SAUDARA PENGARANG
Kewujudan industri halal dalam pasaran perniagaan dianggap bukan sahaja memenuhi tuntutan agama bahkan ia adalah salah satu segmen penting dalam sumbangan terhadap ekonomi negara yang signifikan dan relevan.
Keperluan industri halal dalam pasaran adalah satu indikasi terhadap sambutan tinggi daripada pelanggan dalam dan luar negara, berikutan kepada peningkatan dalam permintaan dan kuasa membeli terhadap produk dan perkhidmatan halal.
Maka, tidak hairanlah Malaysia dianggap sebagai peneraju hab halal antarabangsa dan menjadi sumber rujukan penting negara-negara lain, lebih-lebih lagi dalam aspek produk makanan dan persijilan halal.
Halal didefinisikan sebagai ‘dibenarkan’ (permitted) dalam hukum Islam yang merangkumi segala aspek termasuk produk (makanan dan minuman) dan perkhidmatan merangkumi pelbagai sektor seperti perbankan dan kewangan, farmaseutikal, kosmetik, logistik, pelancongan, kesihatan dan sebagainya.
Islam amat menitikberatkan amalan pengambilan makanan halal demi menjaga kepentingan umat manusia; bukan sahaja untuk kebaikan dalam memelihara unsur fizikal, tetapi juga menekankan aspek penjagaan elemen yang memenuhi Maqasid As-Shariah termasuk akidah, nyawa, akal, dan harta.
Sebagai negara yang mempunyai populasi dengan majoriti penganut agama Islam, kerajaan amat menekankan kepentingan menjaga kemaslahatan masyarakat sejagat melalui penggunaan barangan keperluan harian termasuk makanan dan minuman, terdiri daripada salah satu sembilan skim pensijilan halal bagi syarikat perniagaan yang ingin memohon persijilan halal.
Sijil halal ini memainkan peranan sangat penting dalam memberi keyakinan dan kepercayaan kepada pelanggan yang mengutamakan isu kebersihan dan kualiti sesuatu produk makanan atau minuman. Tanpa sijil halal, sudah tentu produk yang dijual akan menimbulkan keraguan dalam kalangan pelanggan untuk membelinya.
Ini kerana permohonan sijil halal memerlukan komitmen amat tinggi pihak syarikat dalam mementingkan aspek kebersihan, keselamatan dalam proses penghasilan dan penyediaan sesuatu produk, tanpa berkompromi dalam percampuran kandungan makanan dengan elemen yang shubhah atau tidak halal dalam sesuatu produk itu.
Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi yang kian mencabar dan kenaikan kos bahan mentah kini, para pelanggan sentiasa terdedah dengan pelbagai cabaran dalam pembelian produk kerana pengeluaran produk oleh pihak syarikat adalah di luar jangkaan dan pengetahuan para pelanggan.
Justeru, bagi syarikat pengeluar produk makanan yang lebih mementingkan keuntungan dan merasakan pematuhan terhadap peraturan dan prosedur halal adalah rumit, akan mengambil kesempatan dalam menghasilkan produk makanan.
Ini boleh menimbulkan kesangsian dalam kalangan pelanggan seperti pemalsuan logo halal, tiada sijil halal, tidak memperbaharui sijil halal, dan proses penyediaan makanan dan penggunaan bahan mentah yang meragukan dari segi aspek kebersihan, keselamatan dan kehalalan sesuatu produk itu.
Landskap persekitaran perniagaan negara ini adalah dipelopori peniaga bukan Islam (lebih dirujuk pada kaum bukan Melayu), berbanding peniaga dalam kalangan kaum Melayu. Malahan, dalam konteks perniagaan halal, ia lebih didominasi oleh syarikat kecil-sederhana (SKS) berbanding syarikat sektor korporat.
Walaupun tiada halangan bagi kaum bukan Melayu untuk menceburi perniagaan dalam pengeluaran produk makanan halal, tetapi kefahaman dalam ilmu dan konsep halal dalam penghasilan dan penyediaan produk makanan adalah amat penting dalam industri halal.
Ini termasuk dalam aspek produk, pekerja, proses penyediaan makanan dan penentu keuntungan, yang memenuhi dimensi ekonomi, undang-undang dan etika, di mana perniagaan berperanan sebagai agen ekonomi dalam pasaran perniagaan.
Oleh itu, syarikat pengeluar produk makanan halal harus berpandangan bahawa perniagaan mereka bukan sekadar untuk menjana ekonomi sesebuah perniagaan itu sendiri, tetapi sebagai menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Syarikat juga perlu memahami bahawa objektif perniagaan dalam industri makanan halal bukanlah sekadar didorong oleh objektif keuntungan dan bersifat retorik semata-mata dalam mendapatkan persijilan halal. Ini tidak akan membantu syarikat untuk bertahan lama dalam senarai syarikat yang ditauliahkan halal oleh pihak JAKIM melalui persijilan halal.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa tanggungjawab sosial ini adalah lebih menjurus kepada amalan sesebuah syarikat yang menunjukkan bahawa syarikat lebih bersifat prihatin dan beretika terhadap golongan masyarakat yang memerlukan seperti golongan tertentu miskin, anak yatim, rumah orang tua, pelajar selain penjagaan persekitaran, pemeliharaan sumber tenaga asli dan sebagainya melalui sokongan moral dan kewangan.
Amalan tanggungjawab sosial korporat ini banyak diamalkan oleh syarikat dalam sektor korporat yang mempunyai dana modal besar dan faktor kewangan lebih kukuh, berbanding syarikat kecil atau sederhana yang mempunyai modal lebih kecil dan kewangan agak terhad. Oleh itu, amalan tanggungjawab sosial ini amat jarang diamalkan oleh syarikat kecil dan sederhana.
Walaupun amalan tanggungjawab sosial korporat ini dipandang tinggi dan dianggap suatu amalan terbaik (best practices) bagi syarikat sektor korporat oleh Suruhanjaya Syarikat dalam usaha mencapai kelestarian sesebuah perniagaan, namun ianya hanyalah suatu amalan perniagaan yang tidak selari dengan operasi sesebuah syarikat itu. Ia hanya sekadar sokongan dalam pematuhan kod amalan tadbir urus korporat oleh syarikat korporat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.
Dalam konteks halal, amalan pematuhan halal dalam penghasilan produk makanan berstatus halal perlu memenuhi skop amalan tanggungjawab sosial melalui operasi perniagaan yang selari prinsip halal. Dengan ini, syarikat akan lebih peka terhadap isu berkaitan halal, kebersihan dan keselamatan sesuatu produk makanan dan mematuhi segala prosedur dan standard halal bagi menjamin integriti halal dalam pengeluaran produk makanan, selari dengan pematuhan Akta Perdagangan Deskripsi 2011.
Seterusnya ia juga dapat membantu syarikat mengekalkan status persijilan halal mereka dan meningkatkan pencapaian syarikat melalui kepercayaan para pelanggan terhadap produk keluaran mereka.
PENULIS JULIANA ANIS RAMLI, Pensyarah Kanan, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.