SAUDARA PENGARANG
Dunia hari ini menyaksikan kandungan maklumat menguasai kebanyakan apa yang kita rancang dan laksanakan dalam pemikiran dan perbuatan kita. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa teknologi maklumat telah berjaya merubah pemikiran masyarakat dengan menampilkan pelbagai isu dan penerokaan ilmu baru dari semasa ke semasa.
Rangkaian maklumat ini adalah sebenarnya hasil "penjajahan minda" yang terbesar dalam kalangan pengguna siber dan masyarakat dunia. Ia berpunca daripada agenda negara-negara barat yang berniat untuk memperluaskan pemikiran budaya yang mencerap pengertian kebebasan manusia berkomunikasi antara satu sama lain.
Namun begitu, dalam kerancakan menikmati teknologi pantas dan canggih tersebut, sering kali para pengguna Dunia Siber ini terlupa bahawa mereka terjebak dalam lambakan kandungan maklumat siber yang boleh memberi implikasi positif atau sebaliknya kepada mereka.
Sumbangan positif boleh dilihat daripada segi percambahan idea-idea baharu, rangkaian ilmu pengetahuan yang bernilai infiniti atau tidak berpenghujung dan membina hubungan komunikasi yang mantap tanpa sempadan.
Sebaliknya, lambakan kandungan maklumat ini akan mengundang pelbagai masalah psikologi, emosi dan gangguan kepada peinsip kehidupan seperti masalah ketagihan internet, kemurungan individu, kecelaruan identiti akibat tidak dapat membezakan di antara kehidupan realiti dan penyamaran dunia virtual serta jenayah siber.
Dalam hal ini, kita terpaksa menghadapi pelbagai implikasi negatif yang "menyerang" rentak pemikiran masyarakat kita apabila kebanyakan daripada masyarakat kita terpedaya dengan anasir-anasir jenayah yang berpunca daripada penyalahgunaan kandungan siber.
Banyak negara maju pada masa kini sedang mengkaji mekanisme untuk mengawal pengaruh negatif kandungan maklumat siber yang banyak mendatangkan kerosakan di negara-negara mereka. Selain daripada penguatkuasaan regulasi dan peraturan, mereka mencuba pendekatan berbeza, iaitu memberi pendidikan kesedaran kepada masyarakat untuk menapis kandungan maklumat tersebut berpandukan kepada kematangan dan rasional fikiran masyarakat.
Dengan kaedah sedemikian, masyarakat menjadi agen penting dalam menentukan tapisan penerimaan lambakan maklumat yang diperolehi mereka setiap masa. Dalam konteks Malaysia, sejak internet bertapak di negara kita pada akhir 1996 lagi, pelbagai cabaran dihadapi oleh kerajaan dan pengguna teknologi ini, telah mengundang penggubalan Undang-undang Siber pada tahun 1998 di negara ini.
Salah satu akta yang menjadi teras kepada Undang-undang siber itu ialah Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588). Akta ini menunjukkan sikap proaktif kerajaan untuk mengadapi gelombang teknologi maklumat yang pantas dan berupaya memberi ancaman kepada dunia kehidupan masyarakat Malaysia sekiranya tidak dibendung.
Sikap optimistik kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) rentetan daripada fenomena ini telah membuka suatu ruang baharu kepada masyarakat pengguna media baru di negara ini untuk menikmati teknologi canggih itu dengan berhemah.
Sejak Malaysia memperkenalkan satu mekanisme amalan penapisan maklumat media yang dipanggil Pengawalseliaan Kendiri (Self-regulation), masyarakat pengguna media diberi pendidikan merangsang sikap berhemah bagi mengawal impak kandungan media secara berhemah.
Mekanisme ini telah pun diamalkan oleh beberapa negara maju untuk mendidik masyarakat mereka menapis kandungan-kandungan media yang jelik atau memberi ancaman keganasan kepada negara dan pendiuduk negara tersebut. Kaedah sama dilaksanakan di negara ini ialah dengan menggunakan garis panduan "Kod Kandungan Media" yang diperkenalkan oleh Forum Kandungan dan Multimedia Malaysia (CMCF), satu badan di bawah SKMM. Secara rujukannya, kita boleh mengakses Kod Kandungan tersebut di www.cmcf.my.
Kod Kandungan ini bertujuan untuk menjadi panduan kepada pihak media dan pengguna menerbit kandungan media yang bersesuaian dengan estetika budaya dan peradaban masyarakat majmuk negara ini dan menjadi tanda aras kepada sistem kawalan kandungan media yang membolehkan pemain industri media menghasilkan kandungan media tempatan yang bermutu tinggi, sesuai untuk tontotan pengguna negara ini dan mencerminkan kemurniaan identiti nasional.
Apakah kandungan jelik yang tertera dalam kod kandungan
Bagi menjelaskan kategori dan klasifikasi kandungan jelik itu, ada dinyatakan dalam Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu kandungan yang mengandungi unsur perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu,mengancam atau dengan niat untuk mengacau,mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
Pelanggaran bawah seksyen tersebut akan menyebabkan seseorang yang melanggar suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun.
Bagaimana mengawal selia kandungan media
Sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap penularan kandungan media, kita harus mempunyai daya keprihatinan untuk menilai sama ada kandungan tersebut bersesuaian atau tidak terhadap diri kita dan estetika pemgamalan budaya yang kita amalkan.
Sekiranya kandungan media atau kandungan maklumat yang terhidang di hadapan kita tersebut bersifat jelik dan tidak bersesuaian, maka kita boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa,iaitu SKMM, polis atau pihak-pihak berkuasa untuk membolehkan mereka menyiasat, mengambil tindakan dan menghukum media atau individu yang bertanggungjawab menyiarkan maklumat palsu.
Dengan cara seperti itu, kita akan dapat menyaring maklumat mengikut acuan persepsi dan budaya masyarakat kita, sekali gus dapat memelihara kemurnian peranan media dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Justeru, menjadi suatu tanggungjawab penting bagi setiap anggota masyarakat untuk memastikan bahawa kita harus prihatin setiap masa dengan apa juga bentuk kandungan media dan kandungan maklumat yang dihidangkan kepada kita.
Tanpa menyelidik dan memantau kandungan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat kita, pihak media atau penyedia maklumat dalam media siber akan sewenang-wenangnya menggunakan pengaruh mereka untuk mengekspoitasikan maklumat-maklumat tersebut demi kepentingan mereka.
Pendidikan dan kesedaran menangani penyelewengan dan eksploitasi maklumat ini haruslah dikembangkan ke semua pihak ,termasuklah di bangku persekolahan lagi. Generasi Ketiga seharusnya dibimbing untul memperaktiskan sifat keprihatinan mereka untuk memilih bahan bacaan atau bahan media yang bersifat positif, memberi faedah dan mengekalkan unsur moral yang baik dalam kalangam anak-anak muda ini.
Kematangan memilih bahan-bahan media seperti ini seharusnya dikongsikan bersama ahli keluarga dan golongan pendidik di sekolah mahu pun di IPT nanti. Dengan harapan sebeginilah, kita boleh menyaksikan kelestarian pemurnian kandungan media dan kandungan maklumat yang boleh memimpin generasi akan datang mempertahankan prinsip kehidupan yang mereka nikmati pada hari ini.
PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.