fb fb fb fb fb

Punca dan penyelesaian konflik harimau - manusia

Petugas jabatan perhililitan merawat harimau yang sakit di ruang rawatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai pada 21 September 2023/Foto hiasan Bernama

SAUDARA PENGARANG

Konflik hidupan liar dengan manusia berlaku disebabkan berlaku perubahan keseimbangan ekosistem. Tiga faktor yang mengakibatkan perubahan keseimbangan ekosistem ketara yang berlaku sejak kebelakangan ini ialah:

  1. Penerokaan kawasan hutan habitat hidupan liar, yang mengakibatkan penyebaran penyakit haiwan domestik ke dalam haiwan hidupan liar.
  2. Pemanasan global yang mengubah pola perubahan musim (penyebaran tumbuhan dan pergerakan haiwan liar).
  3. Adaptasi oleh haiwan liar untuk makan dari penempatan manusia.

Faktor penerokaan hutan telah mengakibatkan tidak wujud lagi jurang pemisahan antara aktiviti manusia dengan hidupan liar. Ini kerana dengan penerokaan hutan, manusia juga membawa bersama risiko dalam bentuk penyakit bawaan haiwan domestik, penyakit bawaan manusia dan seterusnya perilaku adaptasi dari hidupan liar.

Haiwan domestik seperti babi ternakan telah membawa penyakit African Swine Fever (ASF) ke dalam populasi babi hutan yang mengakibatkan pandemik sangat teruk dalam populasi babi hutan sehingga melenyapkan populasi di kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia.

Perkara ini memberi kesan sangat mendalam kepada pemakanan dan pemburuan mangsa untuk Harimau Malaya kerana ia terpaksa untuk mencari mangsa alternatif (manusia dan haiwan ternakan).

Selain itu, penyakit bawaan anjing iaitu Canine Distemper Virus (CDV) telah menular dalam ekosistem kawasan hutan sehinggakan terdapat Harimau Malaya yang telah mati akibat penyakit tersebut.

Ini disebabkan peneroka hutan untuk aktiviti penempatan, dusun, tanaman kontan dan pembinaan lebuh raya pada kebiasaannya membawa anjing peliharaan bersama-sama ke kawasan teroka; namun setelah aktiviti selesai, anjing peliharaan ditinggalkan dan terpaksa hidup di habitat yang bertindih dengan rayauan hidupan liar.

Penerokaan hutan dan pemusnahan "buffer zone" yang menjadi pemisah semulajadi antara haiwan liar dengan manusia telah mengakibatkan adaptasi oleh haiwan liar untuk mencari makanan dari kawasan aktiviti manusia.

Hutan yang telah semakin mengecil tidak menjanjikan keberadaan makanan, sekali gus membuatkan haiwan pemangsa apeks seperti Harimau Malaya mula membaham haiwan ternakan (lembu, kambing, kerbau dan lain-lain). Apabila terdapat kawasan yang tiada haiwan ternakan, manusia mula menjadi mangsa kepada Harimau Malaya.

Kejadian harimau membaham manusia merupakan sesuatu yang sangat jarang berlaku. Tetapi dalam tahun 2023 sahaja, enam kes manusia dibaham hingga mati oleh harimau malaya telah berlaku. Untuk mengupas isu ini dengan mendalam kita perlu melihat kepada beberapa fakta yang menjurus kepada permasalahan ini.

Secara amnya, pengurusan habitat hidupan liar di Semenanjung Malaysia tidak mengambil kira dinamik populasi terkini. Sebagai contoh, sewaktu pandemik COVID-19 selama dua tahun setengah, penutupan penuh aktiviti manusia di habitat hidupan liar telah menunjukkan peningkatan terhadap perilaku semulajadi hidupan liar.

Pembiakan, pergerakan, pemangsaan, pembaikpulihan habitat secara semulajadi telah berlaku, di luar pengawasan dan pengaruh aktiviti manusia. Pada masa tersebut, ada kemungkinan besar sesetengah proses semulajadi dalam ekosistem telah mengalami pemulihan yang mengakibatkan peningkatan aktiviti semulajadi hidupan liar.

Bagaimanapun, sejurus selepas industri mula dibuka dan aktiviti lapangan manusia disambung; penerokaan hutan, pengubahan kawasan tadahan, tebus guna tanah dan pelbagai aktiviti manusia telah merencatkan sesetengah pemulihan habitat hidupan liar. Secara tidak langsung telah menimbulkan perilaku adaptasi dalam hidupan liar, mengakibatkan sesetengah hidupan liar menjadi lebih berani menggunakan sumber subsidi dari manusia.

Faktor ini ditambah dengan tekanan terhadap ekosistem yang mengakibatkan kekurangan sumber makanan semulajadi, mengakibatkan timbul konflik pertembungan antara manusia dan hidupan liar.

Sebagai solusi kepada permasalahan ini, satu pemetaan kawasan berpotensi konflik perlu dilakukan. Walaupun pahit untuk diterima, sesetengah kawasan di bahagian pedalaman Semenanjung Malaysia telah menjadi "no go" zone untuk manusia.

Habitat hidupan liar memerlukan kawasan-kawasan ini untuk terus hidup dan akan berterusan "mengganggu" aktiviti manusia. Habitat-habitat ini perlu diperkukuhkan dari segi komponen semulajadi dengan pelepasan haiwan pemangsa yang diternak (rusa sambar, kijang dan lain-lain) serta perlu dipantau secara "remote" untuk melihat pemulihan ekosistem secara semulajadi.

Populasi manusia perlu diurus mengikut tatacara yang mengambilkira kebajikan haiwan liar dan kebajikan manusia secara total, yang mana kebajikan hidupan liar boleh dipantau secara pengurusan ekosistem mampan, dan kebajikan manusia boleh dijaga dengan menghantar manusia untuk bekerja jauh di pedalaman dengan pengukuhan ilmu perhutanan dan pengurusan mampan alam sekitar hidupan liar.

Solusi terakhir ialah dengan meningkatkan aktiviti pemuliharaan hidupan liar secara aktif melalui kaedah-kaedah pembiakan haiwan terkini, teknologi pengesanan terkini menggunakan satelit, kaedah penanaman semula hutan secara agresif, kajian dinamik populasi haiwan liar yang berterusan dan kaedah kawalan populasi sesetengah hidupan liar secara tidak invasif.

Kerjasama antara agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri berkenaan guna tanah dan sumber merupakan isu utama yang perlu diselesaikan untuk mendapat solusi yang paling efektif.

PENULIS DR. TENGKU RINALFI PUTRA TENGKU AZIZAN, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI