fb fb fb fb fb

Pendidikan berasaskan agama dan pelaksanaanya

SAUDARA PENGARANG

Sistem pendidikan arus perdana dunia masa kini tidak mengiktiraf agama sebagai asas pendidikan berdasarkan saranan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). UNESCO tidak mengiktiraf agama sebagai asas kepada pendidikan kerana ia merupakan organisasi sekular yang mempromosikan pendidikan berdasarkan prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan, dan tanpa diskriminasi.

Bagaimanapun UNESCO mengiktiraf kepentingan kepelbagaian agama dan budaya dalam pendidikan tetapi menyokong pendidikan yang berasaskan prinsip saintifik, sosial dan kemanusiaan berbanding kepercayaan agama atau ideologi.

Tambahan pula, UNESCO menekankan kepentingan menghormati hak asasi manusia, termasuk hak kebebasan berfikir, dan agama. Ini bermakna, menurut UNESCO, pendidikan tidak seharusnya memaksakan apa-apa kepercayaan agama atau ideologi tertentu kepada pelajar tetapi harus menghormati hak dan kepercayaan individu mereka.

Malaysia sebagai negara anggota UNESCO menerima pakai banyak dasar dan prinsip serta cadangan UNESCO dalam dasar pendidikannya.  Malaysia telah bekerjasama rapat dengan UNESCO dalam pelbagai bidang, termasuk menggalakkan pendidikan inklusif dan saksama, peningkatan kualiti pendidikan, dan kemajuan prinsip hak asasi manusia, kesaksamaan gender, dan pembangunan mampan.

Khususnya, Malaysia telah bekerjasama dengan UNESCO untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) yang bertujuan untuk memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Malaysia juga telah melaksanakan program Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) UNESCO, bertujuan untuk mengintegrasikan prinsip pembangunan mampan ke dalam semua peringkat pendidikan.

Secara keseluruhannya, Malaysia mengiktiraf kepentingan prinsip dan syor UNESCO dalam membentuk dasar pendidikannya dan telah berusaha secara aktif untuk melaksanakannya dalam sistem pendidikan negaranya.

Malaysia pada dasarnya adalah sebuah negara yang berpegang teguh kepada agama sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara iaitu prinsip pertama “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, bangsa dan agama berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara. Perlembagaan Malaysia juga mengiktiraf agama Islam sebagai agaman rasmi negara. Berbanding dengan negara Amerika Syarikat di mana agama tidak dinyatakan dalam First Amendment dan kerajaan Amerika Syarikat tidak boleh mengiktiraf mana-mana agama.

Bagaimanapun, kerajaan Amerika Syarikat boleh membantu mana-mana agama hanya jika tujuan utama bantuan adalah sekular dan bantuan itu tidak boleh mempromosikan atau menghalang agama-agama tersebut.


(Foto hiasan)

Maka selayaknya sistem pendidikan Malaysia adalah berasaskan agama-agama yang wujud di Malaysia dan mengutamakan agama Islam sebagai asas pendidikan. Pelaksanaannya perlulah mengambil kira apa yang dibenarkan oleh perlembagaan Malaysia. Kita boleh mengambil kira saranan UNESCO tetapi dalam masa yang sama kita perlu ada sistem pendidikan acuan kita sendiri yang berasaskan agama mengikut konteks Malaysia.

Pendidikan berasaskan agama merujuk kepada jenis pendidikan yang menjadikan agama sebagai integral bagi semua matapelajaran dan bukan mengintegrasikan kepercayaan dan amalan agama ke dalam kurikulum.

Dalam pendidikan berteraskan agama, ajaran agama sering dimasukkan ke dalam mata pelajaran yang diajar di sekolah, seperti sejarah, sastera, dan sains. Pelajar juga mungkin dikehendaki mengikuti kelas pengajian agama, atau mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan. Pendidikan berasaskan agama menyediakan asas moral yang kukuh dan membantu menyemai nilai-nilai seperti hormat-menghormati, belas kasihan, dan merendah diri.

Falsafah dan sistem pendidikan Islam bertujuan untuk menzahirkan kebertanggungjawaban (Al-Mas’uliyyah), ikutan yang baik (Al-Qudwah Al-Hasanah) dan suasana persekitaran yang salih (Al-Bi’ah Al-Solehah) yang berasaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah SWT berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah serta pengalaman ilmuwan yang muktabar.

Kelangsungan sistem pendidikan Islam diseimbangkan melalui empat elemen insan iaitu rohani, aqal, jasmani dan emosi. Melalui tarbiyyah Qur’aniyyah tersebut maka lahirlah insan Bani Adam yang mempunyai ilmu, iman dan akhlaq mulia serta menzahirkan tanggungjawabnya kepada agama, diri, keluarga, masyarakat dan negara.  

