SAUDARA PENGARANG
Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang mencakupi teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan data raya, terus mengubah landskap pekerjaan di seluruh dunia. Bagi Malaysia, kesediaan institusi pendidikan, terutama politeknik dalam menyiapkan graduan yang cekap menghadapi teknologi ini amat penting.
Dalam konteks ini, penglibatan politeknik dalam pendidikan digital melalui pengemaskinian silibus menjadi langkah utama bagi memastikan para pelajar dilengkapi dengan kemahiran yang relevan.
Sebagai institusi berteraskan latihan teknikal dan vokasional (TVET), politeknik berperanan besar dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri semasa. Seiring dengan cabaran IR 4.0, politeknik di Malaysia telah mula menambah baik silibus, termasuk memperkenalkan mata pelajaran dan modul yang memfokuskan kepada kemahiran digital.
Langkah ini bertujuan membolehkan pelajar memahami dan mengalikasikan teknologi moden dalam persekitaran kerja. Kementerian turut memperkenalkan pelbagai kursus baharu yang disesuaikan dengan keperluan digitalisasi industri.
“Politeknik kini mengajar subjek seperti pengaturcaraan robotik, analisis data dan penggunaan perisian automasi dalam kursus-kursus teknikal. Langkah ini adalah usaha untuk memastikan graduan politeknik tidak hanya mempunyai kemahiran teknikal asas, tetapi juga mampu mengendalikan sistem digital yang semakin meluas penggunaannya dalam industri,” katanya.
Selain itu, penggunaan teknologi digital dalam proses pembelajaran turut diperkasakan. Sistem pembelajaran dalam talian, penggunaan simulasi Perindustrian dan amalan makmal maya memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori dalam persekitaran digital.
Ini membolehkan mereka mengembangkan kemahiran secara praktikal, walaupun tidak berada di lapangan sebenar. Malah, penggunaan aplikasi realiti maya (VR) dan realiti tertimbuh (AR) membantu memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar dalam bidang seperti kejuruteraan dan automotif.
Pendekatan ini memberi mereka pengalaman hampir sama seperti bekerja dengan mesin sebenar.
Namun, pelaksanaan pendidikan digital ini tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Salah satu cabaran utama adalah kesediaan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar yang mempunyai akses internet yang terhad.
Untuk menjayakan pendidikan digital, politeknik memerlukan sokongan teknologi seperti sambungan internet yang stabil dan peranti terkini kerana tanpa akses yang mencukupi, pelajar di kawasan luar bandar mungkin akan terus ketinggalan.
Di samping itu, pensyarah juga perlu menjalani latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam teknologi digital. Latihan ini penting bagi membolehkan mereka mengajar pelajar menggunakan aplikasi dan perisian terkini dengan lebih efektif.
Pihak kerajaan dan institusi pendidikan sedang berusaha menangani kekangan ini melalui program peningkatan kapasiti, yang memberi peluang kepada pensyarah untuk mengikuti kursus pendek berkaitan teknologi digital.
Langkah ini membuktikan komitmen politeknik dalam memastikan pelajarnya bersedia menghadapi perubahan besar yang dibawa oleh IR 4.0.
Pendidikan digital yang diterapkan dalam silibus politeknik bukan sahaja memenuhi kehendak semasa, malah turut memberi kelebihan kepada graduan untuk bersaing di peringkat global.
Dengan pelaksanaan ini, Malaysia bergerak selangkah lebih dekat dalam mencapai matlamatnya sebagai negara yang berdaya saing dalam era digital. Jika kesemua pihak, termasuk kerajaan, politeknik dan pelajar sendiri terus memberikan komitmen tinggi, graduan TVET yang dilahirkan bukan sahaja bersedia untuk IR 4.0 malah turut menjadi pencetus perubahan dalam pelbagai sektor industri.
PENULIS, SITI NOOR ADNAN, Pensyarah Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai dan DR NORHAMREEZA ABDUL HAMID, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.