fb fb fb fb fb

COVID-19: Darurat global tamat, sudah selamatkan kita?

(Foto hiasan/AFP)

ULASAN BERITA

Lega, namun tetap perlu waspada. Itu reaksi kebanyakkan pihak apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) mengisytiharkan bahawa COVID-19 bukan lagi darurat kesihatan global.

Tetapi, dengan pengumuman itu, adakah kita sudah benar-benar selamat daripada virus tersebut? Dalam tempoh lebih tiga tahun penularan COVID-19, banyak sungguh pengorbanan yang dituntut.

Kemuncak penularan wabak pada Mac 2020, telah membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, (PKP). Keadaan semasa itu seperti darurat. Agaknya itulah yang dialami oleh nenek moyang kita masa zaman darurat menentang komunis pada era 1940-an.

Bezanya, zaman itu, mereka berperang dengan pengkhianat negara. Kita pula berperang dengan musuh yang tidak nampak dengan mata kasar. Kebebasan kita benar-benar terbatas.

Tidak boleh ke mana-mana, hanya kekal di rumah. Masa itu, aktiviti makan, tidur amatlah popular.

Dek kerana aktiviti yang terbatas, ramai juga mula asah bakat memasak. Macam-macam resepi unik muncul seperti Dalgona Coffee, lemang cawan, apam balik kuali hingga ke kek periuk nasi.

Malah, ada satu masa, negara turut gempar dengan kehabisan roti Gardenia di pasaran. Selepas tu kita lalui pula PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Bermula dengan pelaksanaan selama dua minggu, fasa PKP, PKPB, PKPP dan PKPD akhirnya berlanjutan sehingga dua tahun.

Hingga kita terbiasa dengan norma baharu yang memerlukan kita mematuhi Prosedur Operasi Standard, (SOP) membendung penularan wabak COVID-19.


(Ghebreyesus, ketika mengumumkan COVID-19 tidak lagi merupakan
darurat kesihatan global pada 5 Mei 2023/AFP)

Berbalik kepada status darurat kesihatan global, Jawatankuasa Kecemasan WHO pertama kali mengisytiharkan COVID-19 sebagai tahap amaran tertinggi bermula 30 Januari 2020.

Status itu membantu menumpukan perhatian antarabangsa kepada ancaman kesihatan, serta mengukuhkan kerjasama berkait pemberian vaksin dan rawatan.

Ketika mengumumkan penamatannya tempoh hari, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan, keputusan itu dipertimbangkan dengan teliti oleh panel pakar WHO sejak sekian lama.

Malah, ia dibuat berdasarkan analisis data yang terperinci. Namun, ini tidak bermakna bahaya virus korona itu, telah berakhir.

Beliau memberi amaran bahawa COVID-19 kekal sebagai ancaman besar. Menurut Ghebreyesus, status darurat tersebut boleh diaktifkan semula jika keadaan berubah menjadi buruk.

China juga senada dengan WHO. Ketua panel pakar tindak balas COVID-19 China, Liang Wannian berkata, penamatan status amaran tertinggi itu, tidak bermakna COVID-19 akan hilang. Cuma, impaknya boleh dikawal dengan berkesan.

Hakikatnya, COVID-19 masih merupakan sejenis virus yang membunuh dan terus bermutasi. Dalam tempoh lebih tiga tahun penularannya, ia meragut hampir 7-juta nyawa di seluruh dunia.

Di Malaysia sendiri, 37,038 orang terkorban, berdasarkan data KKMNOW setakat semalam. Lebih 5.04-juta pula dijangkiti.

Meski ramai yang telah mendapat suntikan vaksin COVID-19, kita tidak boleh menganggap vaksinasi sebagai ‘pasport imuniti.’ Masyarakat, tiada pilihan selain perlu kekal mematuhi SOP.

Selama lebih tiga tahun kita hidup dengan norma baharu. Jadi, sepatutnya tidak jadi masalah pun untuk kita meneruskan amalan 3S dan 3W. "Alah bisa tegal biasa"

Justeru, keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus mengekalkan S-O-P COVID-19, wajar. Walaupun status darurat kesihatan global telah ditamatkan, kerajaan perlu memastikan kesiapsiagaan kesihatan awam berada pada tahap terbaik.

Dari segi sumber manusia, kemudahan, keupayaan serta kebolehdapatan kemudahan fasiliti kesihatan. Selain, peruntukan kewangan dan perubatan mencukupi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan, Jawatankuasa Teknikal memberi pandangan kepada KKM untuk terus mengekalkan SOP yang ada ketika ini. Termasuk di kawasan tempat jangkitan, yang sepatutnya berakhir hujung Jun depan.

Bagaimanapun, KKM menerusi Jawatankuasa Teknikal akan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai perkara itu. Pokok pangkal, semua pihak perlu sabar dan bertenang.

Tidak perlu terburu-buru untuk kembali kepada amalan lama dalam kehidupan seharian kita. "Biar lambat, asal selamat". Kalau keadaan kembali memburuk, kita juga yang akan merana.

Cuba tanya diri sendiri.. sanggupkah kita melalui episod PKP lagi pada masa hadapan? Tepuk dada, tanyalah hati sendiri.

PENULIS EMMI NORALIZA ADNAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu