SAUDARA PENGARANG
Kebanyakan penjawat awam ketika ini dapat menarik nafas lega kerana mereka bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai penghujung tahun 2024. Sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji ini adalah pada kadar 13 peratus.
Kesan Kenaikan Gaji terhadap Taraf Hidup
Persoalannya, adakah kadar kenaikan gaji yang diumumkan ini mampu membantu penjawat awam dalam meningkatkan taraf hidup? Dilema ini sering menghantui penjawat awam yang mempunyai cita-cita meningkatkan taraf pendidikan demi masa depan.
Secara rambang, kenaikan gaji yang diumumkan masih belum boleh menjamin yang penjawat awam mampu menyambung pengajian bagi tujuan meningkatkan taraf hidup.
Menghadapi situasi di mana gaji tidak mencukupi tetapi masih ingin menyambung pengajian untuk meningkatkan taraf hidup adalah satu keputusan yang mencabar namun bijak.
Manfaat melanjutkan pengajian untuk masa depan
Dengan mengambil kira cabaran yang mana tahap pendapatan dan simpanan wang mungkin terhad, melanjutkan pengajian boleh membuka peluang kepada pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan jauh lebih tinggi pada masa hadapan.
Pilihan biasiswa dan pinjaman pendidikan
Beberapa langkah boleh dipertimbangkan oleh penjawat awam, antaranya dengan mendapatkan biasiswa dan pinjaman pendidikan. Seperti yang kita maklum, terdapat beberapa institusi dan organisasi yang menawarkan biasiswa atau pinjaman pendidikan kepada bakal pelajar, terutamanya yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung bayaran yuran pengajian.
Pengajian sambilan atau dalam talian sebagai alternatif
Langkah kedua yang boleh dipertimbangkan oleh penjawat awam ialah menyambung pengajian sebagai pelajar sambilan atau dalam talian. Pertimbangkan untuk menyambung pengajian secara sambilan atau melalui program dalam talian ini membolehkan penjawat awam untuk terus bekerja sambil belajar, dan kosnya mungkin jauh lebih rendah berbanding program sepenuh masa.
Pengurusan kewangan melalui simpanan
Seterusnya, penjawat awam boleh juga memilih untuk menguruskan kewangan yang bijak melalui kaedah menabung. Senaraikan bajet yang ketat dan cuba kurangkan perbelanjaan tidak perlu. Simpanan yang sedikit tetapi konsisten boleh membantu dalam jangka masa panjang.
Membuat pinjaman bank
Selain itu, membuat pinjaman bank boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan dalam menyambung pengajian. Walaubagaimanapun, untuk menyambung pengajian dan membuat pinjaman bank adalah keputusan yang perlu dipertimbangkan dengan teliti. Kadar faedah yang kompetitif membuatkan sesetengah bank menawarkan kadar faedah yang rendah atau tempoh pembayaran balik yang fleksibel untuk pinjaman pendidikan.
Bantuan majikan untuk menyambung pengajian
Akhir sekali, penjawat awam boleh juga mempertimbangkan bantuan majikan melalui bantuan kewangan dan program pinjaman pengajian yang ditawarkan.
Contohnya, sesetengah majikan menawarkan bantuan pendidikan kepada pekerja yang ingin meningkatkan kelayakan mereka.
Secara kesimpulannya, menyambung pengajian dengan pendapatan yang sederhana adalah satu pelaburan untuk masa depan. Tidak dinafikan terdapat risiko yang perlu dipertimbangkan seperti bebanan hutang, tetapi dengan perancangan yang teliti, kejayaan pasti dapat dikecapi.
Dalam jangka masa panjang, ini mungkin membantu penjawat awam mencapai kestabilan kewangan dan akhirnya berjaya mengubah taraf kehidupan masing-masing.
PENULIS DR NURUL HUDA HAMZAH merupakan pensyarah kanan di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.