fb fb fb fb fb

Kesihatan mental remaja, isu kritikal perlu tindakan segera

Foto hiasan/ Portal UTHM

SAUDARA PENGARANG

Masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja di Malaysia semakin meruncing dan perlu diberi perhatian lebih serius. Kajian terkini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada tiga remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami masalah mental, dengan gejala seperti kemurungan, kecemasan, gangguan stress pascatrauma (PSTD), gangguan bipolar, skizofrenia, gangguan makan, obsessive-compulsive disorder (OCD), gangguan personaliti, fobia, demensia dan tekanan emosi yang berterusan.

Fenomena ini memberi petunjuk bahawa kesihatan mental dalam kalangan remaja perlu ditangani segera untuk mengelakkan kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan mereka. Kesihatan mental yang baik memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian remaja dan boleh membantu remaja membina hubungan yang sihat dengan rakan dan keluarga.

Kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2023 mendapati hampir 47 peratus pelajar sekolah menengah melaporkan mengalami simptom kemurungan, manakala 39 peratus mengaku berasa cemas dan tertekan secara berkala. Peningkatan penggunaan media sosial, cabaran akademik dan masalah keluarga dilihat sebagai punca utama yang menyumbang kepada peningkatan masalah mental dalam kalangan pelajar.

Isu ini menjadi lebih parah selepas pandemik COVID-19, yang menambah tekanan psikologi dalam kalangan pelajar akibat pembelajaran dalam talian dan kehilangan interaksi sosial.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh mengenai isu kesihatan mental sebagai keutamaan kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta untuk memperluaskan akses perkhidmatan sokongan kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja.

“Kerajaan akan menyediakan lebih banyak program sokongan kesihatan mental di sekolah-sekolah dan universiti serta memperkenalkan kempen kesedaran untuk menghapuskan stigma terhadap masalah mental. Kita tidak boleh membiarkan remaja kita terus terpinggirkan kerana masalah kesihatan mental,” ujar Datuk Seri Anwar.

Beliau juga menyarankan agar pendidikan kesihatan mental dimulakan sejak di bangku sekolah, dengan memberi penekanan kepada pentingnya sokongan sosial dan kaunseling kepada pelajar. Program ini akan memberi lebih banyak peluang untuk remaja mengakses bantuan yang diperlukan tanpa rasa takut atau malu.

Masalah kesihatan mental yang tidak ditangani dengan baik boleh memberi impak besar kepada produktiviti dan pembangunan negara. Remaja yang terjejas dengan masalah mental berisiko untuk gagal dalam pendidikan, sukar menyesuaikan diri dalam masyarakat dan berhadapan dengan cabaran kerjaya di masa depan.

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya sejak awal lagi.

Sebagai langkah lanjut, kerajaan juga akan memperkenalkan lebih banyak program sokongan mental di sekolah dan universiti, serta menggalakkan kerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan kaunseling dan terapi psikologi yang lebih mudah diakses.

Dengan sokongan yang tepat, remaja Malaysia dapat mengatasi masalah kesihatan mental ini dan berkembang menjadi individu yang lebih sihat secara fizikal dan mental, sekali gus memberi impak positif kepada masa depan negara.

PENULIS, NORHAYATI ABDUL HAMID, Pensyarah Jabatan Perdagangan, Politeknik Seberang Perai dan DR RABATUL ADUNI SULAIMAN, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

ROSLINA BINTI DIN