fb fb fb fb fb

Banteras wabak Mpox perlu usaha bersama semua pihak

Foto hiasan/AFP

SAUDARA PENGARANG

Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-baru ini mengisytiharkan deklarasi kecemasan untuk jangkitan cacar monyet atau nama rasmi Mpox. Ia merupakan kali kedua dalam tempoh dua tahun. Kali pertama pada tahun 2022 setelah wabak cacar monyet didapati merebak di beberapa negara Afrika turut menjangkiti negara Eropah dan dilaporkan di 116 buah negara lain.

Ia bagaimanapun menurun, serta menunjukkan tiada petanda wabak berterusan mengancam kesihatan global. Bagaimanapun baru-baru ini, terdapat pertambahan kes luar biasa sekali lagi diiikuti kematian mendadak dalam jumlah agak besar akibat jangkitan yang berlaku di negara-negara Afrika Tengah.

Negara Republik Demokratik Congo khasnya mencatatkan pola jangkitan tertinggi dengan sejumlah 14,151 kes disyaki dengan 2,638 kes disahkan sebagai Mpox manakala 511 kematian dicatatkan. Sejumlah kes juga dicatatkan di negara-negara bersempadan dengan Republik Demokratik Congo iaitu Burundi, Rwanda, Republik Rakyat Congo, Uganda serta beberapa buah negara lain.

Kajian molekul mendapati taburan strain Mpox untuk deklarasi kali kedua ini agak berbeza berbanding ketika wabak pada tahun 2022 dahulu. Pada tahun 2022 dahulu, strain yang dominan ialah clade 2.

Jangkitan akibat clade 2 biasanya tidak serius manakala pesakit berpotensi pulih seperti biasa. Kesan klinikal akibat jangkitan Mpox bergantung kepada jenis strain yang menjangkiti serta keadaan kesihatan seseorang iaitu tahap sistem imun yang kompeten dan faktor penyakit kronik tertentu.

Ia biasanya pulih sepenuhnya dalam kebanyakan kes kecuali mereka yang berisiko mendapat jangkitan teruk seperti kanak-kanak, wanita hamil, mereka yang kurang daya tahan serta warga emas.

Ketika ini didapati strain utama yang sedang merebak adalah campuran dari strain clade 1 dan clade 2. Untuk jangkitan Clade 1, ia dibahagikan lagi kepada 2 jenis iaitu 1a dan 1b, yang mana dalam kawasan jangkitan strain clade 1a dominan, majoriti yang dijangkiti adalah kanak-kanak manakala di zon yang mempunyai tularan strain 1b, majoritinya adalah dewasa.

Jangkitan akibat Clade 1 ini lebih serius serta menyebabkan jangkitan yang agak teruk sehingga berupaya menyebabkan kematian. Daripada sejumlah kematian direkodkan di negara-negara Afrika berkenaan, dua pertiga daripada kematian adalah dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang dari 15 tahun, kebanyak kes melibatkan kaum lelaki.

Kajian wabak Mpox pada awal tahun ini di zon terpilih Republik Demokratik Congo mendapati cara tularan utama adalah melalui jangkitan hubungan sejenis (seks), jangkitan sesama isi rumah, juga jangkitan daripada haiwan (zoonotik).

Sepertiga daripada jangkitan yang berlaku merupakan dalam kalangan pekerja yang menawarkan khidmat seks, manakala 88% dalam kalangan mereka yang perlu dimasukkan ke wad adalah kalangan mereka yang mempunyai sejarah terlibat dalam urus niaga melibatkan perkhidmatan seks. Sistem prasarana kesihatan awam yang tidak begitu memuaskan turut dikaitkan dengan angka jangkitan Mpox serta kematian yang tinggi.

Tiada bekalan air bersih yang memuaskan serta keadaan sanitasi sekitaran yang buruk menyebabkan tularan di Republik Demokratik Congo itu sukar dibendung. Dari analisa semasa, penyelesaian utama kepada masalah wabak Mpox ialah mengubah tingkah laku sosial masyarakat yang berisiko kepada memilih cara hidup berkeluarga yang sihat.

Hubungan seks rambang dan bertentangan nilai budaya dan agama perlu dielakkan serta dihentikan serta merta. Mengamalkan kebersihan tangan, kebersihan diri, memakai pelitup muka serta mengelakkan berada dalam kalangan mereka yang diketahui berisiko juga penting untuk di amalkan.

Pada masa ini, konteks tularan yang boleh menjangkiti kalangan mereka yang tidak terlibat dalam aktiviti seks rambang sehingga menyebabkan kematian adalah suatu perkara serius yang.

Meskipun sebahagian kita terlindung dari mendapat jangkitan hasil daripada antibodi yang pernah diperolehi daripada vaksin cacar air satu ketika dahulu, namun sebahagian besar anak-anak kita yang tidak pernah menerima vaksin terdedah kepada bahaya tularan.

Anggota barisan hadapan terutama dalam sektor perkhidmatan kesihatan juga terdedah kepada bahaya risiko tularan. Dari sudut kesihatan awam serta potensi berlakunya wabak, sudah pasti vaksin merupakan senjata paling ampuh dalam mengekang perebakan Mpox.

Vaksin cacar monyet yang boleh diperolehi di sebahagian negara seperti di Amerika Syarikat, masih belum tersedia di negara kita buat masa ini. Tinjauan di lapangan iaitu klinik dalam kalangan pengamal swasta, mendapati ia masih belum sedia diperolehi.

Untuk mengelak potensi ledakan wabak, seisi masyarakat di negara kita perlu berubah dan mengamalkan cara hidup sihat. Aktiviti berisiko melalui hubungan seks rambang dan amalan hubungan seks berisiko yang lain perlu dihentikan.

Pengalaman kita ketika berdepan pandemik COVID-19 yang lalu memberikan pengajaran ‘keras’ bahawa bergantung dan mengharapkan semata-mata kepada perubahan tingkah laku adalah agak sukar untuk membendung penularan wabak apabila ia telah mula memuncak.

Sebelum jangkitan berlaku, pendekatan tingkah laku dan amalan kesihatan positif untuk mengekang jangkitan dan melindungi individu rentang merupakan tanggngjawab kita bersama.

PENULIS PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI