fb fb fb fb fb

Qunut nazilah itu khusus sifatnya

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Dalam Islam, ibadah adalah ketaatan, ketundukan dan kepatuhanhamba kepada Pencipta. Ketaatan dan ketundukan itu pula disyariatkan dalam pelbagai bentuk dan kaedah pelaksanaan. Salah satu bentuk ibadah kepada Allah SWT ialah dengan berdoa kepada-Nya.

Doa ialah permohonan kita kepada Allah bertujuan meminta pertolongan, panduan, keampunan dan rahmat dari-Nya. Oleh itu, berdoa adalah terjemahan tanda tunduk dan bergantungnya manusia kepada Allah SWT.

Imam al-Ghazali dalam Ihya' 'Ulum al-Din menjelaskan, insan yang berdoa kepada Allah ialah insan yang memperakui kebergantungan dan pengharapan kepada-Nya. Maka lebih banyak seseorang itu berdoa dan memohon kepada Allah, maka akan lebih tinggilah rasa kehambaannya.

Dalam Jami' al-Tirmidzi, Ibnu 'Abbas RA meriwayatkan berkenaan pesanan atau wasiat Rasulullah SAW kepadanya yang antaranya bermaksud: "Apabila kamu meminta, maka pintalah kepada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka pintalah pertolongan Allah."

Dari pelbagai bentuk permohonan ini, salah satu bentuk doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang dilakukan baginda ketika solat wajib ialah doa memohon pertolongan Allah selepas berlakunya sesuatu musibah dan tragedi yang besar. Ia dinamakan sebagai qunut al-nazilah atau qunut al-nawazil, atau dalam istilah yang biasa digunakan dalam bahasa Melayu iaitu qunut nazilah.

Dalam bahasa Arab, qunut diambil dari akar kata 'qanata' bermaksud tunduk atau taat. Mulla 'Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih mengatakan, doa adalah salah satu jenis qunut dan salah satu maknanya.

Ibnu Manzur dalam Lisan al-'Arab membawa dua makna qunut iaitu pertama, berdiam diri dari bercakap, dan ini dikaitkan dengan bangun berdiri menunaikan solat dengan penuh khusyuk seperti yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 238. Manakala kedua, qunut bermaksud doa di dalam solat.

2607 KOLUMNIS QUNUT NAZILAH 2Foto hiasan

Nazilah (atau kata majmuknya nawazil) berakar dari kata 'nazala' yang bermaksud turun atau menimpa. Pada aspek istilah, ia bermaksud musibah besar yang datang melanda. Dalam pengertian ibadah, qunut nazilah merujuk kepada doa yang dimohon secara khusus ketika berdiri dalam solat fardu terutama pada waktu-waktu tertentu seperti dalam keadaan kesulitan atau ketika menghadapi musuh.

Menurut Imam al-Nawawi al-Syafi'i dalam Syarah Muslim:
"(Menurut) mazhab al-Syafi'i, bahawa qunut disunatkan dalam solat Subuh secara tetap, manakala dalam solat selainnya terdapat tiga pendapat; yang paling sahih dan masyhur, jika terjadi suatu musibah seperti (serangan) musuh, kemarau, wabak penyakit, kehausan, atau kemudaratan yang jelas menimpa kaum muslimin dan seumpamanya, maka dibacakan qunut dalam semua solat fardu. Jika tidak, maka tidak perlu."

Qunut Nazilah dilakukan sebelum sujud di rakaat yang terakhir. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menyatakan hikmah pensyariatan qunut seperti berikut:
"Dan jelas bagi saya bahawa hikmah menjadikan qunut nazilah dilakukan pada posisi berdiri (i'tidal) dan bukan semasa sujud, walaupun sujud adalah waktu yang paling dekat dengan penerimaan doa. (Ini) adalah kerana tujuan qunut nazilah adalah agar makmum turut serta dalam doa bersama imam, walaupun dengan (hanya) mengaminkan doa tersebut. Oleh itu, mereka sepakat bahawa doa tersebut dibaca dengan suara (yang) nyaring."

Jika disoroti dalam Sahih al-Bukhari pula, qunut nazilah dibacakan oleh Rasulullah SAW selama 30 pagi dalam solat Subuh selepas berlakunya tragedi besar Bi'r Ma'unah pada tahun ke-4H.

Secara ringkasnya, Rasulullah telah mengutus 70 orang sahabat untuk menyebarkan Islam kepada penduduk Najd hasil permintaan Abu Bara' 'Amir bin Malik yang berjanji akan menjamin keselamatan mereka.

Para sahabat yang terlibat ini disebutkan dalam al-Rahiq al-Makhtum sebagai dari kalangan umat Islam terbaik, terhormat, pemimpin kaum dan ahli yang mahir tentang al-Quran. Dalam persinggahan mereka di Bi'r Ma'unah iaitu suatu lokasi antara perkambungan Bani 'Amir dan Bani Sulaym, mereka dikepung dan kemudiannya dibunuh oleh Bani Sulaym dengan hanya seorang sahaja sahabat yang selamat. Pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan walaupun mereka datang secara aman dengan tujuan yang baik.

Berita menyayat hati ini sampai kepada Rasulullah yang sangat berdukacita dengan apa yang berlaku kepada para sahabat baginda. Apatah lagi ia berlaku hanya beberapa hari selepas tragedi pembunuhan yang juga menimpa sahabat baginda di al-Raji'.

Jumlah yang terkorban dalam tragedi Bi'r Ma'unah menyamai syuhada' perang Uhud, namun apa yang membezakan ialah mereka dibunuh kerana pengkhianatan yang dilakukan. Oleh itu, Rasulullah SAW telah mendoakan kecelakaan terhadap kabilah yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Berdasarkan huraian-huraian ini, jelas yang qunut nazilah merupakan doa khusus yang dibacakan dalam solat fardu apabila berlaku sesuatu tragedi dan peristiwa besar yang melanda. Lafaz doa pula adalah berdasarkan musibah yang melanda, sama ada bala bencana, penyebaran wabak, serangan musuh, dan lain-lain.

Doa yang dibacakan di luar solat tidak dinamakan qunut nazilah, walaupun lafaz doa tersebut adalah serupa. Seperti yang pernah dilakukan oleh nabi, doa kelaknatan dan kebinasaan terhadap seseorang atau sekumpulan manusia hanya ditujukan kepada mereka yang jelas terbukti memusuhi Islam dan umatnya.

Perbahasan ini sememangnya diakui rumit dan perlu dibincangkan dengan penuh teliti dan cermat dengan merangkumi pelbagai sudut dan permasalahan. Maka memadailah untuk kita sebagai orang awam menjadikan hadis Rasulullah SAW sebagai panduan agar berhati-hati dan beradab dalam berdoa, apatah lagi jika mendoakan laknat dan kebinasaan sesama Muslim.

Dari Abu Darda' RA berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya apabila seorang hamba melaknat sesuatu, laknat itu akan naik ke langit, tetapi pintu-pintu langit akan tertutup di hadapannya. Kemudian laknat itu turun ke bumi, tetapi pintu-pintu bumi juga akan tertutup di hadapannya.

Kemudian laknat itu akan berpusing ke kanan dan ke kiri, dan jika tidak menemui tempat untuk pergi, ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya. Jika orang yang dilaknat itu layak menerimanya, maka laknat itu akan jatuh kepadanya. Jika tidak, ia akan kembali kepada orang yang mengucapkannya." (Riwayat Abu Dawud)

PENULIS PROF. MADYA DR MOHD KHAIRUL NAIM BIN CHE NORDIN, Professor Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidaksemestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI