SAUDARA PENGARANG
Setiap kali menjelang lebaran, akan timbul isu berkaitan dengan rekaan fesyen atau baju raya. Kontroversi demi kontroversi ditimbulkan untuk menarik perhatian pengguna. Para pereka fesyen mendapat ilham untuk mereka cipta dan inovasi baju Melayu dengan kreativiti di luar kotak. Misalnya rekaan jubah sado, baju Melayu super besar, baju Melayu tanpa lengan, baju Melayu lut sinar dan seumpamanya. Tujuannya tidak lain adalah untuk tular bagi mendapat publisiti hasil pemasaran dan teknik pengiklanan yang negatif.
Ibaratnya menembak burung menggunakan satu peluru tapi yang terkena adalah dua ekor burung. Di samping rekaan yang menimbulkan kontroversi terdapat koleksi lain yang baik dan sesuai dipakai. Jadi pengguna akan membeli pakaian yang sesuai dengan citarasa masing-masing.
Selain itu, dalam masyarakat Islam juga sering timbul isu tasyabbuh atau penyerupaan.Terdapat segelintir dalam kalangan umat Islam yang memanipulasikan istilah tasyabbuh sehingga menimbulkan kekeliruan dan kepanikan dalam masyarakat. Sedangkan, dalam perbincangan ulama terdapat kriteria yang terperinci melibatkan larangan penyerupaan. Umpamanya dalam isu pakaian berwarna hijau yang dikaitkan dengan penyerupaan agama pagan dan warna oren bata yang dikaitkan dengan agama Buddha.
Asasnya, pakaian merupakan identiti dan jatidiri suatu bangsa dan agama. Daripada pakaian yang dipakai, seseorang dapat dibezakan dengan bangsa yang lain, bahkan ia juga mencerminkan identiti agama yang dianuti. Jadi, berpakaian adalah tuntutan agama, lambang peradaban dan kesantunan sosial, di samping memenuhi arahan menutup aurat dan kemaluan.
Sebagai tuntutan agama, syariat Islam telah menetapkan dengan tegas panduan menutup aurat tetapi memberikan ruang yang luas kepada kepandaian dan kreativiti setempat untuk menafsirkan fesyen dan corak pakaian yang sesuai dengan persekitaran masyarakat Islam.
Hasilnya, dapat dilihat tiada sebarang pakaian yang seragam untuk menutup aurat bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Setiap kawasan peradaban Islam mempunyai fesyen berpakaian yang tersendiri yang berbeza antara satu sama lain.
Dalam surah al-A’raf, ayat 26, Allah SWT telah berfirman berkaitan dengan pakaian: "Wahai anak cucu Adam, sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutup auratmu dan perhiasan bagi kamu tetapi pakaian takwa itulah yang terbaik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah semoga mereka beringat."
Dalam surah al-Nur, ayat 31, Allah SWT berfirman berkaitan dengan menutup aurat: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menunduk pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka.”
Berdasarkan ayat tersebut, syariat hanya menekankan asas menutup aurat. Jadi peranan budaya setempat adalah mengolah pesanan wahyu tadi tentang tatacara membaluti tubuh badan dengan busana yang menutup aurat. Ia merangkumi jenis rekaan fesyen, pemilihan material, warna dan jahitan.
Selain itu, pakaian juga menunjukkan status sosial dan peradaban. Semakin tinggi peradaban manusia, semakin sopan pakaian yang dipakai. Begitu juga, pakaian juga merupakan identiti agama dan bangsa. Orang Melayu misalnya terkenal dengan baju kurung, baju cekak musang dan baju teluk belanga. Pakaian yang dipakai mempunyai falsafah tauhid yang tinggi dan keanggunan konsep jamal dan ketinggian konsep jalal.
Baju kurung dan baju teluk belanga dengan butang satu menggambarkan simbol ketauhidan tersemat rapi di leher. Baju cekak Musang dihiasi dengan lima butang menggambarkan simbol rukun Islam yang lima tersemat indah di dada. Ia bukan sahaja bertujuan menutup aurat tapi menutup kemaluan dan mengurung keburukan diri dengan nilai kesantunan yang tinggi.
Selain asas ketauhidan, pakaian yang dicipta juga menggambarkan dua dimensi utama, iaitu jamal dengan erti keindahan dan jalal dengan erti kebesaran. Dengan itu, pakaian yang direka bukan sahaja indah, cantik, kemas dan rapi, bahkan ia juga membawa si pemakai merasai kebesaran Allah SWT.
Selari dengan itu, pakaian yang dicipta dan dipakai perlu memenuhi panduan Syarak. Di antaranya adalah: Pertama, sumber bahan pakaian bukan dari benda yang najis dan diharamkan Syarak. Biasanya pengguna jarang menitikberatkan aspek bahan yang digunakan dalam pembuatan pakaian.
Ia termasuklah segi material yang digunakan sama ada alami atau sintetik, juga pewarna yang digunakan sama ada dari sumber yang halal atau haram. Dalam penghasilan material pakaian, biasanya bahan yang digunakan berasal dari tumbuhan seperti kapas dan kulit pokok, juga haiwan seperti sutera dari ulat sutera, dan kulit-kulit haiwan yang halal dan haram dimakan. Di samping itu, bahan sintetik juga banyak dimanfaatkan untuk menghasilkan fabrik dan material pakaian.
