SAUDARA PENGARANG
Pengagihan sumber ekonomi yang efektif adalah asas kepada pembangunan negara yang seimbang dan mampan.
Apabila sumber seperti modal, tenaga kerja dan teknologi diagihkan secara adil, rakyat dapat menikmati faedahnya.
Sebaliknya, pengagihan yang tidak cekap boleh menyebabkan ketidaksamaan yang lebih besar, merencatkan pertumbuhan ekonomi dan menyebabkan ketidakstabilan sosial.
Di Malaysia, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan pengagihan sumber yang lebih adil, terutama di kawasan luar bandar dan golongan yang memerlukan.
Pengagihan sumber ekonomi yang efektif dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pengagihan yang adil meningkatkan kualiti hidup rakyat, terutama golongan miskin.
Program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) membantu golongan B40 dan M40 mengatasi kesulitan hidup akibat kenaikan harga barang.
Ini menunjukkan bahawa bantuan yang tepat pada masanya dapat mengurangkan beban rakyat.
Pembangunan infrastruktur luar bandar adalah salah satu contoh pengagihan yang berkesan.
Projek seperti pembinaan Jalan Raya Gua Musang-Kuala Krai membantu penduduk luar bandar mengakses pasaran dan kemudahan asas, sekali gus merangsang ekonomi tempatan.
Dengan infrastruktur yang baik, rakyat dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.
Pengagihan sumber yang adil mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Inisiatif seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) memberi peluang latihan kemahiran kepada golongan muda yang kurang berkemampuan.
Ini membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan ketidaksamaan sosial.
Sebaliknya, pengagihan yang tidak cekap menimbulkan banyak masalah iaitu ketidaksamaan ekonomi yang meningkat.
Jika sumber tidak diagihkan secara adil, jurang antara golongan kaya dan miskin akan semakin melebar.
Ini boleh menyebabkan ketidakstabilan sosial dan ekonomi.
Sebagai contoh, pengurusan yang tidak telus dan pembaziran dalam projek pembangunan akan menyebabkan dana yang sepatutnya digunakan untuk membantu golongan miskin disalahgunakan.
Ketidakcekapan dalam pengurusan dana menyebabkan pembaziran, seperti projek yang tergendala atau tidak membawa manfaat.
Tanpa pengagihan yang telus, rakyat akan kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan dan ekonomi negara akan terjejas dan kawasan luar bandar mungkin terlepas peluang untuk berkembang.
Contohnya, jika projek pembinaan jalan raya atau bekalan air tidak dilaksanakan dengan cekap, penduduk luar bandar terus bergelut dengan kemiskinan dan kekurangan peluang.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan RM394.4 bilion memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan kesejahteraan rakyat.
Program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan peningkatan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran adalah langkah penting dalam memastikan pengagihan sumber yang lebih adil.
Pengagihan sumber ekonomi yang cekap sangat penting untuk kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Dengan memastikan pengagihan yang adil, kerajaan dapat mengurangkan ketidaksamaan dan mewujudkan peluang yang lebih besar untuk semua golongan.
Namun, pengagihan yang tidak cekap hanya akan merugikan negara dan rakyat.
Melalui Belanjawan 2024, kerajaan Malaysia berusaha memperkukuh pengagihan sumber yang lebih berkesan demi masa depan negara yang lebih sejahtera.
Ramai yang mungkin belum sedar pengagihan ekonomi dan pengasingan sosial adalah berkait rapat.
Apabila pengagihan kekayaan dan sumber tidak sekata, ia boleh membawa kepada pembentukan kumpulan sosial yang berbeza berdasarkan status sosioekonomi.
Pengasingan ini boleh nyata dalam pelbagai cara, termasuk:
- Susunan kediaman: Mereka yang daripada latar belakang sosioekonomi yang berbeza mungkin tinggal di kawasan kejiranan yang berasingan, mengehadkan interaksi dan peluang mereka.
- Akses pendidikan: Kanak-kanak daripada keluarga yang lebih kaya mungkin mempunyai akses kepada sekolah dan sumber yang lebih baik, manakala mereka daripada keluarga miskin mungkin mempunyai peluang pendidikan yang terhad.
- Sosioekonomi pekerjaan: Mereka daripada latar belakang sosioekonomi yang berbeza mungkin bekerja dalam industri atau profesion yang berbeza, mengehadkan interaksi sosial mereka dan peluang untuk mobiliti ke atas.
- Jurang sosial: Orang daripada latar belakang sosioekonomi yang berbeza mungkin menerapkan nilai jurang sosial berbeza dan hanya berhubung dalam komuniti ekonomi yang sama.
Kesan daripada pengagihan ekonomi yang tidak sekata ini menyebabkan akibat negatif kepada kedua-dua individu dan masyarakat secara keseluruhan.
Ini termasuklah peningkatan ketidaksamaan, mobiliti sosial yang berkurang, peningkatan konflik sosial berbeza serta kurangnya perpaduan sosial.
Bagi menangani jurang pengasingan akibat ketidakseragaman kesaksamaaan sosial dan ekonomi yang lebih besar, kerajaan dan masyarakat seharusnya menggalakkan pelaburan pendidikan awam.
Melaluinya, semua kanak-kanak dapat mengakses pendidikan lebih berkualiti serta mampu menyamakan kedudukan daripada segi ekonomi dalam masa yang panjang.
Kerajaan juga mempromosikan perumahan mampu milik bagi memastikan orang ramai mempunyai akses kepada perumahan seperti ini dan dapat mengurangkan jurang sosial dari segi kediaman, meningkatkan perpaduan sosial dan interaksi masyarakat dari berbilang jenis ekonomi.
Menerusi program pembangunan tenaga kerja juga boleh membantu orang daripada latar belakang sosioekonomi yang lebih rendah memperoleh kemahiran dan latihan yang mereka perlukan untuk mencari pekerjaan bergaji tinggi.
Kesimpulannya, ketidaksamaan ekonomi dan pengasingan sosial adalah isu kompleks dengan akibat yang meluas.
Dengan mengambil langkah untuk menangani isu-isu ini, kita boleh mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan saksama untuk semua.
Pembangunan ekonomi yang makmur dapat menyumbang kepada setiap lapisan rakyat dalam pembentukan negara yang bersifat cemerlang dan MADANI.
Bagi menyanjung tinggi usaha Perdana Menteri ke-10 Malaysia, dalam amanatnya pada 19 Januari 2023, meluncurkan Malaysia MADANI sebuah kerangka visi baru buat negara, suatu ikhtiar nirmala yang bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang MADANI, maju, terampil dan terangkum.
Maka dengan itu usaha menangani kesaksamaan pengagihan ekonomi haruslah bersifat strategi dalam memangkin hasrat dan amanat pemimpin serta rakyat Malaysia amnya.
PENULIS, DR NOR HATIZAL AMARUL SHAH, Pensyarah Kanan Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai dan DR NORAZIAHTULHIDAYU KAMARUDIN, Pensyarah Kanan Jabatan Multimedia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.