SAUDARA PENGARANG
Permohonan memasuki universiti awam melalui sistem UPU baharu sahaja dibuka. Remaja lepasan SPM dan juga STPM sedang meneliti program-program pengajian yang ditawarkan oleh universiti untuk mereka melanjutkan pengajian keperingkat lebih tinggi. Tentu sahaja pilihan yang dibuat mengambil kira minat dan kecenderungan masing-masing.
Bidang pengajian tinggi sekarang lebih terbuka, dengan akses kepada kursus dalam talian yang ditawarkan oleh universiti dalam dan luar negara melalui pelantar antarabangsa seperti FutureLearn, Edx dan Coursera. Sebahagian daripada kursus dalam talian yang ditawarkan ini, merupakan sebahagian daripada program pengajian sedia ada di universiti.
Kursus-kursus ini kadang kala ditawarkan sebagai microcredential, yang mempunyai nilai kredit yang bersamaan dengan kredit pengajian konvensional sekiranya diambil secara bersemuka di universiti, oleh kerana mempunyai komponen pengajian yang lengkap dengan hasil pembelajaran, isi kandungan yang komprehensif, serta penilaian yang mengukur pencapaian hasil pembelajaran.
Universiti Malaya (UM) sendiri, sejak 2016 telah menawarkan kursus dalam talian melalui pelantar https://www.futurelearn.com/partners/universiti-malaya dan sehingga artikel ini di tulis, menawarkan melebihi 40 kursus dalam talian; terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang.
Sebenarnya sejak tahun 2017, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membenarkan sehingga 30% daripada keperluan kredit untuk pengijazahan diambil secara kursus dalam talian dan dibuat secara pindahan kredit oleh pelajar universiti setelah memenuhi syarat tertentu.
Pelajar lepasan SPM dan STPM kini boleh memulakan pengajian universiti mereka dalam bidang pilihan tanpa menunggu panggilan atau pendaftaran sebagai pelajar mana-mana universiti atau institut pengajian tinggi lain.
Menerusi cara ini, mereka dapat mencapai dua matlamat penting. Pertama, meringankan beban pengajian, apabila hanya perlu melengkapkan baki jumlah 70% kredit pengijazahan dengan kursus yang perlu diambil secara bersemuka pada keseluruhan tempoh pengajian.
Kedua, kemungkinan untuk memendekkan tempoh pengajian, oleh kerana telah menyelesaikan sehingga 30% daripada keperluan kredit untuk pengijazahan secara pembelajaran kendiri.
Situasi pembelajaran dalam talian
Bagi memudahkan kefahaman, mari kita buat andaian berdasarkan situasi seorang pelajar lepasan STPM bernama Balqis yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Malaya dalam bidang Sains Aktuari.
Balqis boleh menyemak dan meneliti struktur kurikulum Sains Aktuari dari laman sesawang UM dan mendapatkan senarai kursus bagi program tersebut, sebagai persediaan untuk mengenal pasti kursus yang bakal di pelajari apabila beliau mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa pada semester satu akan datang.
Beliau boleh membandingkan senarai kursus ini, dengan mana-mana kursus dalam talian yang berkaitan, samada ianya ditawarkan oleh UM atau universiti lain dari dalam dan luar negara.
Mengambil kira pernyataan Hasil Pembelajaran Kursus (CLO) yang berpadanan dengan kursus ditawarkan UM, Balqis boleh belajar secara kursus dalam talian sementara menunggu tawaran panggilan masuk ke universiti, bagi membolehkan beliau mendapatkan sijil microcredential yang mengiktiraf bahawa beliau telah mencapai CLO berkaitan.
Berbekalkan sijil microcredential daripada kursus atau gabungan kursus dalam talian ini, Balqis berpotensi memohon pindahan kredit daripada UM untuk mana-mana kursus berkaitan. Setelah diterima masuk ke UM, Balqis perlu membuat permohonan pindah kredit bagi kursus yang beliau telah lengkapkan.
Proses pemindahan kredit
Apabila menerima permohonan daripada Balqis, UM akan memulakan satu proses pindahan kredit melibatkan pengesahan bahawa sijil microcredential Balqis tersebut adalah tulen, serta mempunyai kuasa untuk mengesahkan bahawa keseluruhan CLO yang perlu dicapai dapat dibuktikan dengan melihat kepada pencapaian penilaian dari platform tersebut.
Selain itu, UM juga boleh mengadakan penilaian khas kepada Balqis untuk beliau menunjukkan pencapaian CLO kepada kursus yang hendak dipindah kredit. Sekiranya berjaya, kredit daripada sijil microcredential akan direkodkan sebagai sebahagian daripada pencapaian kredit untuk Balqis bergraduat dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari Universiti Malaya.
Pelajar yang sedang menjalani program pengajian di universiti juga berpeluang untuk belajar secara dalam talian mengikut masa mereka sendiri, dan memohon pindahan kredit kepada mana-mana kursus yang belum diambil secara konvensional.
Peluang seperti ini telah tersedia dan diterima oleh sektor pendidikan tinggi dalam negara perlu dimanfaatkan secara maksimum oleh para remaja lepasan SPM dan STPM yang merupakan generasi Gen-Z yang menghuni dunia; dilihat sebagai VUCA atau tidak stabil-volatile, tidak pasti-uncertain, rumit-complex, dan kabur-ambiguous.
Potensi microcredential pada masa hadapan
Microcredential merupakan trend jangka panjang yang dilihat oleh ramai pakar sebagai masa depan sektor pendidikan. Ianya mendokong budaya pendidikan sepanjang hayat dan semakin mendapat tempat dikalangan majikan sebagai model pendidikan 'just in time' untuk kemahiran khusus yang mereka perlukan bagi menghadapi cabaran dunia perniagaan yang sentiasa berubah.
Oleh itu tidak hairan didapati, syarikat gergasi teknologi seperti Microsoft dan Google, masing-masing menawarkan kursus dalam talian mereka sendiri, dengan sijil berbentuk digital badge dan microcredential dalam bidang keperluan IT seperti perkomputeran awan, sekuriti siber, kecerdasan buatan (AI), sains data dan lain-lain. Manakala, LinkedIn yang merupakan pelantar perniagaan dan juga professional, menawarkan kursus dalam talian merangkumi kemahiran perniagaan, kreatif dan juga perisian.
Mereka yang ingin mendapatkan perkerjaan yang lebih baik, ataupun merunding kenaikan pangkat serta gaji, telah mula menggunakan kelayakan microcredential sebagai sandaran bagi membuktikan kemahiran yang mereka miliki, bagi menambah keyakinan dan juga kepercayaan kepada majikan.
Kesimpulan
Sebagai rumusan, kursus dalam talian secara microcredential adalah model pendidikan masa hadapan yang sedang merubah lanskap pendidikan tinggi dan juga alam pekerjaan. Peluang telah tersedia bagi pelajar lepasan SPM dan STPM bagi memulakan pembelajaran pendidikan tinggi secara dalam talian dari universiti dan profesor ternama dunia, dan memindahkan pula kredit pengajian tersebut bagi mendapatkan ijazah mereka.
Semua pihak, tidak kira pelajar yang masih bersekolah, lepasan SPM dan STPM, suri rumah tangga, pekerja professional, mahupun pesara, mempunyai peluang memperoleh kemahiran baharu mahupun mengesahkan kemahiran sedia ada, dengan, mengambil kesempatan daripada penawaran kursus dalam talian secara microcredential untuk maju dalam bidang yang diminati.
Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kini menjadi lebih terbuka dengan penawaran microcredential secara dalam talian yang ditawarkan oleh universiti dan entiti korporat dan ianya diiktiraf oleh kerajaan.
PENULIS DR. ZAHIRUDDIN FITRI ABU HASSAN, mantan Ketua eLearning, Pusat Pembangunan dan Pengayaan Akademik (ADEC), Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.