fb fb fb fb fb

Panduan sunnah mendepani isu siasatan kematian

Suspek kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah/Foto Bernama

SAUDARA PENGARANG

Siasatan kematian seringkali menjadi perhatian masyarakat. Semua pihak mahu terlibat dalam meluahkan amarah kepada suspek di media sosial, memberikan komentar dan kritikan kepada pihak polis dan mahkamah, malah membuat tuduhan dan tekaan serta menjatuhkan “hukuman” lebih awal.

Antara kes inkues yang menjadi topik utama di dada media dan tular di laman sosial termasuklah kes kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim pada tahun 2018.

Pada tahun ini sahaja, terdapat beberapa siasatan kematian yang mendapat liputan meluas seperti kes “Baby Syifaa” 15 bulan yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhan. Begitu juga dengan siasatan kematian anak syurga Zayn Rayyan Abdul Matiin, dan terkini, Nur Farah Kartini.

Apakah sebenarnya etika kita sebagai orang awam dalam mendepani isu-isu siasatan kematian seperti ini? Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Buraidah bin al-Husaib, Nabi SAW bersabda:

“Hakim itu ada tiga (jenis), dua berada di neraka dan satu lagi di syurga. (Pertama) seorang yang tahu kebenaran dan ia memutuskan dengannya, maka ia di syurga; (kedua) seorang yang tahu kebenaran, namun ia tidak memutuskan dengannya, maka ia di neraka; dan (ketiga) seorang yang tidak tahu kebenaran dan ia memutuskan untuk masyarakat dengan ketidaktahuan, maka ia di neraka.”

Hadith ini menggambarkan bahawa tugas seorang hakim/koroner adalah sangat berat dan menjadi penentu syurga-neraka kerana berkait dengan hak manusia. Seseorang hakim yang mengadili sesuatu kes perlu mengambil masa secukupnya untuk memahami dan mendalami kes tersebut.

Sekiranya dia menetapkan keputusan secara sambil lewa dan salah, maka dia telah berlaku zalim dan mengambil hak individu yang benar. Tambahan pula, jika sesebuah kes yang dibicarakan mendatangkan kemusykilan kepada hakim, dia perlu meminta tangguh sehingga kes itu menjadi lebih jelas.

Justeru, masyarakat awam perlu memberikan masa secukupnya kepada pihak mahkamah dan hakim/koroner khususnya untuk menilai kesahihan kes. Terdapat beberapa prinsip penting dalam Islam yang perlu kita fahami.

Pertama: Prinsip keadilan
Islam menekankan keadilan dalam semua aspek kehidupan, terutamanya dalam sistem perundangan. Keadilan ini harus diutamakan walaupun terdapat desakan daripada pihak tertentu untuk mempercepatkan proses pengadilan.

Kedua: Prinsip kesabaran
Dalam menghadapi isu yang penuh emosi seperti ini, kesabaran adalah sangat penting.

Ketiga: Prinsip integriti
Masyarakat perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan berita palsu, kenyataan fitnah, spekulasi tidak berasas dan menyebarkan dokumen sulit, yang boleh mengganggu proses pengadilan.

Masyarakat perlu sedar bahawa prosedur inkues atau siasatan kematian bukanlah proses mudah. Inkues merupakan proses penyiasatan yang dikendalikan oleh koroner bagi mengenal pasti sebab dan punca kematian.

Di Malaysia, undang-undang inkues kematian telah dinyatakan dalam Kanun Acara Jenayah dan Arahan Amalan. Proses penyiasatan kematian ini pula dibahagikan kepada dua tahap, iaitu: a) Pra-prosiding inkues kematian. b) Prosiding inkues kematian.

Semasa prosiding inkues kematian dijalankan, koroner dikehendaki menilai keterangan bagi menjawab persoalan berikut bagi memutuskan sama ada wujud elemen jenayah dalam kes kematian tersebut: Siapakah si mati? Bagaimanakah si mati menemui ajalnya? Bilakah si mati menemui ajal? Apakah punca kematian si mati? Adakah kematian si mati disebabkan oleh perbuatan atau kecuaian mana-mana pihak?

Pada akhir prosiding inkues kematian, koroner dikehendaki menilai dan menganalisis segala bukti dan keterangan yang dikemukakan serta membuat keputusan berhubung dengan punca dan sebab kematian.

Antara keputusan lazim diberikan oleh mahkamah berhubung dengan punca kematian adalah seperti nahas, kematian biasa, bunuh diri, khianat, kematian akibat perbuatan orang lain, dan keputusan terbuka, bermakna keputusan ini akan diberikan mahkamah sekiranya mahkamah mendapati tidak ada keterangan mencukupi dikemukakan bagi membolehkan mahkamah menentukan punca sebenar kematian.

Sebagai kesimpulan, siasatan kematian sememangnya memerlukan pendekatan yang amat berhati-hati dan berlandaskan prinsip-prinsip keadilan. Orang ramai perlu memberi ruang dan masa serta kepercayaan kepada pihak berautoriti untuk menjalankan tugas mereka dengan teliti, adil, telus dan saksama.

Dalam masa sama, masyarakat perlu mengamalkan nilai kesabaran dan berintegriti dalam menunggu keputusan dari mahkamah koroner. Jangan kerana kita terlalu ghairah ingin menuntut keadilan, akhirnya kita sendiri yang diambil tindakan undang-undang. Semoga kita semua diberi petunjuk dan hidayah dalam menghadapi ujian semasa.

PENULIS DZULFAIDHI HAKIMIE, calon PhD Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, dan DR. MOHD ISTAJIB, Pensyarah Kanan Program Sarjana Sains Kelestarian di Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI