SAUDARA PENGARANG
Sambutan Aidilfitri di Malaysia selalunya berlangsung dengan meriah dengan pakaian pelbagai warna dan gaya, serta makanan tradisional dan moden yang beraneka rasa. Semasa musim perayaan juga, setiap isi rumah di Malaysia cenderung ke arah peningkatan pengambilan makanan dengan kadar gula yang tinggi.
Di kala sibuk menyambut ketibaan Syawal, ibu bapa muda Malaysia menghadapi tanggungjawab kritikal untuk menjaga kesihatan pergigian anak-anak kecil mereka.
Sambutan Hari Raya, biasanya tidak lengkap dengan makanan tradisional yang enak, dengan kandungan gula yang tinggi serta minuman berkarbonat yang menyegarkan selepas sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menanamkan dan mengekalkan tabiat pergigian yang sihat dan positif di dalam diri anak-anak sejak awal usia. Bak kata pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya'.
Mesej yang ingin disampaikan adalah “Cegah sebelum terlewat, kerana penyesalan tidak akan mengembalikan senyuman anak anda.” Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak mereka menanggung kesakitan.
Masalah sakit gigi yang akut selalunya berpunca daripada gigi berlubang yang tidak dirawat. Penyakit ini selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga ia telah terlambat. Anak anda mungkin mengalami masalah tidak boleh makan atau tidur kerana menahan kesakitan yang berpunca daripada gigi.
Statistik menunjukkan enam daripada 10 orang kanak-kanak berumur 6 tahun di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu gigi yang berlubang. Sesetengah ibu bapa hanya membawa anak mereka untuk pemeriksaan gigi apabila telah menjadi kronik dan rawatan kecemasan pergigian untuk anak kecil adalah tidak semudah yang disangkakan.
Jadilah ibu bapa muda yang proaktif dan bukan ibu bapa reaktif. Ibu bapa harus bertindak segera untuk mencegah sebarang masalah pergigian dan tidak menunggu sehingga timbulnya masalah.
Ibu bapa muda sudah tentu tidak mahu melihat anak kecil mereka menderita kesakitan, menghadapi trauma semasa menjalani rawatan pergigian dan membayar kos rawatan. Pastinya, ibu bapa mahukan senyuman manis dari anak-anak dan bukannya tersenyum ‘rongak’.
Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa muda ini menjadi proaktif dalam menguruskan kebersihan dan kesihatan gigi anak kecil.
Ibu bapa perlu proaktif dalam memastikan rutin memberus gigi secara berkala, dan bersederhana dalam pengambilan gula untuk pemakanan si kecil. Hadkan pengambilan gula untuk anak kecil anda supaya tidak melebihi tiga hidangan sehari bagi minuman atau makanan anak kecil mereka.
Jadi, mengapa ibu bapa perlu mengawal kekerapan pengambilan gula untuk anak kecil mereka?
Secara semulajadinya, bakteria akan membentuk lapisan plak di atas permukaan gigi dan air liur berfungsi untuk mengimbangi ion-ion di dalam mulut dan melindungi gigi daripada kerosakan.
Kerosakan gigi disebabkan aktiviti bakteria ‘kariogenik’ yang menghasilkan asid yang tinggi di dalam mulut apabila terdedah kepada gula dalam makanan harian.
Semakin tinggi kekerapan pengambilan makanan bergula, semakin lama gigi di dalam mulut terdedah kepada asid dan akan menyebabkan ia berlubang kerana air liur tidak dapat mengimbangi keadaaan berasid di dalam mulut.
Proses kerosakan gigi bermula dengan munculnya bintik putih pada enamel (lapisan paling luar gigi) diikuti munculnya lubang kecil (kaviti) pada gigi yang berwarna coklat, dan warnanya akan menjadi semakin gelap.
Apabila proses ini tidak terhenti, gejala ini akan menular hingga ke saraf gigi (pulpa) dan menyebabkan kesakitan gigi serta jangkitan dan nanah pada gusi.
Di saat itu anak anda akan kerap menangis, kurang makan dan terganggu tidurnya. Ini pastinya akan membuatkan emosi anak-anak ini dan ibubapa sendiri akan terganggu.
Apabila anak kecil ini mengalami kesakitan, adalah amat sukar untuk mereka bekerjasama untuk membenarkan rawatan pergigian dijalankan dengan baik, terutamanya apabila ibu bapa mengambil sikap acuh tak acuh dan hanya berjumpa doktor gigi kanak-kanak apabila terdesak.
Banyak keaadan ibu bapa cuba mendapatkan rawatan apabila keadaan sudah terlalu lewat, dan gigi anak kecil itu tidak dapat diselamatkan.
Seringkali juga rawatan tidak dapat dilakukan di kerusi pergigian tetapi berakhir di dewan bedah, menyaksikan anak kecil tersebut perlu dibius. Ingatlah tidak semua anak kecil boleh bekerjasama untuk menjalankan rawatan pergigian apatah lagi apabila berada di dalam kesakitan.
Oleh hal demikian, jadikanlah musim perayaan ini sebagai titik tolak untuk berubah, supaya dapat disambut bukan sahaja dengan kemeriahan tetapi juga dengan iltizam menjaga kesihatan pergigian dan kebahagiaan anak kecil anda.
Jangan tunggu sehingga terlambat dan menyesal. Ingatlah senyuman yang manis dengan gigi lengkap putih berseri juga adalah satu sedekah. Ia juga mencerminkan sikap prihatin dan kasih sayang ibu bapa terhadap anak kecil mereka.
PENULIS, PROF MADYA DR LILY AZURA SHOAIB, DR NOORHIDAYAH ZAINAL AALAM merupakan Pensyarah di Jabatan Pergigian dan Ortodontik Pediatrik, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.