Sistem pendidikan ini bersifat syumul dan berterusan dan menekankan kepada pembentukan insan yang beradab secara fitrah, berpaksikan al-Quran dan al-sunnah serta mempunyai kepakaran profesional dalam pelbagai bidang ilmu.

Melalui pendidikan dan penghayatan ilmu dengan kasih sayang dalam persekitaran (al-bi’ah al-solehah) akan membantu  membentuk insan  ‘organic’ dan ’emergent.’  Pembentukan insan secara ‘organic’ bermaksud membentuk insan secara menyeluruh, integral dan bukan secara terpisah.

Al-bi’ah al-solehah akan mengetepikan faktor-faktor negatif yang menjadi penghalang kepada perkembangan mental dan spiritual remaja muslim.  Pendidikan yang terbentuk dan terbina dari sistem ini akan bersifat integral dan membentuk insan ta’dibi yang berkebolehan untuk memimpin ke arah kebaikan.

Hakikatnya dalam Islam, pendidikan sebenar wajib meletakkan teras tauhid sebagai paksi. Matlamat pendidikan dalam Islam yang sebenar adalah untuk membina insan yang berperanan sebagai khalifah dalam mentadbir alam. Justeru, pembinaan dan pembentukan adab dan sahsiah pelajar merupakan elemen terpenting untuk dibangunkan dalam sistem pendidikan dan menjadi teras sebelum menggarap ilmu-ilmu lain.

Sekularisme, yang dipegang oleh UNESCO dan negara-negara lain, yang mencipta tamadun tanpa tuhan telah membawa bencana desakralisasi-dehumanisasi (desacrelization- dehumanization) secara besar-besaran.

Ideologi utamanya ialah untuk membebaskan manusia dari nilai-nilai keagamaan dan metafizikal seterusnya menyisihkan agama dari aspek kehidupan insan. Tamadun kebendaan yang hedonistik, permisif, rakus dan boros telah mentransformasikan insan menjadi manusia haiwan atau manusia robot.

Ternyata dunia yang sedang dilanda krisis ketamadunan memang memerlukan juru selamat berupa agama yang mampu mengembalikan keinsanan secara utuh, jasmani-rohani-spiritual. Ketika ini memang banyak tanda-tanda kehausan insan kepada kehidupan rohaniah. Persoalan di sekitar spritualiti sudah mula banyak diwacanakan di pelbagai ranah.

Kemunculan istilah-istilah seperti spiritual capital, spiritual entrepreneur dan lain-lain sepertinya adalah petanda jelas tentang wujudnya kerohanian yang didambakan. Yang pasti, akan ramai yang terjebak dalam ilusi dan kebingungan rohaniah apabila pencariannya dilakukan di luar agama.

Kesan dan akibat dari kerosakan nilai adab dalam pendidikan kini amat menular dirasai oleh dunia, khususnya barat. Ketika dunia korporat digegarkan oleh pelbagai skandal penyelewengan, korupsi, rasuah dan lain-lain seperti yang terjadi terhadap Volkswagen (2005), Dietmar (2005), Goodin (2011), Freddie Mac dan Fannie Mae (2003-2004), Healthsouth (2003), Martha Stewart (2002), Merill Lynch (2002),  Tyco International (2002), Worldcom (2002), XEROX (2002), ENRON (2001) dan Erome Kerviel (2008), antara pertanyaan semerta yang muncul ialah tentang apa ertinya ijazah dan kelulusan yang dimiliki oleh para pelaku skandal penipuan tersebut? Apa pula ertinya matapelajaran Etika Perniagaan yang diajarkan hampir di seluruh sekolah perniagaan di dunia?

Di Malaysia juga skandal rasuah dan salah guna kuasa seperti 1MDB, Tabung Haji dan FELDA telah menggegarkan dunia dan merupakan sejarah hitam Malaysia. Sudah tiba masanya, sistem pendidikan negara di rombak dengan menjadikan pendidikan agama sebagai asas sistem pendidikan Malaysia. Kita semua adalah hasil daripada sistem pendidikan, sama ada dalam negara atau luar negara. Sistem pendidikan di sini termasuklah yang formal, tidak formal dan non-formal.

Pendidikan formal merujuk kepada pengajaran yang berlaku di sekolah dan institusi pengajian tinggi, mengikut kurikulum dan pedagogi rasmi. Pendidikan tidak formal berlaku di luar persekitaran bilik darjah pembelajaran tradisional dan terdiri daripada program pendidikan yang terancang dan tersusun manakala pendidikan non-formal ialah tidak mempunyai program atau kurikulum yang tersusun dan piawai.

Ada pepatah Bahasa Inggeris yang berbunyi: "It takes a village to raise a child”.

PENULIS AHMAD YANI ISMAIL, Pensyarah/Penyelidik Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Selangor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu