahur atau keberkatan.

Demikian juga kelebihan kepada orang yang berpuasa dijelaskan daripada mafhum hadith iaitu bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik daripada haruman kasturi dan bagi orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa bertemu dengan Allah SWT. (HR al-Bukhari, no.1904 dan Muslim, no.1151).

Dengan maksud bahawa orang yang berpuasa mendapat kegembiraan semasa di dunia dan juga di akhirat. Ini adalah satu barakah yang besar daripada Allah SWT bagi orang yang benar-benar melaksanakan perintah dan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan ini.

Akhir sekali, ada juga satu amalan khusus yang tidak dapat dilaksanakan kecuali hanya pada bulan Ramadan sahaja. Ia dinamakan sebagai solat tarawih. Solat sunat tarawih ini, sangat dituntut untuk kita lakukan sepanjang bulan Ramadan sebagai usaha qiyam atau menghidupkan aktiviti ibadah pada sebelah malam.

Jika kita rajin beribadah solat, dan mahu melaksanakan solat tarawih di luar bulan Ramadan, maka ia bukan merupakan solat yang boleh dilakukan. Tidak seperti solat sunat lain yang diberikan ruang sepanjang tahun mengikut waktu dan jenis solat sunat itu.

Jadi, amalan solat tarawih ini seperti satu anugerah satu ibadah khusus kepada orang Islam khas untuk dilaksanakan pada bulan Ramadan sahaja, tidak pada bulan-bulan yang lain. Sangat rugi kepada sesiapa sahaja yang meninggalkan amalan solat ini kerana keistimewaannya hanya ada pada bulan Ramadan sahaja.

Daripada contoh yang disebutkan menunjukkan bahawa keberkatan bulan Ramadan ini adalah dengan banyak dan pelbagainya amalan dan kelebihan yang dijanjikan.

Kelebihan itu terletak pada bulan itu sendiri, kelebihan kepada orang yang melaksanakan puasa pada bulan ini, kelebihan dengan adanya pelbagai bentuk ibadah khusus yang disediakan pada bulan ini di samping pelbagai saranan dan tuntutan yang amat digalakkan untuk dilaksanakan pada bulan ini.

Segala kelebihan itu adalah merupakan limpahan barakah daripada Allah SWT kepada umat baginda SAW untuk mendapatkanya pada bulan Ramadan sahaja.

Jadi, bulan Ramadan adalah umpama sebuah kolam dalam yang dipenuhi dengan ikan dan kolam itu dibuka kepada pemancing pada waktu yang khusus untuk menangkap ikan. Kita sebagai seorang pemancing, adakah cukup dengan membawa sebatang joran sahaja untuk pergi menangkap ikan dalam kolam itu?

Sedangkan telah maklum bahawa kolamnya dalam, ikannya banyak, dan tempoh untuk dibenarkan untuk memancing atau menangkap ikan itu adalah terhadap waktunya. Sebagai seorang pemancing yang bijak, kita akan memikirkan banyak jalan untuk menangkap ikan dan tidak bergantung kepada satu cara sahaja.

Kita mungkin akan membawa beberapa batang joran, alatan pancing berbeza, ada umpan yang baik dan mencukupi, dan alatan lain yang diperlukan agar dapat memaksimumkan proses menangkap ikan pada waktu tersebut. Bahkan, sanggup menggunakan jala atau pukat jika dibenarkan.

Justeru, jadilah kita seperti pemancing yang bijak itu ketika mahu memancing dan menangkap ikan pada bulan Ramadan ini. Jangan hanya tertumpu pada sebatang joran sahaja apabila berada dalam bulan ini kerana tawaran ibadah yang disediakan oleh Allah SWT dan disarankan oleh Nabi SAW itu sangat banyak.

Tidak sepatutnya kita mensia-sia bulan Ramadan dan kelebihan yang ada pada bulan ini dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sedangkan kesempatan yang diberikan itu hanya dalam tempoh sebulan sahaja.

Marilah kita mempelbagaikan strategi dalam meraikan bulan ini dengan menjadikannya sebagai bulan pesta ibadah. Solat yang wajib dijaga dengan senantiasa dilakukan secara berjemaah dan disulami dengan solat rawatib.

Kemudian, mengambil kesempatan untuk membaca al-Quran dan juga bertadarus al-Quran dan melaksanakan solat tarawih di surau atau masjid. Ada juga zikir khusus dilakukan pada setiap hari sama ada pagi atau petang.

Kita juga turut menghulurkan bantuan untuk membantu orang lain atau memberi makan orang yang berpuasa atau dengan membantu orang fakir dan miskin. Kesempatan yang ada juga kita gunakan untuk menambahkan ilmu pengetahuan tentang agama sama ada melalui guru atau melalui medium dalam talian. Apa yang penting adalah bagaimana kita memaksimakan ruang masa setiap hari dalam bulan Ramadan bagi menjana pahala yang sewajarnya.

Sudah pasti kita akan rasa sedih, dukacita dan rugi apabila kesempatan yang diberikan untuk meraih sebanyak mungkin pahala dan keberkatan melalui pelbagai amalan yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan sewajarnya.

Mohon kepada Allah SWT agar kita menjadi seorang hamba-Nya yang dapat menggunakan semua peluang diberikan itu dengan baik agar pada penghujung Ramadan kita menjadi orang yang bertaqwa di samping meraih nilai keberkatan sebenar sepanjang berada di bulan Ramadan.

Selamat berpuasa dan berpesta ibadah dalam bulan Ramadan al-Mubarak.

PENULIS PROF. MADYA DR. KHADHER AHMAD, Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI