(Foto AFP)
KUALA LUMPUR, 14 Mei- Tidak syak lagi Pilihan Raya Turkiye pada Ahad, 14 Mei 2023 merupakan cabaran paling getir buat pengundi negara tersebut dalam membuat pilihan wakil rakyat Parlimen dan juga presiden untuk lima tahun akan datang.
Getir kerana Turkiye baru beberapa bulan lepas melalui malapetaka gempa bumi yang menyaksikan 50,000 orang terkorban dan hampir 3 juta orang hilang tempat tinggal.
Lebih mencabar keadaan ekonomi negara itu yang satu ketika dahulu menyaksikan kadar inflasi mencapai tahap sehingga 85 peratus yang mengakibatkan harga kos makanan meningkat 50 peratus.
Keputusan pilihan raya terutama sekali pemilihan presiden bukan sahaja berkait politik dan demokrasi tetapi juga penentuan nasib masa hadapan mereka.
Dalam memilih bakal presiden, hanya dua calon yang dianggap mempunyai harapan sama ada memperolehi undi melebihi 51 peratus ataupun sebagai calon pemilihan sekali lagi pada 28 Mei jika tiada yang berjaya melepasi perolehan undi 51 peratus.
Ini adalah kerana peraturan pemilihan presiden ialah jika tiada calon memperolehi 51 peratus undi pada pengundian Ahad maka dua calon peroleh undi tertinggi terpaksa bertarung sekali lagi pada 28 Mei akan datang.
Begitu juga parti yang ingin calon mereka turut serta dalam Pilihan Raya Presiden perlu memperolehi paling minimum 5 peratus daripada jumlah undi pilihan raya terdahulu iaitu pada 2018.
Parti berkenaan perlu memperolehi sekurang-kurangnya 100,000 tandatangan menyokong pencalonan tersebut.
Peraturan ini dikenakan bagi memastikan calon yang berwibawa dan mempunyai sokongan dibenarkan bertanding.
Presiden, Reccip Tayyip Erdogan menawarkan diri sekali lagi sebagai wakil calon presiden untuk Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), dianggap sebagai salah satu calon ke hadapan berbanding calon lain.
Erdogan, 69 tahun dianggap sebagai pemimpin Turkiye paling lama memerintah negara tersebut sejak mula dilantik sebagai presiden pada 2014.
Sebelum dilantik presiden, Erdogan ialah perdana menteri dari 2003.
Paling menarik ialah dasar ekonomi Erdogan yang dilabel sebagai ‘Erdoganamics’.
Jika kebanyakan bank pusat negara lain menggubal dasar monetari untuk mengawal kadar inflasi dengan mengenakan kadar faedah tinggi, Erdogan pula mengarahkan Bank Pusat Turkiye melakukan sebaliknya.
Pencabar terdekat dan terkuat Erdogan ialah Kemal Kilicdaroglu dari Parti Rakyat Republikan (CHP) dan dikenali sebagai Ghandi Kemal dalam kalangan rakyat dan media Turkiye.
Kilicdaroglu dianggap sebagai pencabar yang mampu menewaskan Erdogan kerana disokong gabungan enam parti pembangkang dibawah nama Pakatan Nasional yang selama ini berpecah.
Paling kritikal, gabungan ini terdiri daripada parti pro-Kurdish yang secara lazim dalam setiap pilihan raya mampu meraih 10 peratus jumlah undi.
Gaya kepimpinan kedua-dua bakal presiden ini berbeza yang mana Erdogan adalah lantang menyuarakan pendapat sama ada melibatkan politik tempatan atau geopolitik antarabangsa.
Erdogan juga berani membuat keputusan menongkah arus tidak kira hal ekonomi seperti strategi menangani inflasi, perang Ukraine dan juga hal keahlian NATO terutama berkait Sweden.
Manakala Kilicdaroglu pula tidak begitu lantang seperti mana Erdogan dan mempunyai dasar bertentangan seperti mahu mengembalikan autonomi Bank Pusat Turkiye dalam menentukan strategi tangani inflasi.
Malah Kilicdaroglu berjanji akan mengembalikan sistem kerajaan berparlimen yang dihapuskan Erdogan pada 2016 kerana pada ketika ini institusi presiden dan bukannya parlimen mempunyai kuasa yang amat luas.
Pilihan pengundi Turkiye adalah antara Erdogan dan Kilicdaroglu.
Kilicdaroglu juga berjanji akan memulihkan hubungan Turkiye dengan Kesatuan Eropah (EU) demi mengembalikan keyakinan pelabur dari negara Eropah yang telah hilang kepercayaan akibat campur tangan Erdogan yang melampaui dalam hal penggubalan dasar ekonomi.
Dalam hal Perang Ukraine pula, Erdogan mahu menjadi perantara antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Kilicdaroglu pula jika dilantik presiden akan membawa Turkiye lebih rapat dengan NATO.
Pilihan Pengundi Turkiye membabitkan 64 juta orang pasti akan membawa perubahan dalam hal ekonomi, demokrasi dan juga dasar luar negara Turkiye yang dianggap begitu berpengaruh dalam kalangan negara Islam.
Seperti mana yang telah tercetus di negara lain pengundi muda dan juga pengundi pertama kali seramai 6 juta orang bakal menentukan siapakah presiden Turkiye.
Jika diperhati jumlah pengundi Turkiye yang berada di 73 negara asing, seramai 1.8 juta orang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi, jumlah ini adalah paling terbesar dalam sejarah Pilihan Raya Turkiye, maka besar kemungkinan peratus keluar mengundi Ahad ini akan melepasi 85 peratus.
Erdogan dan Kilicdaroglu telah mempamerkan strategi kempen yang berlainan untuk digunakan bagi menarik pengundi muda.
Erdogan dihormati masyarakat antarabangsa terutama dalam hal pertahanan dan geopolitik global.
Manakala Kilicdaroglu pula menabur janji kebebasan bersuara akan dikembalikan sebagai tarikan pengundi muda.
Pengundi muda cenderung memilih Erdogan kerana seorang yang berani terutama ketika beliau membatalkan larangan memakai tudung di universiti dan pejabat kerajaan.
Kritikalnya isu kebebasan terutama sekali wanita kerana kumpulan ini merangkumi 51 peratus daripada jumlah pengundi.
Tetapi keputusan Erdogan menarik Turkiye keluar daripada Konvensyen Istanbul yang antara lain bertujuan melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga dianggap sebagai pemangkin negatif dalam kalangan pengundi wanita.
Larangan bertudung di universiti dan pejabat kerajaan yang dibatalkan Erdogan adalah keputusan popular dalam kalangan pengundi wanita.
Walaupun rakyat Turkiye begitu teruja untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Ahad, banyak rintangan terpaksa dilalui yang mungkin boleh mencacatkan proses demokrasi negara tersebut.
Daripada sejumlah 3 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi pada Februari lepas, hanya 133,000 daripada mereka ini yang telah pulang dan angka ini sudah pasti membantutkan jumlah peratus keluar mengundi.
Menjadi kebimbangan AKP kerana sebahagian besar kumpulan yang terjejas akibat gempa bumi ini adalah penyokong setia Erdogan.
Pertembungan antara Erdogan dan Kilicdaroglu dianggap menarik kerana AKP yang mendukung Erdogan dianggap parti berakar umbi Islam sementara Kilicdaroglu disokong CHP pula adalah parti diasaskan Mustapa Kamal Atartuk yang berideologi sekular.
Menarik juga jika dianalogikan pertembungan Erdogan dan Kilicdaroglu adalah bagai pertembungan Biden dan Trump untuk pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 jika hendak dikaitkan dengan hal Perang Ukraine.
Ini adalah kerana Trump lebih cenderung akrab dengan Rusia sepertimana Erdogan sementara Biden pula adalah tonggak NATO menyokong Ukraine sepertimana prinsip dasar luar Kilicdaroglu.
Sebab itu juga ada desas desus tuduhan bibit-bibit campur tangan Washington dan Kremlin menjelang Pilihan Raya Turkiye apabila Duta AS ke Turkiye, Jeff Flake dituduh mempamerkan sokongan terhadap Kilicdaroglu.
Begitu juga apabila salah seorang calon presiden iaitu Muharrem Ince menarik diri di saat akhir akibat kesan khabar angin negatif yang berpunca dari Kremlin.
Walau bagaimanapun kita berharap rakyat Turkiye mampu membuat keputusan secara bebas demi kepentingan Turkiye dan bukan kepentingan negara lain.
PENULIS PROF DR. AZMI HASSAN, Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
(Foto AFP)