Kedua, material pakaian tidak diproses menggunakan benda yang diharamkan atau merbahaya. Material atau bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan fabrik tidak diproses dengan bahan najis atau bahan kimia yang boleh membahayakan pengguna atau bahan yang boleh menyebabkan alergi.
Ketiga, pakaian yang dipakai menutup aurat si pemakai dan sesuai dengan kesantunan sosial. Walau aurat bagi lelaki hanyalah antara pusat dan lutut, pakaian yang direka atau dipakai adalah sesuai dengan kesantunan budaya masyarakat Melayu. Bagi perempuan, pakaian itu mestilah menutup aurat dengan sempurna. Jelasnya, di samping memenuhi tuntutan menutup aurat, nilai kesantunan Melayu perlu juga diambil kira.
Keempat, pakaian yang dipakai tidak jarang atau lut sinar hingga menampakkan tubuh badan si pemakai. Jadi pemilihan fabrik yang tebal serta tidak tembus pandang penting kerana ia termasuk dalam batasan aurat dan kesantunan.
Kelima, pakaian yang dipakai tidak ketat dan sendat hingga menampakkan lekukan dan postur tubuh si pemakai. Dengan itu, pakaian yang direka dan dipakai oleh pengguna mestilah longgar kerana lekukan tubuh termasuk dalam batasan aurat dan ia boleh menimbulkan syahwat kepada sesetengah pihak.
Keenam, pakaian yang dipakai bukan kategori syuhrah atau kemasyhuran hingga menimbulkan rasa takbur, sombong dan meninggi diri serta mendorong sikap riyak.
Pakaian yang dipakai sesuai dengan kemampuan pengguna dan sesuai dengan majlis yang dihadiri. Sebaliknya pengguna tidak menjadi mangsa eksperimen fesyen yang pelik dan berlebihan.
Ketujuh, pakaian itu tidak menyerupai pakaian penganut agama lain atau secara lebih khusus bukan pakaian keagamaan. Jika pengguna sengaja menyerupai pakaian keagamaan lain, dan berniat, maka ia termasuk dalam tasyabbuh yang dilarang.
Jika hanya melibatkan warna-warna tertentu, ia tidak termasuk dalam tasyabbuh kerana Allah menciptakan warna-warna secara umum tanpa menetapkannya dengan simbol agama tertentu.
Kelapan, pakaian itu tidak menyerupai pakaian silang jantina atau lelaki memakai pakaian yang sinonim dengan perempuan dan perempuan memakai pakaian yang sinonim dengan lelaki. Biasanya, budaya setempat telah menetapkan kategori jantina bagi fesyen pakaian tertentu. Umpamanya baju kurung identik dengan jantina perempuan. Pengecualian diberikan dalam kes pakaian yang bersifat uniseks yang tidak khusus kepada apa-apa jantina.
Kesembilan, pakaian itu tiada unsur tabarruj yang dilarang. Tabarruj dalam konteks ini adalah hiasan yang berlebihan pada pakaian dengan motif-motif yang keterlaluan dan batu-batuan yang bergemerlapan hingga menarik perhatian golongan bukan mahram.
Kesepuluh, pakaian itu tidak diharamkan kepada orang lelaki seperti sutera dan unsur emas. Ini disebabkan terdapat hadis Nabi SAW yang melarang golongan lelaki memakai sutera dan juga emas sebagai hiasan di badan atau pakaian.
Kesebelas, pakaian itu tiada unsur dakwaan melampau. Dakwaan melampau ini melibatkan kelebihan pakaian yang diciptakan seperti tudung yang dapat mengawal bau dan anti bakteria, dan pakaian yang mampu menggalakkan peredaran darah yang baik, mengurangkan keletihan dan seumpamanya. Semua dakwaan melampau ini hanyalah teknik pemasaran semata-mata, bersifat penipuan dan tiada bukti kajian saintifik.
Sempena Aidilfitri, kaum muslimin disunatkan untuk memakai pakaian terbaik untuk menghadiri solat raya. Saranan ini terkandung dalam hadis Nabi SAW: “Rasulullah SAW menyuruh (hukum sunat) kami pada kedua Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) untuk memakai pakaian yang terlebih baik apa yang kami ada dan berwangi-wangian dengan sebaik-baik wangian apa yang kami ada.” (HR al-Hakim)
Berdasarkan hadis tersebut, memakai pakaian yang terbaik menjadi sunnah di hari raya.
Walau bagaimanapun, pakaian yang terbaik ini adalah bersifat relatif kerana ia bergantung kepada kemampuan masing-masing. Bagi orang yang mampu, mereka boleh membeli dan memakai baju baharu sesuai dengan bajet masing-masing, dan bagi mereka yang tidak mampu, mereka memperolehi pahala sunat dengan memakai pakaian terbaik yang mereka ada, jika tiada pun, pakaian yang bersih boleh dipakai di hari raya nanti.
Sehubungan dengan itu, dalam menghasilkan pakaian dan memilih pakaian, aspek jamal, iaitu keindahan perlu dititikberatkan kerana ia perlu selari dengan panduan syarak, di samping aspek jalal iaitu kebesaran Allah SWT perlu dirasakan kerana kita memakai pakaian bagi menyempurnakan tuntutan agama, iaitu menutup aurat dengan rapi serta memenuhi sunnah Nabi SAW dalam memakai pakaian terbaik di hari raya.
PENULIS PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI merupakan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.