fb fb fb fb fb

Lonjakan pemerkasaan keusahawanan PEDi Madani

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Persidangan PEDi Madani 2023 bersama-sama Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Timbalan Teo Ni Ching pada 29 November 2023/Foto FB PEDi

SAUDARA PENGARANG

Pemerkasaan fungsi Pusat Ekonomi Digital (PEDI) sejajar dengan Persidangan PEDI Madani yang dirasmikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 November lalu  merupakan suatu strategi melestarikan hala tuju pembangunan ekonomi teknologi maklumat negara.

Langkah itu dilihat lebih komprehensif dan sistematik menerusi pemerkasaan bidang keusahawanan dalam kalangan komuniti. Ia merupakan anjakan paradigma daripada fungsi penubuhan Pusat Internet yang telah dimulakan beberapa tahun lalu. Sehingga kini penubuhan PEDi mencapai 911 di seluruh negara dan disasarkan kepada jumlah 1077  menjelang akhir suku kedua 2024.

Transformasi fungsian semula PEDi pada hari ini mencerminkan peranan kerajaan melunaskan kebergantungan rakyat terhadap perkembangan ekonomi semasa yang semakin pantas, terutamanya bagi mengukur kemantapan kemajuan pelaksanaan dasar MyDigital dalam keusahawanan digital yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan  industri di negara ini.

Dengan bermula era baharu yang mempamerkan pelaksanaan konstruktif pelan digital bagi menyaingi kepantasan dunia keusahawanan IT; pelbagai insentif yang disalurkan oleh Kerajaan Madani dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat untuk bergiat dalam keusahawanan digital pada hari ini.

Sebenarnya, banyak insentif diwujudkan bagi merangsang pembangunan keusahawanan digital untuk meningkatkan sara hidup masyarakat, terutamanya di kawasan bandar. Penubuhan PEDi mempergiatkan lebih banyak peluang menjimatkan kos pemasaran produk atau perkhidmatan, sekali gus membuka laluan alternatif baharu kepada para usahawan menerusi platform digital.

Di samping itu ia menggalakkan lebih banyak peluang perniagaan untuk SME dan memperluas peluang pekerjaan bagi graduan supaya dapat mengimbangi kos sara hidup dengan perkembangan ekonomi semasa menerusi pemerkasaan bidang perniagaan maya untuk menambah pendapatan mereka.

Sehubungan dengan itu, pada penelitian saya, dasar keusahawanan harus diteliti semula supaya terus relevan dengan keupayaan usaha kerajaan mempergiatkan industri keusahawanan digital komuniti bagi menghadapi isu kegawatan ekonomi yang mengancam sosioekonomi negara. Dalam hal ini, sasaran untuk meneruskan pencapaian PEDi haruslah bergantung kepada beberapa perkara yang mendorong kepada pencapaian dasar tersebut, seperti berikut:-

  1. Memastikan pelaksanaan pendekatan-pendekatan strategik yang dapat membantu mengurangkan jurang pendapatan komuniti melalui pelahiran usahawan-usahawan digital dengan memberi penekanan terhadap penyebarluasan pemasaran dalam talian. Hal ini memperkasa sektor ekonomi digital dan industri supaya lebih banyak ruang pekerjaan dapat ditawarkan semua kepada rakyat.
  1. Memastikan sektor industri tempatan berasaskan digital dapat berkembang dengan baik dan berdaya saing apabila penawaran pekerjaan tempatan dapat membantu mewujudkan bidang-bidang pekerjaan baharu; memperkasa bakat kreatif dan inovatif dalam industri keusahawanan digital.
  1. Merancakkan lebih banyak rangsangan ekonomi domestik yang menjadi tunjang kepada pendapatan rakyat tatkala mereka berdepan dengan krisis ekonomi hari ini. Kewujudan PEDi juga menyokong dan mendorong rakyat berbelanja produk tempatan yang ditawarkan oleh para usahawan digital dengan harga berpatutan.
  1. Menggalakkan lebih banyak ruang ekonomi baharu wujud berasaskan teknologi digital bagi meningkatkan rangsangan inovasi keusahawanan dan pemasaran tanpa sempadan yang lebih efektif melalui teknologi maklumat yang lebih pantas dan efisyen.
  1. Penekanan juga harus diberikan kepada penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan komuniti termasuklah menganjurkan bengkeI teknologi maklumat dan media sosial, keusahawanan siber, latihan teknologi maklumat dan teknikal untuk menambah baik tahap pengetahuan dan keprihatinan masyarakat terhadap budaya teknologi tersebut.
  1. Membangunkan sistem latihan kemahiran keusahawanan digital yang lebih fleksibel, berimpak tinggi dan mendatangkan pulangan besar buat para usahawan tempatan, khususnya golongan belia yang mahu menceburi bidang kerjaya yang mencabar ini. Hal ini akan menyemarakkan semangat kurang kebergantungan para usahawan tempatan terhadap proses perniagaan fizikal, sebaliknya peranan PEDi akan menjelmakan penjanaan sumber kendiri (independensi), iaitu para usahawan dapat memanfaatkan perolehan sumber secara optimum menggunakan teknologi murah dan penjanaan pulangan lebih besar serta pantas. Ia juga dapat menjana pekerjaan dengan pantas dan memperoleh pendapatan sekali gus sosioekonomi masyarakat.
  1. Insfrastruktur dan kemudahan setiap PEDi bukanlah semata-mata berasaskan teknologi pengkomputeran tetapi ia harus disokong dengan khidmat nasihat perundingan perniagaan dan bimbingan berterusan supaya para usahawan akan terpimpin dengan ilmu perniagaan terkini.

Dalam hal ini, tatakelola dan mekanisme rangsangan peningkatan nilai tabungan rakyat harus dilaksanakan menerusi pemerkasaan fungsi PEDi untuk tempoh masa panjang. Ini memastikan peranan PEDi bukan sekadar "hangat-hangat tahi ayam" atau menjadi warisan "gajah putih" yang merugikan wang rakyat dan pelaburan negara.

Sifat kebertanggungjawaban setiap anggota masyarakat membantu satu sama lain menyelesaikan masalah dihadapi oleh masyarakat setempat akan memberikan impak terhadap pelaksanaan Dasar Perpaduan dan Dasar Sosial yang dibangunkan bagi merealisaikan impian negara menjadi negara maju makmur tidak lama lagi.

Kewujudan PEDi  ini memberikan suatu signifikasi bahawa kerancakan sistem digital ekonomi negara dengan mengambil kira sistem maklumat data canggih, menyeluruh dan berkesan.

Perkembangan baharu ini sudah pasti menumpukan kepada sekuriti jaringan maklumat yang terpelihara disebabkan oleh jaringan maklumat data yang banyak dan besar, sekali gus boleh memberi ancaman kepada negara sekiranya sekuriti maklumat dicerobohi.

Bagi mencapai kestabilan dalam sekuriti data ini, suatu sistem atau mekanisme pembangunan data maklumat harus dibangunkan untuk menyasarkan suatu bentuk pelan tindakan perundangan sistem sekuriti maklumat yang lebih komprehensif bagi melindungi data maklumat.

Pencerobohan data akan menyebabkan sistem maklumat terancam dan membahayakan urusniaga dalam kalangan usahawan-usahawan digital tempatan yang menggunakan PEDi sebagai platform menjana perniagaan digital yang diusahakan nanti.

Justeru, pendekatan kerajaan diperlukan untul mewujudkan sistem perundangan teknologi maklumat komprehensif dan mampu untuk menangani isu-isu jenayah teknologi maklumat. Ini untuk memastikan bahawa sistem teknologi maklumat terpelihara daripada ancaman-ancaman subversif yang boleh memberi kesan buruk terhadap data teknologi maklumat.

Menerusi bantuan daripada sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan kerajaan-kerajaan  tempatan, perkasaan fungsi PEDi boleh dimanfaatkan dengan formula meningkatkan kemudahan-kemudahan IT komuniti. Ia bagi menambah baik pembangunan komuniti dan menyasarkan lebih banyak penubuhan kumpulan usahawan digital dalam talian seterusnya saling berkongsi maklumat dari semasa ke semasa.

PENULIS TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF adalah Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI