SAUDARA PENGARANG
Persekitaran yang baik dalam sesebuah organisasi merupakan ciri dalam membentuk budaya kerja cemerlang. Ia mungkin dilihat dari pelbagai sudut seperti kelengkapan dan kecanggihan fasiliti, kemudahan dinikmati pekerja, imbuhan tahunan atau perayaan utama dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun tanpa Persekitaran Insani ia masih belum dapat menjamin kepuasan dalaman; melibatkan hubungan majikan dan pekerja mahupun pemimpin dan golongan pekerja yang dipimpin.
Begitu juga hubungan di antara pekerja dan pekerja lain. Tanpa persekitaran insani di antara pemimpin dan pekerja mahupun pekerja dan pekerja, berkemungkinan pekerja berasa tertekan, tidak bermotivasi, menyendiri, kemungkinan wujud silent protest dalam kalangan pekerja dan pelbagai perilaku negatif lain. Perkara itu, sudah pasti memberi kesan kepada kecemerlangan organisasi.
Justeru itu apakah yang dimaksudkan dengan Persekitaran Insani? Persekitaran Insani dalam erti kata realiti bermaksud:-
- Persekitaran yang menegakkan keadilan dan berkebajikan
- Bersikap profesional dan objektif
- Mengamalkan sifat saling hormat menghormati di antara muda dan tua, tidak kira berpangkat ataupun tidak,
- Berakhlak dan beradab dalam berurusan
- Tidak meninggi diri dan ego atau angkuh
- Tidak berhasad dengki
- Memimpin dengan ketegasan dalam kelembutan
- Membentuk budaya adabul ikhtilaf (budaya dan adab dalam perbezaan pendapat)
- Mementingkan budaya syura dalam menentukan sesuatu keputusan dan tidak bersikap diktator.
- Membuka ruang dan peluang komunikasi yang luas
- Mengamalkan budaya bersetuju untuk tidak bersetuju
- Memimpin melalui teladan, cakap buat,
- Mengamalkan budaya bermuhasabah dan lain-lain.
Maksud-maksud di atas ini adalah di antara realiti maksud Persekitaran Insani yang harus menjadi dasar utama dalam membentuk budaya kerja cemerlang sama ada dalam kalangan pemimpin mahupun pekerja dipimpin.
Maka, bagaimana Persekitaran Insani ini dapat dilaksanakan? Adakah hanya berserah saja kepada yang Maha Agung untuk menentukan atau mengubahnya? Atau mengambil tidak kisah atas kepincangan kepimpinan mahupun pekerja bawahan yang berlaku di sekeliling kita?
Jika ini berada dalam minda dan pemikiran kita, maka kitalah yang sebenarnya tidak bersikap insani dan mungkin juga akan menjebakkan kita ke arah persekitaran yang tidak secara Islam.
Pada hakikatnya Persekitaran Insani ini harus dipupuk, dibudayakan dan seterusnya diamalkan oleh semua, sama ada majikan, pemimpin, mahupun orang yang dipimpin.
Dalam tulisan ini penulis akan cuba mengulas mengenai pentingnya budaya kualiti dalam menentukan kepimpinan yang berciri insani. Ini adalah kerana pemimpin yang mempunyai kualiti insani yang tinggi mampu menjana Persekitaran Insani dalam sesebuah organisasi, seterusnya dapat membentuk persekitaran Islam mahupun persekitaran berkebajikan.
Allah SWT telah berfirman:“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu..” Surah Ali-‘Imran(3:159)
Dalam membincangkan aspek kepimpinan Islam terdapat banyak perkara yang perlu difahami dan amat mustahil untuk penulis menghuraikan semua dalam tulisan ringkas ini.
Bagaimanapun dalam tulisan ini penulis hanya menyentuh konsep adil dan menunaikan hak yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin dalam membentuk Persekitaran Insani.
ADIL
Allah S.W.T telah menasihati Nabi Daud bagaimana untuk memimpin sebagaimana firman-Nya dalam Al-Qur’an Surah Shaad ayat 26 yang bermaksud:“Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah(penguasa) di muka bumi, maka berikanlah keputusan(perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikut hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan”
Allah S.W.T juga telah berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W berkaitan Ahl Kitab di dalam Surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: “Jika mereka(orang yahudi) datang kepadamu(untuk meminta putusan) maka putuskanlah(perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka... dan jika kamu memutuskan perkara mereka maka putuskanlah(perkara itu) di antara mereka dengan adil sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil”
Di dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimannya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil...”
Dalam dalil-dalil yang dipaparkan di atas ternyata konsep keadilan itu amat dititikberatkan oleh Allah S.W.T terutama kepada pemimpin. Maka apakah yang dimaksudkan dengan adil.
Hashim Kamali mendefinisikan keadilan sebagai:- “...placing something in its rightful place, the place where it belongs. It signifies a sense of moral rectitute in that things should be where they ought to be.”
Di mana asas keadilan itu adalah konsep Ilahiah(ketuhanan), berakar dalam moraliti dan harus dibimbing oleh wahyu Allah S.W.T. Maka pelaksanaan keadilan ini tidak mengira pangkat atau darjat, pemimpin atau orang yang dipimpin, kerabat atau rakan terdekat. Rasulullah S.A.W telah menunjukkan contoh dalam hal ini.
Baginda bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ibn Majah: “Demi Allah seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, Muhammad pasti memotong tangannya. Orang sebelum kamu hancur kerana apabila orang mulia dari kalangan mereka mencuri, mereka biarkan dan apabila orang yang berkedudukan rendah dari kalangan mereka mencuri mereka hukum”
Al-Maududi memperlihatkan satu peristiwa semasa pemerintahan ‘Umar al-Khattab. Ketika mana anak kepada Gabenor Mesir iaitu Amru bin al-‘As memukul seorang rakyat Mesir dengan sewenang-wenangnya dan perkara tersebut sampai kepengetahuan ‘Umar.
Lalu ‘Umar memanggil Amru al-‘As dan anaknya dan menyuruh orang Mesir itu memukul kembali anak Amru(Hukuman Qisas:Pukul balas Pukul seperti dalam Surah Al-Maidah ayat 45). Amru juga dipukul atas alasan anak Amru memukul orang Mesir itu disebabkan rasa bangga dengan kedudukan bapanya sebagai Gabenor Mesir.
Maka, dalam organisasi juga sifat keadilan itu wajib ditegakkan tidak kiralah siapa, pemimpin atau pekerja, Muslim atau bukan Muslim, jika didapati bersalah dengan bukti-bukti yang cukup maka adililah mereka.
Jangan pula orang yang menjadi saksi kepada kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin ditakutkan dan sebagainya. Ataupun belum lagi dibuktikan bersalah, awal-awal lagi telah dihukum bersalah, kerana mereka orang biasa atau orang bawahan dan tidak berkuasa.
Ataupun mungkin ada golongan yang melanggar peraturan, tidak menjalankan kerja, ponteng dan sebagainya tetapi masih lagi tidak diambil tindakan sewajarnya. Tambahan lagi dengan keadaan itu telah pula menyusahkan orang lain yang berurusan denganya. Ia adalah satu kezaliman.
Aspek kedua adalah berkaitan pengagihan hak dan tanggungjawab, beban dan habuan dalam kalangan orang yang dipimpin (contoh melantik pemimpin, memberi sebarang anugerah, pangkat kepada bukan yang layak atau yang berhak menerimanya).
Sedangkan pada ketika itu ada lagi yang lebih layak secara merit untuk menerimanya. Mungkin kerana orang itu bukan kumpulannya, bukan pilihan tambahan bersuara lantang(out spoken) atau wujud pula gelaran-gelaran negatif kepada seseorang ataupun kumpulan tertentu seperti “orang ini radikal” dan “orang ini antiestablishment” dan “orang ini golongan kiri” dan sebagainya.
HAK
Satu perkara yang harus kita ketahui, dalam membicara persoalan keadilan, ia tidak dapat lari dari persoalan hak. Kurshid Ahmad telah menyatakan bahawa hak manusia dalam Islam bukan sahaja berbentuk satu konsep malah ia adalah satu hukum.
Paling tepat adalah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Ia juga berkaitan dengan persoalan akidah serta dosa dan pahala serta hari akhirat dan pembalasan. Dalam Encyclopedia of Islam turut menghuraikan bahawa hak dalam Islam tidak akan terlepas dari aspek keadilan dan kebajikan.
Dalam kitab al-Islam huquq al-ihsan karangan Mohd Imarah menyatakan bahawa hak di dalam Islam adalah satu kewajipan dan berdosa bagi sesiapa yang mencabulinya, sama ada diperingkat individu, masyarakat mahupun pemerintah.
Penulis ingin membawa pembaca kepada contoh yang setempat sifatnya bagi yang bekerja di mana-mana organisasi iaitu berkaitan petunjuk prestasi utama atau Key Performence Indicator (KPI).
Awal tahun pekerja digalakkan berbincang dengan ketua untuk menentukan perancangan dan apakah yang hendak dicapai sepanjang tahun kewangan. Pada akhir tahun pekerja akan mengemukakan bukti-bukti dengan sejujurnya kepada ketua untuk memuktamadkan prestasi dengan berasaskan kepada perbincangan.
Ini adil dan sangat objektif sifatnya. Tetapi dalam kes-kes tertentu ada juga KPI yang ditentukan sejak awal lagi telah melangggar konsep keadilan kerana indikator yang ditetapkan tidak langsung boleh dicapai oleh pekerja bawahan. Ini pada hakikatnya suatu ketidakadilan bahkan suatu kezaliman.
Kadangkala ada juga diperingkat kepimpinan tidak langsung mendalami aspek insani dengan melontarkan pertanyaan sinis yang tidak beradab kepada pekerja bawahannya seperti “are you handicap?”, hanya kerana pekerja tidak mampu mencapai kompetensi tertentu.
Tindakan sebegini pada pengamatan penulis sesuatu yang amat meyedihkan jika berlaku di dalam mana-mana organisasi. Jika hal-hal ini berlaku maka sukarlah untuk membentuk persekitaran yang insani, berkebajikan apatah lagi persekitaran Islam.
Maka keadaan seperti ini memerlukan perubahan ke arah yang lebih adil kerana ia adalah satu taklif (tanggungjawab) di mana hukumnya wajib diberi keutamaan untuk dilaksanakan kerana ia adalah satu perintah Allah S.W.T.
Jelaslah bahawa konsep adil dan menunaikan hak itu adalah satu amanah Allah dan wajib ditegakkan dengan tegas dan tiada kompromi, tanpa tawar menawar, tanpa pilih bulu, tanpa pilih kasih walaupun kerabat dan diri sendiri sekalipun serta kawan sekerja.
Sebagai seorang Muslim yang beriman dengan kalimah Allah S.W.T kita hendaklah mendaulatkan prinsip keadilan ini tanpa ragu-ragu dan janganlah kita sekali-kali tunduk kepada sebarang tekanan atau sebarang kepentingan.
Keadilan Islam adalah untuk semua, musuh, kawan dan lawan, kerabat, jauh dan dekat, berpangkat ataupun tidak, yang disenangi ataupun yang dibenci, sama ada Muslim dan bukan Muslim. Dalam hal ini Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Nisa’ ayat 135 yang bermaksud: “Wahai-orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibumu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan(kata-kata) atau engggan menjadi saksi, maka sesunggguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan”
Maka sudah jelas untuk berlaku adil dan menunaikan hak kepada sesiapa yang berhak menerimanya adalah wajib hukumnya. Sesiapa yang menidakkan hak atau mencabulinya dengan sengaja maka mereka telah berlaku zalim kepada orang lain dan melanggar hukum Allah S.W.T. Justeru, tegakkanlah keadilan dan tunaikanlah hak sewajarnya kerana ia akan dapat meningkatkan juga kebajikan.
Penulis yakin dan percaya jika aspek keadilan dan hak ini dititikberatkan oleh seluruh pemimpin di pelbagai lapisan, pasti dapat melahirkan pekerja, komuniti mahupun masyarakat yang berciri insani dan seterusnya membentuk pula persekitaran insani dan juga persekitaran berkebajikan malah akan menggerakkan kita kepada persekitaran yang Islam.
PENULIS DR. KHAIRULNIZAM BIN MAT KARIM, Timbalan Dekan Akademik & Penyelidikan Kolej Pendidikan Berterusan(CCEd), UNITEN. Boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.