SAUDARA PENGARANG
Pendekatan pembangunan semula yang mampan, lestari dan berpaksikan komuniti amat penting dalam memulihkan kawasan yang terjejas akibat peperangan, penindasan, bencana alam, atau kemiskinan. Sejarah membuktikan bahawa pembangunan yang dikawal pihak asing sering kali gagal memenuhi keperluan sebenar masyarakat setempat kerana mereka tidak memahami realiti kehidupan penduduk. Lebih membimbangkan, ada kes yang mana bantuan luar lebih mengutamakan kepentingan politik dan ekonomi tertentu berbanding kesejahteraan penduduk tempatan.
Konsep "Oleh Komuniti, Untuk Komuniti" disaran sebagai penyelesaian terbaik bagi memastikan pembangunan semula benar-benar memenuhi keperluan penduduk serta memperkasakan mereka untuk berdikari dan membina masa depan yang lebih cerah.
Contoh jelas dapat dilihat di Palestin, yang mana kemusnahan akibat konflik memerlukan pembangunan semula yang segera. Namun, campur tangan asing sering memperlahankan proses itu disebabkan kepentingan geopolitik dan birokrasi yang menyulitkan bantuan. Banyak projek pembangunan yang dibiayai organisasi antarabangsa tertangguh atau terbengkalai akibat sekatan politik dan dasar diskriminasi yang dikenakan terhadap mereka.
Setiap negara perlu diberikan kebebasan penuh untuk membangunkan tanah air mereka tanpa pengaruh asing yang tidak diingini. Masyarakat yang mengalami penderitaan akibat konflik atau bencana lebih memahami keperluan mereka sendiri, justeru mereka wajar diberikan kuasa mutlak untuk menentukan hala tuju pembangunan semula negara mereka.
Antara elemen utama pendekatan ini ialah keterlibatan aktif komuniti dalam merancang pembangunan semula. Setiap komuniti mempunyai keperluan unik yang hanya mereka fahami dengan mendalam. Oleh itu, perundingan antara masyarakat setempat dengan pihak berkuasa atau badan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi mengenal pasti projek yang benar-benar relevan. Infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, perumahan selamat, sekolah dan pusat kesihatan harus diutamakan agar keperluan asas masyarakat dipenuhi secara berkesan.
Daripada segi pembinaan, penggunaan bahan tempatan dan teknik binaan yang sesuai membantu menjimatkan kos dan memastikan projek lebih mampan. Sumber tempatan bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan import, malah merangsang ekonomi setempat. Kaedah binaan tradisional seperti rumah batu bata atau tanah liat boleh digunakan untuk meningkatkan ketahanan terhadap cuaca atau bencana. Selain itu, bahan daripada bangunan lama boleh dikitar semula bagi mengurangkan pembaziran sumber.
Bagi memastikan pembangunan semula memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, latihan kemahiran dan pembangunan kapasiti tenaga kerja amat diperlukan. Latihan dalam bidang pembinaan, kejuruteraan asas dan penyelenggaraan infrastruktur membolehkan masyarakat memainkan peranan lebih aktif dalam membina semula kawasan mereka. Program latihan ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, tetapi juga membantu mencipta ekonomi yang lebih lestari dan berdikari.
Selain itu, pembangunan semula yang dipacu komuniti juga dapat merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan. Kontrak pembinaan boleh diberikan kepada syarikat kecil dan sederhana dalam komuniti, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk berkembang. Pembangunan yang melibatkan tenaga kerja dan perniagaan tempatan menjadikan komuniti lebih kukuh dari segi ekonomi serta kurang bergantung kepada bantuan luar.
Namun, untuk memastikan pendekatan ini berjaya, sokongan pelbagai pihak amat diperlukan. Institusi pendidikan boleh memperkenalkan modul berkaitan pembinaan lestari, pengurusan komuniti, dan keusahawanan bagi memastikan generasi muda bersedia menyumbang dalam pembangunan semula. Pada masa yang sama, syarikat dan NGO boleh menyediakan latihan kepakaran, kursus pensijilan, dan program mentor untuk membimbing komuniti ke arah pemerkasaan kendiri.
Sebagai generasi yang akan mewarisi masa depan, masyarakat perlu melihat pembangunan semula bukan sekadar proses membina infrastruktur, tetapi sebagai peluang membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berdikari. Apabila komuniti diberi kuasa untuk membina semula kehidupan mereka, mereka bukan sahaja dapat mengatasi cabaran yang dihadapi, malah mampu mencipta peluang baharu bagi generasi akan datang.
Pembangunan semula bukan sekadar membina bangunan -- ia tentang mengembalikan harapan, maruah dan kebebasan kepada komuniti yang terjejas. Setiap usaha, sama ada melalui kepakaran, sokongan atau sekadar menyebarkan kesedaran, pasti membawa perubahan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Muhammad Hadi Mustafa
Pensyarah Kanan di Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina
Universiti Malaya (UM)
emel: