SAUDARA PENGARANG
Pada musim cuti sekolah, ramai ibu bapa yang menggunakan peluang ini untuk membawa anak-anak pergi bercuti atau pulang ke kampung halaman. Bagaimanapun, dalam zaman teknologi canggih kini, kebanyakan ahli keluarga lebih selesa melayari internet dan asyik dengan peranti elektronik masing-masing walaupun semasa dalam percutian atau berada bersama keluarga serta saudara mara.
Pada hari ini, sudah menjadi pemandangan biasa setiap individu masing-masing membawa hal sendiri dengan telefon bimbit di tangan walaupun duduk bersebelahan atau berkumpul bersama. Lebih parah, anak-anak kecil juga sudah diberikan ‘candu’ ketika usia mereka masih mentah dan belum boleh membezakan antara baik atau buruk sesuatu perkara.
Maka tertumpulah perhatian anak-anak kecil ini dalam tempoh masa lama kepada dunia buatan tanpa menghiraukan dunia sebenar di sekeliling mereka. Ramai ibu bapa juga tidak mengambil tahu atau mengawal kandungan yang dilayari oleh anak-anak mereka, memungkinkan perkara buruk meracuni minda muda anak-anak.
Turut dikesali, ibu bapa juga sering menunjukkan contoh kurang baik dengan sibuk melayani ‘candu’ mereka sendiri di hadapan anak-anak menyebabkan komunikasi langsung bersama anak-anak menjadi terhad. Sudahlah pada hari biasa masing-masing sibuk dengan urusan pekerjaan dan persekolahan, masa cuti pula tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk komunikasi keluarga.
Natijahnya, anak-anak tidak dapat bermesra, berkongsi pendapat, mencurah perasaan, mewarisi pemikiran dan adab daripada ibu bapa serta penjaga mereka. Seringkali juga dilihat dalam perhimpunan keluarga atau majlis keramaian, generasi muda lebih gembira bermain ‘games’ atau melayari internet daripada duduk bersembang bersama generasi tua atau orang di sekeliling mereka.
Kesemua fenomena ini adalah perkara yang tidak wajar dibudayakan dan patut dibimbangi kerana jika dibiarkan boleh merosakkan corak pemikiran serta hubungan antara manusia dalam jangka masa yang panjang.
Komunikasi secara asasnya adalah satu wacana perpindahan maklumat, perasaan, idea, emosi dan pemikiran daripada seseorang individu kepada seseorang individu atau sekumpulan individu yang lain. Berkomunikasi secara langsung dapat memupuk persefahaman, menyemai sifat tolak ansur, membina empati, mengambil peduli, mengeratkan hubungan, menambahkan kemesraan dan memudahkan perpindahan ilmu serta kebijaksanaan (wisdom).
Tanpa komunikasi secara langsung yang kerap, bagaimana kita mampu mengenali sifat dan hati budi manusia di sekeliling kita, hatta keluarga kita sendiri? Kurangnya komunikasi secara langsung boleh menyebabkan mudah berlakunya salah faham dan salah sangka yang membawa kepada konflik serta sengketa.
Sebagai seorang yang hidup pada zaman sebelum dan selepas wujudnya teklologi maklumat ini, penulis dapat melihat sebelum ini masyarakat mempunyai banyak ruang untuk berkomunikasi secara langsung di mana kesempatan berkumpul dimanfaatkan sepenuhnya untuk berbual dan bermesra.
Proses perpindahan kemahiran bahasa, adab, budaya, pengalaman hidup, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan diturunkan daripada generasi tua kepada generasi muda melalui perbualan dan komunikasi secara langsung antara mereka. Anak-anak dan cucu-cucu seronok mendengar ibu bapa serta datuk nenek bercerita di mana mereka boleh menzahirkan maklum balas serta bertanya pelbagai soalan secara langsung.
Komunikasi berkesan juga dapat meningkatkan keyakinan seseorang dalam menyuarakan pendapat dan berhujah serta dapat meningkatkan kemampuan berfikir secara kritikal melalui pengetahuan dan pengalaman yang dikutip sepanjang proses komunikasi tersebut. Malangnya kini, ruang untuk komunikasi secara langsung telah diambil alih oleh komunikasi berperantara media sosial secara berlebihan. Maka pudarlah komunikasi keluarga.
Kita semua perlu mampu mengawal diri agar tidak dihanyutkan oleh teknologi yang boleh membawa kesan buruk dalam hubungan asas manusia. Teknologi hebat yang berupaya mendekatkan orang yang jauh usahlah dibiarkan menjauhkan pula orang yang dekat. Hadkan masa dan tempat untuk penggunaan media sosial secara wajar.
Peruntukan masa untuk berbual secara langsung atau melakukan aktiviti fizikal seperti sukan danrekreasi bersama keluarga dan orang di sekeliling kita. Semoga peluang berkumpul bersama keluarga dan saudara-mara pada musim cuti sekolah dapat dimanfaatkan untuk lebih mengenali serta mengeratkan hubungan silaturrahim melalui komunikasi secara langsung yang kerap dan berkesan.
PENULIS DR. JAMILA MOHD, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik, Ketua Pusat Penyelidikan Malaysia Jepun, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.