SAUDARA PENGARANG
Dalam era kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran adalah satu lumrah, apa yang pasti, kita tidak boleh terus sentiasa menolak arus perubahan. Mahasiswa kini mempunyai pandangan berlainan terhadap pengalaman pengajian tinggi yang ingin dijalani dan nilai-nilai yang dimahukan adalah berlainan.
Zaman di mana pengajian satu hala dijalankan telah lama berlalu, teraruh kepada pengajian yang lebih kolaboratif dan interaktif.
Para mahasiswa masa kini dan akan datang adalah generasi yang telah berjaya melalui pandemik global, dan merupakan generasi yang sentiasa dibayangi cabaran perubahan iklim dan turun naik ekonomi.
Di samping itu, generasi sekarang juga adalah yang paling terdedah kepada ketidaktentuan pasaran pekerjaan dan peralihan ke ekonomi gig. Dalam keributan ini, pengajian sains semakin terhimpit dan hilang daripada tumpuan bakal mahasiswa sebagai pilihan pertama.
Pandemik telah merobohkan benteng kesukaran untuk berubah dalam kalangan warga universiti dengan normalisasi revolusi pendidikan dalam talian serta merubah persepsi kolot berkenaan pengalaman pengajian di menara gading.
Di rantau ini juga, transformasi sains giat berlaku. Ia telah menjadi hab bakat dan inovasi dalam bidang sains, teknologi dan penyelidikan.
Negara-negara Asia telah mula menyedari bagaimana sains, penyelidikan dan inovasi dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan meningkatkan pelaburan bagi membina ekosistem tersebut.
China, India, Malaysia, Jepun, Singapura dan Korea Selatan adalah antara negara yang bukan sahaja menarik bakat global, malah turut menggilap bakat sains tempatan dalam bidang termaju seperti kepintaran buatan, bioteknologi, sains bahan, bioperubatan, pertanian dan tenaga boleh baharu.
Tambahan pula, peranan Asia sebagai pemain aktif dalam hubungan antarabangsa melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) meransang inisiatif pertukaran ilmu pengetahuan dalam kalangan negara-negara anggota.
Perkongsian maklumat, sumber, data dan kepakaran memudahkan negara anggota menjalankan kerjasama dalam menangani masalah serantau seperti penurunan kualiti udara, lambakan plastik sekali guna dan perubahan iklim.
Seperti mana yang pernah dikupas oleh Jeneral Bersara George William Casey Jr. yang kini pensyarah kanan ulung dalam bidang kepimpinan di Universiti Cornell Amerika Syarikat melalui siri kuliahnya, situasi ketidaktentuan global sering menjadikan kita keliru dan berdiam diri tidak melakukan apa-apa tindakan.
Dalam situasi seperti ini, senario semasa terlalu sukar difahami dan menjadikan perancangan jelas ke hadapan tidak dapat dilakukan. Untuk berjaya, tindakan yang berkesan perlulah dilaksanakan.
Negara seperti India membawa semangat ini dengan bercita-cita tinggi memulakan penerokaan angkasa kos rendah untuk membantu negara mereka mengatasi masalah pengurusan bencana, ramalan cuaca dan pendidikan luar bandar.
China pula, walaupun sering dikritik sebagai penyumbang terbesar gas karbon dioksida dunia, mengorak langkah signifikan dalam sektor tenaga boleh baharu terutamanya tenaga solar dan bayu.
Sarjana Hamka pula pernah menyebut bahawa masa depan sesebuah negara dapat dilihat melalui sikap golongan pemudanya dan apakah menara ilmunya masih terpelihara. Adalah amat merugikan jika mahasiswa yang dilahirkan hanya sesuai menjadi golongan pekerja dambaaan industri tanpa adab, akhlak dan ketinggian akal budi.
Untuk memastikan keseimbangan ini, Malaysia haruslah bijak dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi, terus-menerus mengemis ilmu berlandaskan ideologi barat. Bagaimanakah sains dapat membantu membangunkan masyarakat Madani?
Persoalan ini haruslah dijawab kita semua dengan usaha merakyatkan sains dan memastikan ilmu sains bukan hanya sekadar terperangkap di makalah, malah didedahkan kepada masyarakat melalui perkaitan mudah dengan kehidupan seharian.
Sudah tiba masanya kita memahami sains untuk menjelas sekecil-kecil fenomena seperti kain jemuran yang disidai kering kerana air yang dikandung telah pun tersejat, pemindahan daya ketika mengibarkan Jalur Gemilang dan yang pastinya di mutakhir ini, pencerapan peredaran bulan untuk penentuan permulaan puasa dan di hari raya nanti.
PENULIS PROF. MADYA TS. DR. ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES, Profesor Madya Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.